Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai setuju kucing boleh dipelihara di rumah HDB: Tinjauan AVS

Membela kucing dalam rumah HDB mungkin akan dibenarkan namun beberapa perkara perlu diselenggarakan dahulu termasuk menjaga keselamatan orang awam dan kebajikan kucing itu sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membela kucing dalam rumah HDB mungkin akan dibenarkan namun beberapa perkara perlu diselenggarakan dahulu termasuk menjaga keselamatan orang awam dan kebajikan kucing itu sendiri.

Dalam satu tinjauan yang dilakukan tahun lalu,hampir 90 peratus responden berpendapat kucing sesuai untuk dipelihara dan majoriti menyokong untuk membolehkan haiwan itu dipelihara di rumah-rumah HDB.

Hasil tinjauan itu didedahkan Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Tan Kiat How di acara 'Pets' Day Out' yang diadakan di Taman East Coast pagi tadi (6 Mei).

Dari September hingga November tahun lepas, Perkhidmatan Haiwan & Veterinar (AVS) menjalankan tinjauan itu mendapatkan maklum balas orang awam termasuk pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya mereka yang mempunyai minat yang mendalam dalam isu haiwan peliharaan.

Lebih 30,000 respons dikumpul AVS dan badan itu akan mengadakan lebih banyak perbincangan kumpulan fokus.

Tinjauan itu adalah sebahagian daripada gerakan Melakar Hala Tuju Singapura.

MIKROCIP BOLEH PASTIKAN PEMILIKAN KUCING YANG LEBIH BERTANGGUNGJAWAB

Bagi pengurusan lebih baik haiwan itu, tiga bidang utama dicadangkan.

Ia termasuk memperluaskan skim pelesenan dan pemasangan mikrocip kepada kucing yang dipelihara.

Hasil dapatan menunjukkan bahawa lebih daripada 80 peratus responden bersetuju dengan saranan tersebut.

Seorang relawan dalam pengurusan kucing, Norlita Muhd Sah berpendapat, "Saya rasa pemasangan mikrocip adalah cadangan yang saya rasa paling bagus sekali sebab ini akan membuat para pemilik kucing lebih tanggungjawab dalam menjaga kebajikan kucing sebab dengan mikrocip. Kalau apa-apa yang terjadi kepada kucing-kucing itu, mudah untuk mencari para pemilik mereka dan berikan bantuan."

Selain itu, terdapat juga cadangan untuk melanjutkan program 'Perangkap-Kembiri-Cari Rumah Baru/Lepaskan Secara Terurus (TNRM) kepada kucing terbiar juga.


Buat masa ini, program tersebut hanya dikhususkan buat pengurusan anjing terbiar sahaja.

Lebih 80 peratus daripada responden merasakan bahawa program tersebut boleh jadi langkah berkesan untuk mengawal jumlah kucing terbiar di Singapura.

KEBAJIKAN KUCING JUGA PERLU DITITIKBERATKAN

Selain mengawal jumlah kucing terbiar, kebajikan kucing peliharaan juga menjadi antara faktor yang diberi perhatian.

Hampir 80 peratus daripada responden juga merasakan bahawa para pemilik haiwan kucing kali pertama perlu menghadiri kursus-kursus agar dilengkapi dengan kemahiran penjagaan asas dan yang sesuai.

Hasil dapatan tinjauan yang dijalankan selama tiga bulan itu juga menunjukkan bahawa lebih 90 peratus daripada responden bersetuju bahawa para pemilik kucing peliharaan perlu memastikan keselamatan kucing dan menjauhkan mereka daripada sebarang jenis bahaya.

Encik Tan berkata: "Untuk meningkatkan mutu penjagaan haiwan peliharaan, AVS akan bekerjasama dengan masyarakat dan kumpulan kebajikan haiwan untuk meneroka cara baru untuk mempromosikan pemilikan haiwan peliharaan, pengambilan kucing dan penjagaan kucing masyarakat yang bertanggungjawab. Usaha sedemikian akan membantu melindungi kesihatan dan kebajikan haiwan peliharaan kita."

Dalam pada itu, para responden merasakan bahawa para pemilik serta penjaga haiwan peliharaan, kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan serta wakil masyarakat boleh memainkan peranan lebih penting dalam menyelesaikan pertelingkahan mengenai kucing.

Encik Tan berkata: "Masyarakat, termasuk pemilik haiwan peliharaan, mempunyai tanggungjawab bersama untuk menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan serta memastikan persekitaran hidup yang kondusif untuk semua rakyat Singapura."

"Pemilikan haiwan peliharaan yang tidak bertanggungjawab boleh membawa kepada pertelingkahan dalam masyarakat, yang mengakibatkan keretakan kompak sosial kita," tambah beliau lagi.

PERBINCANGAN KUMPULAN FOKUS AKAN DIJALANKAN SELAMA BEBERAPA BULAN

Meskipun terdapat maklum balas positif dan sokongan masyarakat, AVS menyatakan bahawa ini tidak bermakna pihaknya sudah bersedia untuk melaksanakan sebarang perubahan dasar.

Dalam langkah seterusnya, pihak AVS akan mengadakan Perbincangan Kumpulan Fokus termasuk dengan pemilik dan bukan pemilik kucing.

Ia akan diadakan bermula bulan depan dan akan dijalankan dalam tempoh beberapa bulan.

Sesi mendapat maklum balas itu juga berharap untuk memberikan para penduduk dan pihak-pihak yang terlibat masa yang mencukupi untuk sesuaikan diri dengan perubahan yang mungkin akan dilaksanakan.

Isu-isu seperti kesan rancangan yang dibentangkan bagi kucing peliharaan serta kucing-kucing terbiar juga akan dibincangkan.

Dalam hal itu, Encik Tan berkata: "Hasil tinjauan menunjukkan sokongan kuat terhadap pendekatan yang dicadangkan termasuk kesesuaian kucing dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Pemilik kucing dan penjaga kucing masyarakat boleh diyakinkan bahawa AVS akan mengkaji dengan teliti semua maklum balas awam terutama mengenai peraturan peralihan dasar-dasar."

Masyarakat awam masih boleh memberikan maklum balas mereka menerusi laman ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan