Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai pemilik rumah lebih cenderung pilih penyewa sama kaum

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai pemilik rumah lebih cenderung pilih penyewa sama kaum

Flat HDB di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Dalam memilih seorang penyewa, sebahagian besar penduduk Singapura berkata mereka lebih cenderung menyewakan hartanah kepada seseorang daripada kaum mereka sendiri. Demikian menurut tinjauan mengenai hubungan kaum yang dijalankan oleh Mediacorp dan Institut Pengajian Dasar (IPS).

Tinjauan tersebut, yang berdasarkan maklum balas daripada lebih 2,000 rakyat dan penduduk tetap Singapura, mendapati responden Cina, Melayu dan India dari semua peringkat usia lebih cenderung menerima kaum mereka sendiri berbanding kaum lain.

Hampir sembilan daripada 10 responden (89.8 peratus) berkata mereka akan menyewakan bilik di rumah mereka sendiri kepada Cina warga Singapura tetapi hanya separuh daripada mereka berkata mereka akan menerima penyewa Melayu atau India.

Responden lebih rela menerima penyewa Melayu dan India bagi hartanah lain yang dimiliki mereka – bukannya bilik-bilik di rumah mereka sendiri, menurut tinjauan itu.

"Ini memang dijangkakan kerana menyewakan sebuah bilik di rumah sendiri akan menyebabkan responden lebih dekat dengan penyewa," tambah laporan itu.

Responden Cina lebih cenderung menerima warga baru dari China sebagai penyewa berbanding warga Singapura bukan Cina. Kira-kira separuh (51.3 peratus) berkata mereka akan menyewakan bilik kosong di rumah mereka kepada warga baru dari China, berbanding penyewa Melayu warga Singapura (40.8 peratus) atau India warga Singapura (38.6 peratus).

Responden India, bagaimanapun, tidak menunjukkan kecenderungan yang sama untuk warga baru dari India berbanding warga Singapura dari kaum lain.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa responden Cina yang berpendidikan di bawah peringkat menengah kurang berkemungkinan menerima penyewa daripada kaum lain.

Kurang tiga daripada 10 (28.8 peratus) berkata mereka menerima penyewa Melayu dan India, iaitu kurang separuh daripada responden Cina yang berpendidikan universiti (66.2 peratus).

Bagi responden Melayu, mereka yang berpendidikan peringkat menengah ke atas lebih berkemungkinan menerima penyewa Cina dan India tempatan.

Sebagai perbandingan, responden India yang berpendidikan di bawah peringkat menengah didapati lebih terbuka menerima penyewa Cina dan Melayu tempatan.

Walaubagaimanapun, responden-responden lebih berkemungkinan untuk mengubah fikiran mereka jika pemeriksaan kebersihan yang lebih kerap dibenarkan atau jika penyewa "tidak bising", kata para penyelidik.

Kira-kira 40 peratus berkata mereka mungkin berubah fikiran jika mereka boleh menjalankan pemeriksaan dengan lebih kerap untuk memastikan rumah atau bilik itu dibersihkan dan disenggara dengan baik. Namun, lebih sepertiga daripada semua responden (34.2 peratus) mengatakan bahawa tiada apa pun yang dapat mengubah fikiran mereka.

"Memandangkan responden diberi pilihan respons bebas untuk menulis faktor-faktor lain yang tidak disoal, 34.2 peratus responden ini berkemungkinan berpegang kuat kepada prasangka mereka terhadap kaum-kaum tertentu," menurut laporan itu.

"Tidak kira sikap kaum-kaum ini sebagai penyewa, mereka tidak akan menyewakannya kepada mereka."

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan