Ramai berhati-hati urus niaga online, namun kurang prihatin terhadap ancaman siber
Meskipun tinjauan menunjukkan kian ramai mengambil langkah-langkah keselamatan berhubung keselamatan siber tahun lalu, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) mendapati bahawa usaha perlu dipergiat supaya pengguna lebih bijak menguruskan kata laluan dan mengemas kini perisian.

(Gambar hiasan: Pawel Kopczynski/ Reuters)
SINGAPURA: Meskipun tinjauan menunjukkan kian ramai mengambil langkah-langkah keselamatan berhubung keselamatan siber tahun lalu, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) mendapati bahawa usaha perlu dipergiat supaya pengguna lebih bijak menguruskan kata laluan dan mengemas kini perisian.
Dapatan 2017 itu menunjukkan bahawa kian ramai menunjukkan mereka lebih berhati-hati apabila melakukan urus niaga secara online dan memuat turun aplikasi. Bilangan responden yang meneruskan urus niaga secara online tanpa memeriksa kesahihan laman-laman niaga juga merosot sebanyak 18 peratusan mata kepada 20 peratus tahun lalu berbanding 38 peratus pada 2016.
Bagi mereka yang memuat turun aplikasi mudah alih, jumlah pengguna yang memuat turun melalui laman rasmi naik 7 peratusan mata, dari 83 peratus pada 2016 kepada 90 peratus tahun lalu.
Kian ramai juga yang tahu tentang proses pengesahan dua faktor (2FA). Tinjauan menunjukkan jumlah pengguna yang "tidak pasti" tentang proses itu jatuh enam peratusan mata, dari 10 peratus pada 2016.
"Ini mungkin antara sebabnya mengapa lebih ramai responden menyatakan bahawa mereka sudah menggunakan kaedah 2FA bagi beberapa atau semua akaun mereka, sehingga terdapat kenaikan ketara sebanyak 13 peratusan mata dari 66 peratus pada 2016," tambahnya.
Tinjauan itu mengumpul data daripada 2,035 responden melalui platform online.
URUS KATA LALUAN, PENGEMASKINIAN
Bagaimanapun, CSA menyatakan bahawa "tiada kemajuan" berhubung kebiasaan pengguna mengurus kata laluan mereka. Sekitar 30 peratus responden masih menyimpan kata laluan mereka dalam komputer atau menulisnya, atau menggunakan kata laluan yang sama untuk akaun kerja atau peribadi.
Selain itu, tinjauan yang dijalankan mendapati lebih 60 peratus responden tidak menukar kata laluan mereka dengan kerap dan hanya berbuat demikian ketika sistem mengeluarkan peringatan.
Dari segi minda pengguna pula, tinjauan mendapati responden kini kurang prihatin terhadap ancaman siber berbanding sebelumnya.
CSA menyatakan bahawa ia akan melancarkan satu kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai. Kempen 'Cyber Tips 4 You' itu akan dilancarkan pada 23 April.
Acara pelancaran juga akan diadakan pada 5 Mei di Bedok Mall di mana para pengunjung boleh mendapatkan tips untuk mempunyai kata laluan yang baik supaya akaun tidak mudah dicerobohi. Mereka juga akan dididik tentang perisian antivirus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.