Skip to main content

Singapura

Ramai bapa hadapi cabaran dekati anak-anak: Pusat Kebapaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebagai ketua keluarga, Encik Ramlan Saruan akui tanggungjawabnya bukan sahaja mencari nafkah tetapi juga mengasuh anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Lantaran ini, bapa kepada tiga anak berusia antara empat bulan dengan tujuh tahun itu sanggup bertukar pekerjaannya agar dapat meluangkan masa yang lebih bermutu dengan keluarganya.

Sebelum ini bekerja sebagai seorang penjaga haiwan di zoo, beliau sekarang bekerja sebagai pengawal haiwan perosak yang menurutnya, membolehkan beliau meluangkan lebih masa dengan keluarga.

--

Tambahnya, segala penat lelahnya seharian di luar hilang sebaik kepulangannya disambut dengan keriangan dan penuh kasih sayang oleh tiga cahaya matanya.

TRAUMA LALU

Malangnya, Encik Ramlan berkongsi hubungannya dengan ayahnya jauh berbeza.

--
"Sejak kecil boleh dikatakan hubungan dengan bapa agak sukar. Contoh macam bila kita tak dengar kata ibu bapa. Terutama bapa, tangan kaki jalan, kena pukul. Jadi setiap kali kita nampak bapa kita itu kita rasa macam takut.

"Jadi traumanya itu memang betul-betul hebat. Jadi hubungan kita dengan ayah pun mula renggang daripada situ. Sebab bila dia pukul memang orang kata tinggalkan kesan yang amat mendalam," kongsi Encik Ramlan, 33 tahun.

Beliau lantas mengambil iktibar dan menjadikan pengalaman itu sebagai peringatan untuk tidak bertindak sedemikian terhadap anak-anaknya.

BERUSAHA PERBAIKI DIRI DEMI KELUARGA

Namun, beliau akui ia bukan mudah kerana beliau juga memilki kelemahan sendiri.

--

"Secara jujur saya masih bergelut dengan emosi saya. Iaitu untuk mengatasi rasa marah. Dalam erti kata berperang dengan diri sendiri. Sebab bukan senang nak hilangkan sifat panas baran. Kadang kalau dah terlalu emosi sangat, saya akan berkayuh basikal untuk menenangkan fikiran," dedah Encik Ramlan kepada BERITAmediacorp.

Selain itu, Encik Ramlan turut menyertai program ICAN yang dikendalikan Bapa Sepanjang Hayat.

Menurut Ketua Penglibatan Masyarakat Pusat Kebapaan, Encik CP Eruandee Prayitna, antara cabaran-cabaran yang dihadapi kebanyakan golongan bapa kini termasuk mengambil langkah-langkah positif untuk mendekati anak-anak.

CARA TARBIYAH ANAK DENGAN PENUH KASIH SAYANG

Berbeza dengan dahulu, Encik Eruandee menekankan, ibu bapa juga tidak boleh menghukum anak-anak secara membuta tuli.

--

"Saya berbual dengan seorang bapa ini. Anaknya diambil oleh Kementerian Pembangunan Keluarga (MSF) sebab dia pukul bantai anaknya sampai kena ambil. Jadi saya tanya dia kenapa dia pukul anaknya sampai begitu. Dia kata sebab dia sayang anaknya.

"Sebab dia cakap, cara bapanya besarkannya pun macam itu. Bila dia buat silap, dia buat salah, bapanya pukul bantai. Sekarang dia seorang pegawai tinggi di satu syarikat MNC. Jadi dia mahu anaknya berjaya sepertinya. Tapi zaman sekarang, tak sesuai cara mendisiplin anak dulu dengan cara mendisiplin anak sekarang," ujar Encik Eruandee.

Khusus untuk golongan bapa sahaja, bengkel ICAN bertujuan melengkapi mereka dengan ilmu kebapaan serta peluang untuk berkongsi cabaran yang mereka hadapi.

--

Menurut Encik Eruandee: "Kebanyakan bapa rasa, bila mereka ada masalah, mereka tidak boleh luahkan. Mereka tidak tahu yang masalah yang mereka ada ini orang lain pun ada. Jadi mereka simpan di dalam.

"Jadi kami ingin memberitahu mereka bahawa ada kumpulan bapa yang kebanyakannya mengalami masalah yang serupa. Justeru, mereka boleh menyertai kumpulan ini untuk belajar daripada pengalaman bersama."

Encik Ramlan berkata, menerusi bengkel ICAN itu, beliau meraih banyak manfaat dan dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para bapa lain.

--

Ditanya apakah harapannya untuk anak-anaknya, beliau berkata: "Semoga mereka tidak contohi apa yang saya sudah lalui atau boleh dikatakan menjadi orang yang lebih baik daripada saya. InsyaAllah mungkin kalau satu hari nanti apabila mereka sudah besar dan lebih faham keadaan, mungkin saya akan berkongsi dengan mereka apa yang telah saya lalui."
 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita