Ramai salah anggap suntikan dos keempat vaksin COVID-19 tidak diperlukan
SINGAPURA: Suntikan keempat COVID-19 disediakan di Singapura sejak April, dengan vaksin mRNA bivalen yang terbaru ditawarkan kepada mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas sejak 7 Nov.
Vaksin mRNA bivalen menyasarkan virus asal SARS-CoV-2 serta varian Omicron, seperti BA.1, BA.4/5. Oleh kerana sifat varian Omicron yang dapat elak imuniti, vaksin terbaru itu mempunyai perlindungan lebih baik terhadap COVID-19. Profil keselamatan kekal konsisten dengan versi sebelumnya bagi vaksin yang sama, dengan kebanyakan kesan sampingan yang ringan hingga sederhana.
Dengan peningkatan perlindungan terhadap varian baru dan profil keselamatan yang baik, seharusnya keputusan untuk menerima suntikan keempat sesuatu yang sudah jelas. Namun, hakikatnya amat berbeza, seperti ditunjukkan perangkaan vaksinasi rasmi Kementerian Kesihatan (MOH).
Sebanyak 81 peratus penduduk negara ini mempunyai apa yang dikenali sebagai perlindungan vaksinasi minimum, merujuk kepada mereka yang sudah mengambil tiga suntikan mRNA atau dos Novavax atau empat dos Sinovac. Bagaimanapun, peratusan penduduk dengan vaksinasi terbaru hanya 61 peratus.
Seseorang itu dianggap sudah menerima vaksinasi terkini jika mereka mempunyai perlindungan minimum dan mendapatkan suntikan vaksin terakhir mereka dalam tempoh satu tahun. Berdasarkan data tersebut, kami boleh membuat kesimpulan bahawa jumlah penduduk yang mendapatkan vaksin sepanjang tahun lepas, yang mungkin dalam bentuk suntikan keempat COVID-19 adalah lebih sedikit.
APAKAH SEBABNYA?
Meskipun sains di sebalik vaksin bivalen adalah jelas dan mudah, tidak begitu halnya dengan tingkah laku manusia.
Untuk memahami dengan lebih mendalam isu tersebut, perlu diambil kira faktor intrinsik dan ekstrinsik yang dipertimbangkan oleh individu semasa membuat keputusan sama ada untuk menerima vaksin.
Faktor intrinsik merujuk kepada risiko peribadi dijangkiti virus berbanding kos peribadi mendapatkan vaksin. Semasa kemuncak pandemik pada 2020 dan 2021, risiko dijangkiti adalah tinggi kerana kebanyakan penduduk tidak diberi vaksin. Kemunculan varian seperti varian Delta dan Omicron menyebabkan beberapa lonjakan jangkitan.
Risiko dijangkiti adalah lebih tinggi daripada kos peribadi untuk mendapatkan vaksin. Ringkasnya, manfaat vaksinasi mengatasi sebarang pertimbangan lain ketika itu.
Pada tahun 2022, pertimbangan ini sangat berbeza.
Risiko jangkitan bagi seseorang individu berkemungkinan lebih rendah apabila kebanyakan penduduk divaksin dan mempunyai beberapa imuniti selepas jangkitan. Corak penyakit juga telah berubah, dengan kebanyakan kes kini dikategorikan sebagai ringan hingga sederhana dengan sangat sedikit penyakit teruk dan kematian dilaporkan. Maka itu, risiko peribadi yang dirasakan adalah lebih rendah.
Sementara itu, kos peribadi untuk mendapatkan vaksin semakin meningkat. Memandangkan lebih ramai tenaga kerja digalakkan kembali ke pejabat, ini bermakna orang ramai perlu merancang jadual mereka lebih awal untuk meluangkan masa dan pergi ke pusat atau klinik vaksinasi.
Ibu bapa memerlukan aturan penjagaan tambahan bagi anak mereka sekiranya mereka membuat janji temu vaksin. Terdapat juga kemungkinan kesan sampingan teruk daripada vaksinasi yang memerlukan beberapa hari rehat. Ini menyukarkan lagi aturan jagaan anak.
Semua ini adalah kos peribadi dan akan menghalang individu daripada mendapatkan vaksin. Ia mungkin kelihatan remeh berbanding dijangkiti COVID-19, tetapi bagi kebanyakan orang, ia adalah cabaran praktikal, yang mereka hadapi setiap hari.
FAKTOR LUARAN
Apabila Singapura membuka sempadan untuk pelawat, menarik balik sekatan seperti kapasiti terhad di ruang tertutup dan mandat memakai pelitup, ia juga isyarat ke arah perubahan tingkah laku.
Dengan mesej COVID-19 kini menjadi penyakit yang boleh dikawal dan dicegah, penduduk kini kurang insentif untuk mengekalkan tahap waspada tinggi seperti dua tahun lalu.
Ini termasuk keputusan untuk mendapatkan suntikan keempat, selepas menilai risiko peribadi dan kos peribadi yang tinggi bersama-sama dengan semua isyarat luaran yang kita terima sebagai masyarakat.
KOMUNIKASI
Bagaimanakah untuk mengubah proses membuat keputusan ini supaya pengambilan dos keempat meningkat?
Mengapakah suntikan penggalak tambahan itu penting?
Sistem imun adalah mekanisme yang kompleks dan seperti sedia maklum tahap imuniti semakin berkurangan seiring dengan berlalunya masa.
Dengan ancaman munculnya varian COVID-19 yang baru, dos keempat akan sangat membantu untuk mengekalkan imuniti penduduk yang tinggi, bukan sahaja untuk melindungi diri kita tetapi juga penduduk yang mudah terdedah.
Konsep vaksinasi berulang bukanlah satu perkara baru, dengan vaksin demam selesama diberikan dua kali setahun sebagai contoh disebabkan oleh perubahan varian yang menular di dunia.
Kita perlu menyampaikan mesej yang sama secara berkesan dan konsisten kepada orang ramai.
Ini boleh dilakukan menerusi pengumuman perkhidmatan awam, pendidikan dan kesedaran melalui pemimpin masyarakat dan penyedia penjagaan kesihatan.
Bahasa yang kita gunakan juga sama penting. Sebelum ini kami menggunakan "lengkap divaksin" tetapi kini "vaksinasi terkini". Ini adalah perubahan kecil tetapi penting dalam bahasa yang juga akan mengubah persepsi dan tingkah laku.
Halangan kepada vaksinasi juga perlu sentiasa dikurangkan. Beberapa langkah yang boleh dilaksanakan ialah hari cuti untuk orang ramai membuat aturan untuk mendapatkan vaksin, malah satu atau dua hari tambahan selepas itu untuk pulih daripada kemungkinan kesan sampingan teruk.
Perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang dilanjutkan akan membantu ibu bapa dalam mengatur jadual mereka. Pilihan lokasi vaksinasi lebih luas boleh disediakan, seperti di farmasi masyarakat supaya ia sentiasa boleh diakses, sekali gus mengurangkan kos peribadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.