Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramadan kedua terakhir TKC; peniaga sungguh-sungguh habiskan stok, mula buat persiapan untuk pindah

Sudah lebih 18 tahun, Encik Abdul Wahab Abdullah menjahit dan menjual songkok di kedainya di Tanjong Katong Complex.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah lebih 18 tahun, Encik Abdul Wahab Abdullah menjahit dan menjual songkok di kedainya di Tanjong Katong Complex.

Namun, tahun ini merupakan Ramadan kedua yang terakhir bagi Encik Abdul Wahab untuk berniaga di sana.

Ini kerana Tanjong Katong Complex akan ditutup mulai Jun 2023 bagi kerja-kerja naik taraf besar-besaran selama tiga tahun.

PENIAGA TKC SUNGGUH-SUNGGUH HABISKAN STOK

Bagi sesetengah pemilik kedai yang sudah berniaga di sana selama berpuluh-puluh tahun, ada yang melihatnya sebagai kesempatan untuk berehat ataupun bersara.

Namun, mereka tetap berasa hiba apabila digamit memori bersama para pelanggan di bangunan ikonik itu di Geylang Serai.

"Perasaan saya tentu sedih kerana selama hampir 20 tahun saya di sini. Saya kemungkinan berehat sekejap dan kemudian saya melihat mana yang tempat yang terbaik untuk saya berniaga nanti kelak.

"Inilah Ramadan kedua yang terakhir kalau bagi saya, saya terpaksa lakukan bersungguh-sungguh untuk jual semuanya," kata Encik Abdul Wahab yang terkenal dengan songkok 'Cap Beca' kepada BERITAmediacorp.

Mujur dengan persiapan menjelang Hari Raya, penjualan di kedai Encik Abdul Wahab bertambah rancak tahun ini, lebih-lebih lagi setelah dua tahun orang ramai tidak dapat beraya sakan dek langkah kawalan COVID-19.

Ini selain menyediakan pilihan untuk para pelanggannya membeli barangan-barangan keperluan raya seperti songkok, kain samping dan capal menerusi wadah online.

"Untuk bulan puasa kita ada sasaran untuk penjualan harian dan mingguan tapi nampak ada peningkatan. Mungkin dalam 15-20 peratus. Dapatlah kita bernafas sikit," kata Encik Abdul Wahab, 62 tahun.

Tinjauan BERITAmediacorp mendapati purata pemilik kedai di Tanjong Katong Complex mengadakan jualan murah sempena Hari Raya dan juga bagi menghabiskan bekalan stok yang ada sebelum mereka berpindah ke tempat baru.

ADAKAN JUALAN MURAH; CARI LOKASI BARU

Seorang lagi penyewa veteran di Tanjong Katong Complex yang sudah bertapak di sana selama lebih 20 tahun ialah Fotohi Carpet Gallery.

Menjelang penutupan Tanjong Katong Complex pada pertengahan tahun depan, syarikat itu sudah pun mengenal pasti tempat baru untuk mereka meneruskan perniagaan.

"Rancangan kami selepas kerja-kerja naik taraf yang akan dijalankan di Tanjong Katong Complex pada Jun 2023, adalah untuk berpindah ke Bangunan Guthrie yang terletak berhampiran," kata pemiliknya, Encik Reza Fotohi, 56 tahun.

Disebabkan ruang terhad di tempat yang baru, Fotohi Carpet Gallery cuba mengurangkan sebanyak mungkin bekalan stok karpet sedia ada dengan menawarkan potongan harga.

Bagi Golden Chance pula, mereka merancang untuk berpindah ke City Plaza setelah tempoh pajakan berakhir pada Jun 2023.

Demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties Ltd, Hasan Marican kepada BERITAmediacorp.

Meskipun ada yang sudah merancang mencari tempat baru untuk berpindah, tinjauan BERITAmediacorp mendapati rata-rata pemilik kedai mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' dahulu sebelum membuat keputusan seterusnya.

Ini kerana perasaan 'sayang' untuk meninggalkan tempat yang sudah sebati dengan diri mereka selama berpuluh-puluh tahun.

Ibarat tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

"Tentu sekali ia bukan mudah, menjadi sebahagian daripada bangunan ini, misalnya kami seperti sebahagian daripada barangan di sini, nama kedai, kakitangan kami.

"Perasaannya seolah-olah perlu melepaskan sesuatu yang sudah kita dakapi di sini seperti jiran tetangga kami adalah seperti keluarga sendiri, seperti anda tahu, segala-galanya sangat mesra di sini," kata Encik Reza.

Sentimen serupa juga dikongsi oleh beberapa pelanggan yang kerap mengunjungi Tanjong Katong Complex.

"Rasanya macam susah juga, pasal kita sudah biasa di sini, keluar masuk di sini. Lagipun sini kan tempat kunjungan orang-orang Melayu, semua dapat tahu," kata Jumliah Idris, 77 tahun.

"Macam rasa macam sepi tempat ini, macam kita nak datang bersinggah-singgah macam dah tak ada pemandangan kan," kata Zaidah Kabis, 69 tahun.

Seramai 106 pemilik kedai di Tanjong Katong Complex akan berpindah keluar daripada pusat beli-belah ikonik itu apabila ia ditutup bagi kerja-kerja naik taraf pada Jun 2023.

Tanjong Katong Complex dibangunkan pada tahun 1982.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan