Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai rakyat baru jalani NS setiap tahun, dakwaan Leong Mun Wai tidak tepat dan mengelirukan, kata Ng Eng Hen

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Aug 2022 06:57PM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 11:00PM

SINGAPURA: Semua lelaki muda Singapura, termasuk rakyat baru, harus menjalani Perkhidmatan Negara (NS), kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam satu  kenyataan menteri pada Selasa (2 Ogos), sekali gus menyifatkan dakwaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) Leong Mun Wai sebagai "tidak tepat dan mengelirukan". 

Encik Leong, pada 5 Julai berkata, " mereka yang menjadi warga negara secara berdaftar tidak menjalani NS". Beliau berkata demikian dalam soalan tambahan selepas jawapan Dr Ng mengenai isu keistimewaan kesukanan bagi anggota perkhidmatan negara. 

"Dakwaan Encik Leong tidak tepat dan mengelirukan," tegas Dr Ng di Parlimen pada Selasa (2 Ogos). 

"Sejak tahun 2000, secara purata, 3,400 warga baru yang didaftar setiap tahun sudah menjalani atau bakal mendaftarkan diri bagi NS seperti semua lelaki Singapura." 

Dr Ng menarik perhatian Kementerian Pertahanan (MINDEF) sudahpun memberikan jawapan bertulis kepada soalan Encik Leong pada Julai,  mengenai peratusan lelaki yang menjadi rakyat Singapura, dan berapa ramai daripada kumpulan itu yang tidak perlu menjalani NS. 

Jawapan bertulis kementerian tersebut menggariskan bahawa lelaki yang menerima kerakyatan sebagai orang dewasa, biasanya dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an, tidak perlu menjalani NS kerana tidak sesuai bagi mereka yang sudah lanjut usia untuk menjalani NS sepenuh masa. Bahkan mereka tidak meraih sebarang manfaat sebelum mendapat kerakyatan mereka. 

"Warga baru yang menetap di Singapura pada usia yang muda dan menikmati manfaat ekonomi dan sosial dikehendaki menjalani NS apabila capai usia 18 tahun atau ke atas," tambahnya. 

Dr Ng memberitahu Parlimen pada Selasa: "Tidak patut ada sebarang kesangsian bahawa setiap rakyat lelaki muda, tidak kira dilahirkan di Singapura, diberikan kerakyatan atau keturunan, tanggungjawab NS mereka sama. Kami tidak membuat perbezaan." 

Mereka akan menjalani NS sepenuh masa pada usia 18 tahun atau ke atas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota kerahan  selepas itu. "Ia adil dan meliputi semua," tambahnya. 

"Namun, sekiranya seorang warga asing dewasa datang ke Singapura dan menjadi rakyat, biasanya pada usia 30-an atau 40-an, dia dikecualikan daripada NS kerana tidak menikmati sebarang manfaat sosioekonomi seperti rakyat muda dan juga tidak sesuai kerana terlalu tua untuk menjalani NS sepenuh masa," ujar Dr Ng. 

Dasar itu sudah dilaksanakan sejak awal 1980-an lagi, dan menteri serta AP lain pernah mengetengahkan isu tersebut sebelum ini, kata Dr Ng. 

"Maklumat itu juga mudah diperolehi di Internet, dan anda boleh cuba untuk mendapatkannya sekarang. Jika anda menaip di enjin carian 'NS, rakyat baru, Singapura', terdapat banyak maklumat yang menyatakan bahawa rakyat baru dan muda harus menjalani NS dan mereka yang menjadi rakyat sebagai seorang dewasa dikecualikan. Oleh itu, dasar ini sudah tersebar luas di Internet," kata Dr Ng lagi. 

Encik Leong seharusnya menunggu jawapan MINDEF atau mendapatkan fakta penuh mengenai isu yang penting seperti NS, tambah Dr Ng. Beliau menarik perhatian anggota PSP itu mengulangi dakwaannya yang mengelirukan itu di Facebook pada lewat Mei dan awal Julai. 

Sepanjang beberapa tahun lalu, Penduduk Tetap (PR) dan rakyat lelaki baru dan muda merangkumi "peratusan yang semakin meningkat"  Anggota NS, kata Dr Ng. 

Pada awal tahun 2000-an, mereka merangkumi 5 peratus daripada semua Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) setiap tahun. Kini, mereka meliputi sekitar 20 peratus jumlah tersebut, tambahnya. 

Daripada jumlah itu, lebih separuh adalah warga negara baru yang berdaftar, dengan bakinya merupakan PR, menurut Dr Ng lagi. 

"Justeru, apa yang didakwa Encik Leong itu tidak benar. Ramai warga baru menjalani Perkhidmatan Negara setiap tahun. Rakyat baru dan PR menyumbang kepada pertahanan negara. Dan tanpa suntikan tambahan rakyat baru dan PR, kohort kecil Singapura akan menjejas keperluaan tenaga manusia Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dengan lebih ketara lagi," katanya. 

Tambah beliau adalah penting untuk membetulkan kenyataan Encik Leong yang mengelirukan dengan berkata: "Jika mereka yang belum menjalani NS salah faham bahawa rakyat baru yang sama usia mereka dikecualikan, bagaimana mereka akan bersemangat untuk menjalani NS?

"Fakta yang betul harus diketengahkan untuk meyakinkan anggota NS di SAF dan Home Team." 

Menyifatkan NS sebagai tunggak SAF dan pertahanan negara Singapura, Dr Ng menarik perhatian bahawa para AP mempunyai tanggungjawab untuk mengetengahkan soalan dan perbahasan dasar di Parlimen, termasuk dasar mengenai NS. 

"Namun, mereka tidak boleh membuat sebarang kenyataan yang mengelirukan  dan melemahkan asas NS, SAF dan Home Team," tambahnya.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa