Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai orang berkumpul bagi kegiatan NDP2020 meski dinasihati supaya raikan sambutan di rumah

Meskipun setelah dinasihati oleh pihak berkuasa supaya menyambut Hari Kebangsaan di rumah, masih ramai orang yang keluar berduyun-duyun bagi meraikan sambutan ulang tahun negara pada Ahad (9 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai orang berkumpul bagi kegiatan NDP2020 meski dinasihati supaya raikan sambutan di rumah

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 10 Aug 2020 09:16AM Dikemas Kini : 10 Aug 2020 09:41AM

SINGAPURA: Meskipun setelah dinasihati oleh pihak berkuasa supaya menyambut Hari Kebangsaan di rumah, masih ramai orang yang keluar berduyun-duyun bagi meraikan sambutan ulang tahun negara pada Ahad (9 Ogos).

Ramai orang kelihatan berkumpul di beberapa "tempat popular" merata Singapura bagi menyaksikan acara-acara yang dijadualkan, seperti pendaratan pasukan payung terjun Red Lions, perarakan Kontinjen Kenderaan di kawasan kejiranan serata Singapura dan pertunjukan bunga api di 10 lokasi di merata negara ini.

Hanya beberapa hari sebelum NDP2020, pihak penganjur menekankan bahawa mereka yang ingin menyaksikan pertunjukan itu di tempat-tempat awam mesti mematuhi langkah jarak selamat seperti memakai pelitup, berada dalam kumpulan yang terdiri daripada lima orang atau kurang daripada itu dan menjaga jarak selamat 1 meter antara satu sama lain.

Mereka juga tidak menggalak orang ramai daripada berkumpul di tempat-tempat awam untuk menyanyikan Lagu Kebangsaan dan melafazkan Ikrar Negara dengan sekuat-kuatnya bagi mengurangkan risiko berlaku penularan COVID-19.

Isu orang ramai yang berkumpul juga ditimbulkan semasa pihak penganjur mengumumkan rancangan bagi NDP 2020 pada Mei lalu.

Brigadier Jeneral Frederick Choo, pengerusi jawatankuasa eksekutif NDP berkata dengan acara berskala besar seperti pertunjukan bunga api, Kontinjen Kenderaan dan terbang lalu, beliau "akur orang ramai akan berkumpul" dan menarik perhatian bahawa pihak penganjur sudahpun melaksanakan langkah berjaga-jaga.

Langkah-langkah ini termasuk menempatkan duta-duta jarak selamat di merata Singapura untuk mendampingi rakyat Singapura yang mungkin kurang prihatin terhadap nasihat itu, dan askar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dikerahkan untuk memantau dengan teliti bersama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

Namun, mereka yang keluar rumah bagi sambutan NDP memberitahu Mediacorp bahawa mereka tidak terlalu bimbang akan bilangan penonton yang ramai berkumpul kerana mereka sedia maklum tentang tanggungjawab menjaga jarak selamat antara satu sama lain.

Encik Hamzah Khamis, seorang pemandu khidmat kereta sewa yang menyaksikan pertunjukan bunga api dekat Pentas Terapung Marina Bay bersama isterinya, berkata mereka akan memastikan untuk tidak berada terlalu dekat dengan orang lain sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini kerana ia adalah ruang terbuka jadi (ia tidak begitu berbahaya)," kata lelaki berusia 52 tahun itu. "Ia lebih penuh sesak di bahagian hadapan dan saya tidak akan berkumpul di tempat penuh sesak itu".

Di kawasan menyaksikan pertunjukan bunga api dekat Sungai Singapura berhampiran Teater Esplanade, Mediacorp mendapati meskipun ia penuh sesak dekat tepi sungai itu sedang ramai menantikan pertunjukan bunga api, kawasan itu ditutup beberapa jam sebelum pertunjukan itu bagi menghadkan bilangan penonton di sana.

Pertunjukan bunga api sebagai sambutan Hari Kebangsaan S'pura ke-55

Mediacorp juga menemui beberapa keluarga yang jumlah anggotanya melebihi had yang dibenarkan di bawah peraturan jarak selamat.

Salah sebuah keluarga yang terdiri daripada lapan anggota dari tiga keluarga berkata bahawa mereka berpecah di sekitar tepi sungai itu supaya dapat mengekalkan jarak selamat.

Apabila dihampiri oleh duta jarak selamat, mereka akan memberitahu duta tersebut bahawa mereka adalah daripada dua kumpulan yang berlainan.

Meskipun begitu, masih ada yang menimbulkan keprihatinan tentang kekurangan pematuhan langkah jarak selamat, terutama sekali semasa pertunjukan bunga api apabila orang ramai mendongak ke langit, dan bukan melihat ke arah satu sama lain.

(Gambar: TODAY)

Jurutera mekanikal Sky Moo, 39 tahun dan suri rumah Maggie Li, 43 tahun kedua-duanya berkata bahawa langkah jarak selamat tidak selalunya dipatuhi.

"Sebelum bermula pertunjukan bunga api mereka (mengamalkan jarak selamat), namun semasa pertunjukan tiada siapa yang mematuhinya," kata Cik Li yang menambah bahawa orang ramai sibuk menyaksikan pertunjukan itu.

"Apabila tiba waktu malam, sebilangan penonton memakai pelitup yang tidak menutup bahagian hidung mereka, dan (pihak berkuasa) tidak tahu tentang perbuatan itu," tambah Encik Moo.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini NDP 2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan