Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Ramadan Charity Ride' 2023 lebih gah dengan kehadiran penyanyi rok M'sia Awie

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meski harus berpanas terik, lebih 1,000 individu daripada lebih 120 kumpulan dan kelab motosikal di Singapura berkumpul di tempat meletak kereta di East Coast F3 pada Ahad (19 Mac) untuk tujuan murni dalam acara tahunan 'Ramadan Charity Ride' anjuran Bikers Union, Wings MG Society dan Singapore Bikers Inc Club.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Tempat letak kereta itu dipenuhi dengan 'abang-abang motor' seawal pukul 2.00 petang dengan sekurang-kurangnya 300 motosikal 'mengaum' dengan bunyi perahan enjin masing-masing.

Sudah menjadi satu tradisi bagi para penggemar motosikal dari Bikers Union ini berkumpul setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

Namun acara 'Ramadan Charity Ride' kali ini lebih istimewa dengan kehadiran legenda rok dari Malaysia, Awie.

"Alhamdulillah saya rasa ini satu penghargaan bagi kami dan terima kasih banyak kepada semua penggemar motosikal Singapura yang sama-sama merealisasikan program ini dan ini adalah satu program yang bagus yang saya harap perlu diadakan setiap tahun walau tiada saya sekalipun, jalan terus. Saya sanggup datang dari Malaysia apatah lagi yang di sini, mesti sama-sama menyokong untuk membantu mereka-mereka yang memerlukan insya-Allah," kata Ketua Kumpulan Wings Society, Awie.

(Gambar: Nurfazirah Azman)

Acara itu bertujuan mengutip dana dan memberikan sumbangan kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA) menjelang bulan mulia itu.

"Kita sama-sama menyambut kedatangan bulan Ramadan yang mulia insya-Allah dan dapat menyatukan kumpulan-kumpulan dan kelab-kelab yang lain supaya kita bersama bersilaturahim dan sambil membantu kita berhibur sedikit," kata Pengerusi Acara, Hazaan Lee Omar.

Menurut Pengurus Pendaftaran, Encik Hassan, 15 peratus daripada kumpulan yang mendaftar tahun ini merupakan peserta bukan Melayu/Islam.

Antaranya adalah seorang lelaki dari Korea, Lee Jong Seung, yang datang menaiki motosikalnya selama 30 hari daripada Korea Selatan ke Singapura.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Meski berdepan dengan cabaran imigresen, beliau berterima kasih kepada rakan-rakannya dari kumpulan Wearnes Harley-Davidson Singapore atas bantuan mereka.

Acara amal ini diserikan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat Mohamed Abdullah Alhabshee, yang juga suami kepada Presiden Halimah Yacob.

Beliau turut 'perah' enjin motor dan menunggang motosikal tajaan Wearnes Harley-Davidson Singapore dan menyertai konvoi ke Wisma Geylang Serai (WGS).

(Gambar: Nurfazirah Azman)
Setibanya di WGS, mereka disambut para hadirin dan peminat yang turut tidak sabar menantikan persembahan daripada Awie sendiri dan Sangam Boys.
Melihat sambutan yang memberangsangkan bagi tujuan murni itu, para peserta berharap acara itu dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang.

"Kita para penggemar motosikal semua, kita berkumpul ramai-ramai dan kita harap generasi akan datang akan ambil contoh daripada apa yang kita lakukan," kata Ketua Kumpulan Seroja, Zulkifli Yusop.

Menurut Encik Zulkifli, seramai 15 ahli kumpulan Seroja menyertai acara pada Ahad (19 Mac) itu.

Buat kumpulan Kerengga pula, ini adalah tahun pertama mereka menyertai acara itu.

"Kami ingin mengeratkan persaudaraan dan meluaskan pemandangan untuk melihat orang-orang yang susah dan sokong TAA dan kalau boleh ingin adakan ini setiap tahun," kata Ketua Kumpulan Kerengga, Junaidi Sulaiman.

Pihak penganjur juga akan menghantar pencalonan bagi Rekod Dunia Guiness tahun ini sebagai acara konvoi terbesar.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan