Skip to main content

Singapura

Ramai pemilik gerai pasar Tekka enggan pindah sedang pasar itu jalani kerja ubah elok

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jul 2023 08:20PM Dikemas Kini : 01 Jul 2023 08:59PM
SINGAPURA: Ramai pemilik gerai di pasar basah Tekka memutuskan untuk tidak berpindah ke gerai-gerai sementara yang lain.

Ini sedang bangunan pasar Tekka itu menjalani kerja ubah elok selama tiga bulan.

Sesetengah daripada mereka berkata, walaupun diberi pilihan untuk membuka kedai di tempat lain seperti Chinatown, kos pemindahan masih terlalu tinggi.

Ada juga yang berkata, mereka mahu berehat seketika.

Pasar di Pusat Tekka adalah salah satu pasar basah terbesar di Singapura, dengan hampir 300 gerai dan 120 penjaja.

Namun, mulai Isnin depan (3 Jul), semua gerainya akan ditutup selama tiga bulan bagi kerja-kerja ubah elok.

Untuk membantu pegerai sepanjang tempoh tiga bulan itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi mereka pilihan untuk membuka gerai-gerai sementara di pusat-pusat penjaja atau pasar lain.

"Tidak munasabah untuk saya berpindah kerana peti sejuk saya besar dan saya ada banyak perkakas untuk dibawa. Saya ada peti sejuk, pembeku dan sebagainya. Saya perlu menjaga perkakas saya semuanya, penutup dan sebagainya," kata David Joehari, pemilik gerai Joe' Butchery.

"Jadi jika kami berpindah, saya harus menanggalkan semuanya, harus pasang balik struktur dan segalanya. Dan ini semua perlukan wang dan ia tidak murah," tambahnya.

Ada juga yang ingin mengambil peluang tersebut untuk berehat.

Penjual daging bernama CJ Low berkata, beliau akan duduk rumah sahaja atau berjalan-jalan dengan cucunya.

Para pemilik gerai memberitahu Mediacorp, mereka diberi pilihan untuk berpindah ke Toa Payoh, Kallang Bahru dan Chinatown.

Walaupun sesetengah pemilik gerai gembira bahawa mereka masih boleh berniaga, ada juga yang bimbang tentang kesan pemindahan itu kepada pelanggan tetap mereka.

"Ramai pelanggan beritahu saya - sangat susah, Chinatown terlalu jauh," kata Paandiyan Kavrarma, seorang pemilik gerai ikan.

Kali terakhir pasar Tekka diubah elok adalah 15 tahun lalu.

Majlis Bandaran Tanjong Pagar yang menyelia kerja-kerja ubah elok tersebut menyatakan, pasar itu antara lain akan mendapat kerusi, meja dan lampu baru serta memasang pancang besi demi mencegah burung.

NEA menyatakan, kos sewa gerai tidak dinaikan setelah kerja ubah elok selesai.
Sumber : CNA/NY/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita