Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Ramai' anak Melayu tidak dapatkan pendidikan prasekolah sekurang-kurangnya 3 tahun - Zaqy

Yayasan MENDAKI sudah melakarkan strategi untuk memastikan anak-anak Melayu "pergi ke sekolah secara konsisten".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Yayasan MENDAKI sudah melakarkan strategi untuk memastikan anak-anak Melayu "pergi ke sekolah secara konsisten".

Ini termasuk memastikan anak Melayu melalui sekurang-kurangnya tiga tahun pendidikan prasekolah agar mereka lebih bersedia untuk sekolah rendah.

Ini memandangkan "ramai" menghantar anak mereka untuk pendidikan prasekolah untuk satu atau dua tahun sahaja.

Demikian menurut Timbalan Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, yang juga Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia (MOM).

LEBIH BANYAK PENDEDAHAN KERJAYA UNTUK PELAJAR MENENGAH 3 & 4

Menghadiri acara Anugerah Penghargaan Tutor MENDAKI, Encik Zaqy berkata taraf pendidikan dan kelulusan masyarakat Melayu/Islam cukup membanggakan sejak 15 tahun lalu.

MENDAKI memainkan peranan penting terhadap pencapaian pendidikan pelajar Melayu/Islam di sini, misalnya menerusi program Skim Tuisyen MENDAKI, kata beliau.

Meskipun begitu ada dua bidang yang akan diberi lebih banyak perhatian dan sokongan oleh MENDAKI pada tahun-tahun mendatang.

Pertama, untuk memberi pelajar Melayu seawal Menengah 3 dan 4 pendedahan kepada alam pekerjaan dalam sektor-sektor yang berkembang.

Ini akan dilakukan menerusi skim mentoring dan pendedahan kepada peran-peran contoh.

"Di sini saya rasa kita boleh memberikan dorongan yang lebih baik dan latihan-latihan yang perlu diberikan dan apakah pilihan mereka apabila mereka pergi ke institut pendidikan tinggi agar mereka mendapat masa depan yang lebih cerah," kongsi beliau dengan pihak BERITAmediacorp.

ZAQY: LEBIH TUMPUAN KEPADA PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Kedua, MENDAKI mahu memastikan setiap anak Melayu diberi pendidikan prasekolah sekurang-kurangnya tiga tahun kerana pendedahan awal "amatlah penting" kata beliau, sebagai persiapan ke sekolah rendah.

Ini kali kedua dalam tempoh dua hari, pemimpin Melayu mengutarakan peri pentingnya pendidikan prasekolah sekurang-kurangnya tiga tahun.

Ia ditekankan oleh Presiden Halimah Yacob semasa melawat pusat satelit MENDAKI semalam (22 Nov).

"Hari ini kita lihat MENDAKI telah meluaskan strategi kita untuk merangkumi pendidikan prasekolah dan pendidikan lepas sekolah - iaitu pembelajaran sepanjang hayat.

"Kerana kita rasa lebih ramai daripada masyarakat kita yang menghantar anak-anak ke prasekolah lebih lambat, iaitu di K1 dan K2 dan anak-anak kita hanya mendapati satu atau dua tahun di prasekolah, jadi pendedahan tidak begitu tinggi, anak-anak kita tidak begitu bersedia dari alam matematik ataupun bahasa Inggeris," tekan beliau yang juga merupakan Menteri Negara Kanan bagi MINDEF.

SHAHRULNIZAM ZABOR ANTARA PEMENANG ANUGERAH MTS 2020

Para tutor dan mentor menurut Encik Zaqy merupakan benteng bagi mencapai visi MENDAKI ini.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Shahrulnizam Zabor, antara 37 tutor MTS yang dipilih sebagai pemenang Anugerah Tutor Cemerlang bagi tahun ini.

Ini kali keempat beliau memenangi Anugerah tersebut.

(Gambar: Mendaki)

(Gambar: Mendaki)

"Program MTS ini juga telah meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar di mana para pelajar diuji sepanjang tahun. Proses ini amat berkesan kerana pelajar-pelajar MTS telah menunjukkan kemajuan dalam mata pelajaran mereka.

"Perlaksanaan ujian pra dan ujian pasca dalam program ini sangat penting dalam mengenal pasti topik-topik yang sukar untuk difahami para pelajar. Hal ini membolehkan tutor menyelami konsep yang sukar difahami oleh pelajar agar tuto boleh membantu mempertingkatkan pemahaman mereka," kongsi beliau dengan pihak kami.

Kesemua pemenang Anugerah MTS membawa pulang trofi, sijil pencapaian dan wang tunai $300 setiap seorang.

Majlis zoom ini dihadiri 230 individu meliputi para tutor, penyelia pusat dan rakan-rakan kerja MTS.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan