Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai sependapat vaksinasi COVID-19 patut diwajibkan: Tinjauan IPS

Hampir 70 peratus responden dalam tinjauan-tinjauan yang dijalankan baru-baru ini berasa bahawa Pemerintah patut mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk semua warga Singapura dan penduduk jangka panjang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Dec 2021 03:05PM Dikemas Kini : 02 Dec 2021 09:26PM

SINGAPURA: Hampir 70 peratus responden dalam tinjauan-tinjauan yang dijalankan baru-baru ini berasa bahawa Pemerintah patut mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk semua warga Singapura dan penduduk jangka panjang.

Demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Institut Kajian Dasar (IPS).

Para responden, yang terdiri daripada warga Singapura dan penduduk tetap, ditinjau dalam beberapa "gelombang" yang bertepatan dengan peristiwa penting dalam perjuangan Singapura menentang COVID-19.

Antara 15 hingga 21 September - semasa lonjakan kes jangkitan dilaporkan - 65 peratus responden bersetuju bahawa vaksinasi patut diwajibkan.

Angka itu meningkat kepada 70 peratus untuk tinjauan antara 19 hingga 23 November, menurut dapatan yang dikeluarkan hari ini (2 Dis).

Sekitar 500 orang ditinjau dalam setiap gelombang melalui tinjauan online, menurut IPS. Sebanyak 12 gelombang merangkumi antara 14 Julai dengan 23 November - dari Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) hingga permulaan Fasa Peralihan.

Mereka juga ditanya tentang pengambilan tahunan suntikan dos penggalak dan lebih 90 peratus berasa adalah penting untuk berbuat demikian.

"Ini menunjukkan bahawa majoriti penduduk sedar akan kepentingan mengambil vaksinasi," menurut kajian itu.

Bertajuk "Hidup dengan COVID-19 di Singapura: Sikap, cabaran dan jalan untuk ke hadapan hadapan", kajian itu meneliti pandangan orang ramai dalam tiga bidang - tadbir urus COVID-19, hidup dengan COVID-19 dan sikap terhadap langkah pengurusan selamat.

Lebih separuh berasa positif tentang adanya langkah-langkah yang dibezakan mengikut status vaksinasi seseorang.

Warga Singapura yang lebih berusia lebih cenderung bersikap negatif tentang langkah-langkah yang dibezakan mengikut status vaksinasi, dengan sekitar 30 peratus responden berumur 60 tahun ke atas berpandangan sedemikian. Ini berbanding 19 peratus bagi mereka yang berusia antara 21 hingga 29 tahun.

“Langkah-langkah yang dibezakan antara individu yang sudah divaksin dengan yang tidak divaksin berkemungkinan akan memberi kesan kepada warga Singapura yang memilih untuk tidak divaksin atas sebab-sebab bukan perubatan, di mana warga emas berkemungkinan membentuk sebahagian besar daripadanya,” jelas kajian itu.

Diketuai oleh Dr Mathew Mathews, zamil penyelidik utama dan ketua Makmal Sosial di IPS, kajian itu turut melibatkan bekas penyelidik bersekutu Syafiq Suhaini, pengarah bersekutu Mike Hou dan pembantu penyelidik Fiona Phoa.

TADBIR URUS COVID-19

Kajian itu mendapati responden paling kurang berpuas hati dengan cara Pemerintah menangani pandemik COVID-19 dari September hingga Oktober.

Pasang surut tahap kepuasan kelihatan bergerak seiring dengan bilangan kes harian, menurut laporan itu.

Pada September, Singapura menyaksikan lonjakan dalam jumlah kes, mencecah lebih 1,000 jangkitan harian mulai 18 September. Pemerintah kemudian menghadkan kegiatan duduk makan di kedai makanan dan minuman kepada dua orang yang sudah divaksin dan juga menghadkan perhimpunan sosial semasa tempoh yang dipanggil Fasa Penstabilan.

Sekatan-sekatan itu sepatutnya dilaksanakan sehingga 24 Oktober namun dilanjutkan hingga 21 November.

Apabila ditanya sejauh mana mereka berpuas hati dengan tindakan Pemerintah untuk mengurangkan jumlah jangkitan harian, peratusan mereka yang berpuas hati merosot daripada 74 peratus antara 14 dengan 25 Julai kepada 69 peratus dari 26 Julai hingga 7 Ogos.

Ini diikuti oleh beberapa pasang surut dalam gelombang-gelombang berikut. Dalam gelombang terkini antara 19 dengan 23 November, jumlahnya merosot ke 57 peratus.

Meskipun tahap kepuasan menurun sedikit untuk kebanyakan dasar apabila bilangan kes dalam masyarakat meningkat dalam gelombang-gelombang selepas itu, tahap kepuasan sudah stabil dan kekal agak tinggi, menurut kajian tersebut.

"Ini terutamanya bagi kepuasan dalam memastikan sistem jagaan kesihatan terus beroperasi di mana sekitar 80 peratus responden menunjukkan kepuasan," tambah kajian itu.

HIDUP BERSAMA COVID-19

Menyentuh tentang langkah menganggap COVID-19 sebagai virus endemik, kira-kira 40 peratus responden daripada tinjauan pendapat pada Julai hingga satu tinjauan pada September berasa positif tentang strategi tersebut. Keyakinan terhadap strategi itu terjejas pada awal Oktober namun meningkat kepada 51 peratus dalam tinjauan terbaru dari 19 hingga 23 November.

Responden yang lebih berusia kurang cenderung berasa positif tentang cara COVID-19 dianggap sebagai virus endemik, menurut dapatan kajian itu.

Responden diberikan dua pilihan berdasarkan apa yang dikatakan pakar - iaitu pembukaan secara bertahap-tahap jika Singapura mahu mengekalkan kadar kematian COVID-19 kepada kira-kira dua setiap hari; atau pembukaan yang lebih pantas yang bermakna kadar kematian harian adalah sekitar enam hingga tujuh.

Sekurang-kurangnya 80 peratus responden berkata Singapura sepatutnya membuka semula dengan lebih perlahan dengan angka kematian yang lebih rendah, berbanding dibuka dengan pantas namun dengan jumlah kematian lebih tinggi.

Kira-kira tujuh daripada setiap 10 rakyat Singapura percaya bahawa Singapura akan memenangi perjuangan menentang COVID-19.

Kajian itu mendapati "perbezaan yang ketara" dalam sikap terhadap kehidupan endemik berdasarkan umur dan status sosioekonomi.

"Mereka yang lebih muda, serta mereka yang lebih kaya, secara konsisten diperhatikan lebih bersemangat dan bersedia secara psikologi untuk kehidupan endemik, berbanding mereka yang lebih berusia dan kurang berkemampuan," menurut dapatan kajian itu.

Banyak faktor mungkin menyokong perbezaan pandangan tersebut, jelas kajian itu.

Ini termasuk selera risiko seseorang, peluang yang terlepas, keyakinan terhadap kesihatan fizikal seseorang, serta keupayaan kewangan yang lebih baik dalam mengendalikan kesan ekonomi akibat dijangkiti.

LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT

Sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus rakyat Singapura yakin bahawa mengamalkan langkah pengurusan selamat seperti mengambil ujian COVID-19 secara berkala, mengurangkan pertemuan sosial dan mengambil suntikan tahunan dos penggalak akan mengurangkan kemungkinan jangkitan COVID-19.

Pada masa yang sama, sekitar suku daripada responden dalam tinjauan pendapat antara Julai dengan Oktober menyifatkan langkah-langkah itu sebagai menyusahkan. Kadarnya meningkat sedikit selepas itu.

Hampir enam daripada setiap 10 orang berkata mereka menyokong langkah mewajibkan pemakaian pelitup hanya apabila berada di ruang tertutup atau apabila di tempat sesak, manakala hampir separuh menyokong membenarkan orang ramai membuka pelitup apabila berada di tempat terbuka atau di ruang yang tidak sesak.

Responden berpendapatan tinggi dan lebih muda lebih cenderung menyokong pelonggaran langkah pengurusan selamat, menurut dapatan kajian itu lagi.

"Ini mungkin menunjukkan "Generasi COVID", iaitu golongan belia yang sudah terlepas peluang-peluang utama sedang mereka menginjak dewasa. Membuka semula ekonomi mungkin melambangkan peluang untuk memulihkan kehidupan mereka," menurut kajian itu.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa