Skip to main content

Singapura

Ramai dalam masyarakat Islam 'kecewa & sedih' selepas Dr Faishal letak jawatan: Zaqy Mohamad

Ramai dalam kalangan masyarakat Islam berasa "kecewa dan sedih" selepas mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Faishal Ibrahim, berundur daripada arena politik pada Isnin (20 Jul), kata Encik Zaqy Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Jul 2026 04:08PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 01:51PM
SINGAPURA: Ramai dalam kalangan masyarakat Islam berasa "kecewa dan sedih" selepas mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Faishal Ibrahim, berundur daripada arena politik pada Isnin (20 Jul), kata Encik Zaqy Mohamad.

Encik Zaqy, yang akan mengambil alih peranan tersebut, memberitahu satu sidang media: “Saya kesal perkara ini berlaku, tetapi saya mahu meyakinkan masyarakat bahawa saya akan terus mendampingi mereka dan memahami dengan lebih baik keperluan masyarakat Islam.”

Beliau menambah bahawa beliau akan bekerjasama dengan para sukarelawan dan rakan masyarakat untuk memperjuangkan program-program bagi masyarakat.

Encik Zaqy berkata beliau berasa sedih kerana Profesor Madya Faishal meninggalkan politik dalam keadaan seperti ini, selepas bekerjasama dengannya selama kira-kira 20 tahun.

Profesor Madya Faishal, yang menjadi Anggota Parlimen (AP) sejak tahun 2006, meletak jawatan pada Isnin selepas interaksinya dengan seorang wanita "tidak memenuhi" piawaian yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan AP.

Beliau juga meletak jawatan sebagai anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Dalam satu catatan di Facebook pada Isnin, Encik Zaqy turut mengakui bahawa ramai dalam kalangan masyarakat Islam berasa kecewa dan sedih.

“Selepas bekerjasama dengan beliau dalam MENDAKI 2030 dan TUNAS, saya melihat sendiri dedikasi beliau terhadap pembangunan masyarakat Islam kita, hubungan yang dipupuknya, serta kepercayaan yang diraihnya. Sumbangan beliau kepada masyarakat kita tidak akan dilupakan,” tulisnya dalam catatan tersebut.

Beliau menambah: "Sebagai pemangku menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam, saya memikul amanah ini dengan penuh rasa rendah diri dan tanggungjawab yang mendalam.

"Bersama-sama pasukan ini, saya akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada masyarakat kita dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan pada hari-hari mendatang."
Dalam pada itu, menerusi satu catatan di Facebook pada Isnin, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli menggesa masyarakat agar menyokong Encik Zaqy dalam peranan baharunya.

Encik Masagos pernah berkhidmat sebagai menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam sebelum Profesor Madya Faishal mengambil alih peranan tersebut pada tahun 2025.

Beliau mengiktiraf komitmen Profesor Madya Faishal dalam memperkukuh institusi kekeluargaan, mengurangkan kadar bentan dalam kalangan pesalah, memperkasa golongan belia, dan membina ikatan yang memelihara perpaduan masyarakat.

“Ini merupakan detik yang sukar buat Profesor Madya Faishal, untuk keluarganya, dan untuk masyarakat yang telah banyak menerima curahan bakti beliau,” kata Encik Masagos.
Encik Masagos menambah bahawa beliau amat sedih apabila mendapat tahu tentang pengunduran Profesor Madya Faishal daripada politik, dan memohon agar rakyat Singapura memberi ruang dan privasi kepada beliau serta keluarganya.

"Masih banyak tugas penting yang perlu dilaksanakan, dan kita mesti terus membina atas kemajuan yang telah dicapai oleh masyarakat kita," katanya.

"Jadi, saya boleh beri jaminan kepada masyarakat bahawa anda sentiasa mempunyai pasukan yang komited untuk anda."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita