Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai kakitangan TTSH berdepan diskriminasi setelah muncul kelompok COVID-19

Diskriminasi terhadap pekerja penjagaan kesihatan meningkat sejak berlakunya penularan COVID-19, dengan ramai kakitangan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) menghadapi masalah apabila kelompok jangkitan muncul di hospital itu, kata Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Jagaan Kesihatan (HSEU).

Anggaran Waktu Membaca:
Ramai kakitangan TTSH berdepan diskriminasi setelah muncul kelompok COVID-19

(Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 18 May 2021 12:29AM Dikemas Kini : 18 May 2021 12:59AM

SINGAPURA: Diskriminasi terhadap pekerja penjagaan kesihatan meningkat sejak berlakunya penularan COVID-19, dengan ramai kakitangan Hospital Tan Tock Seng (TTSH) menghadapi masalah apabila kelompok jangkitan muncul di hospital itu, kata Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Jagaan Kesihatan (HSEU).

Hospital itu adalah kumpulan COVID-19 yang aktif, dengan 46 kes berkaitan dengannya pada hari Ahad (16 Mei).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, presiden kesatuan K Thanaletchimi berkata terdapat "beberapa kes" yang melibatkan anggotanya.

"Malah, kami diberitahu ramai kakitangan TTSH menghadapi masalah yang sama apabila TTSH muncul sebagai kelompok COVID-19," tambahnya.

Kesatuan tersebut "selalu berhubungan" dengan pejabat cawangan TTSH, dan menerima "beberapa laporan" daripada kakitangan kesihatan pada hari-hari awal kelompok hospital itu dilaporkan.

Sebagai contoh, kakitangan TTSH melaporkan bahawa apabila mereka berpakaian seragam semasa menaiki pengangkutan awam, penumpang akan menjauhkan diri dari mereka atau mengetatkan pelitup di muka mereka, kata Cik Thanaletchimi.

TETAP BERBAKTI MESKI HADAPI DISKRIMINASI

"Walaupun kami faham bahawa pandemik itu telah membawa kesan terhadap semua orang, ini tidak bererti kita boleh bersikap biadab dan tidak bertimbang rasa terhadap orang lain," katanya.

"Ini adalah bukti dedikasi mereka (kakitangan kesihatan) bahawa walaupun terdapat tekanan yang tinggi dan kadang-kadang berlaku kejadian yang melemahkan semangat, mereka tetap menjalankan tugas tanpa prejudis," kata Cik Thanaletchimi.

"Kami sangat percaya bahawa semua pekerja harus diperlakukan dengan rasa hormat dan bermaruah termasuk pekerja kesihatan kami, yang telah bekerja tanpa lelah untuk memastikan Singapura selamat di tengah-tengah COVID-19. Kami tidak terima sebarang bentuk penderaan secara lisan dan fizikal, mahupun diskriminasi terhadap pekerja kesihatan kami,” tegas beliau.

Meskipun demikian, beliau akur ada pihak lain yang menyokong kakitangan kesihatan dengan kata-kata dan perbuatan yang baik.

KEBIMBANGAN SEKITAR KAKITANGAN KESIHATAN

Isu diskriminasi terhadap kakitangan kesihatan dari TTSH dan hospital lain dibangkitkan di Parlimen awal bulan ini oleh Anggota Parlimen Tan Wu Meng (PAP-Jurong).

Dr Tan memetik beberapa kes di mana jururawat dimaklumkan oleh pemilik kediaman sewa mereka supaya pindah dalam tempoh yang singkat. Beliau juga berkongsi tentang seorang lelaki yang bekerja di TTSH yang terpaksa keluar dari rumah untuk memastikan isteri dan rakan kerja isterinya yang bertugas di hospital lain, selamat daripada penularan COVID-19 antara hospital yang berbeza.

Menteri Kesihatan ketika itu Gan Kim Yong dalam jawapannya di Parlimen menyatakan keprihatinannya terhadap "trend membimbangkan" dalam "sebilangan kecil" warga Singapura yang melakukan sedemikian tanpa memikirkan kesejahteraan kakitangan kesihatan.

Bercakap melalui telefon dengan Mediacorp, Dr Tan berkata bahawa berdasarkan maklum balas daripada penduduk dan rakan kerja kesihatan, cara mereka diperlakukan mungkin timbul kerana orang ramai mungkin tidak sedar pelbagai langkah waspada yang diambil demi melindungi keselamatan pekerja kesihatan.

DIHALAU TUAN RUMAH

Menyentuh isu kakitangan kesihatan TTSH yang diminta oleh tuan tanah untuk berpindah dalam tempoh waktu singkat, Dr Tan berkata "kebimbangan semakin meningkat" dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan yang dengar tentang kejadian di mana rakan sekerja mereka diminta berpindah.

"Sekali lagi, ini adalah situasi yang sukar kerana kadang-kadang kakitangan kesihatan hanya menyewa satu bilik di sebuah flat. Dan sekiranya pemilik unit itu yang tinggal bersama ... adalah (seorang) warga tua dan dalam beberapa kes ... mempunyai keadaan perubatan dan tidak dapat diberi vaksin, beliau juga mungkin rasa takut. "

Pengarah bahagian daerah ERA Benjamin Poh memberitahu Mediacorp bahawa jika pemilik kediaman itu menyewakan seluruh unit kepada pekerja kesihatan, "tidak sepatutnya ada alasan" baginya untuk menamatkan perjanjian tersebut.

"Pertama, pemiliknya tidak akan berhubungan dengan penyewa. Kedua, mereka mempunyai perjanjian sewa yang betul, jadi anda tidak dapat menamatkannya kecuali ada sebab yang sah,” tambahnya.

Bekerja di hospital, menjadi kontak pesakit COVID-19, bahkan dijangkiti virus bukanlah alasan yang sah untuk mengusir penyewa, tambahnya.

BANTUAN BAGI KAKITANGAN KESIHATAN

Kementerian Kesihatan (MOH) dan pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 sudah memulakan rundingan dengan hotel dan tempat-tempat lain untuk menyediakan tempat tinggal alternatif bagi pekerja kesihatan yang terjejas, kata Encik Gan pada awal Mei.
Namun beliau menegaskan itu bukan alasan bagi pemilik kediaman untuk mengusir pekerja tersebut dari tempat tinggal sedia ada.

"Kami berharap tanah memahami keadaan itu, memainkan peranan mereka untuk menyokong pekerja kesihatan kami, dan pekerjaan yang kami lakukan. Dan saya juga ingin rakyat Singapura juga menunjukkan sokongan mereka kepada pekerja kesihatan ini, kerana mereka meletakkan diri dalam bahaya untuk melindungi kita. Oleh itu, marilah kita bekerjasama untuk melindungi mereka."

Syarikat teksi dan kereta sewa privet juga telah melaksanakan langkah-langkah untuk menyokong kakitangan kesihatan.

ComfortDelGro misalnya memantau bekalan teksi ke hospital di tengah meningkatnya kes dalam masyarakat baru-baru ini. Ia juga tidak menyaksikan sebarang "penurunan yang ketara" melalui tempahan atau menahan teksi di jalan raya bagi kawasan-kawasan itu, kata ketua pegawai perhubungan kumpulan itu, Tammy Tan.

Gojek pula bekerjasama dengan TTSH untuk mengedarkan baucar perjalanan S$10 kepada kakitangan hospital, kata pengurus besar Lien Choong Luen.

Encik Lien menambah syarikatnya juga meningkatkan usaha pendidikan untuk mengingatkan para pemandu tentang langkah waspada tambahan yang boleh diambil untuk memastikan "suasana perjalanan selamat" terutama apabila mengambil penumpang dari hospital.

Grab merancang untuk merekrut lebih ramai rakan pemandu sukarelawan bagi khidmat GrabCare, kata jurucakap syarikat. Khidmat khusus mengikut permintaan itu dilancarkan tahun lalu bagi kakitangan kesihatan ulang alik ke hospital.

Grab juga akan memberi kod promosi GrabFood kepada semua doktor dan jururawat yang menjalani notis jangan keluar rumah, kata jurucakap itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan