Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura di hospital Jeddah: Usaha kumpul dana dihentikan; jumlah terkumpul kini 'lebih dari cukup'

Usaha pengumpulan dana bagi menampung kos perubatan wanita Singapura, Cik Rosanah Sahar, sudah dihentikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura di hospital Jeddah: Usaha kumpul dana dihentikan; jumlah terkumpul kini 'lebih dari cukup'

(Gambar: Facebook/Yaya HQuinn Kiddo)

BERITAmediacorp: Usaha pengumpulan dana bagi menampung kos perubatan wanita Singapura, Cik Rosanah Sahar, sudah dihentikan. Demikian menurut anaknya Encik Fathir Fauzan kepada BERITAmediacorp pada Isnin (6 Jun).

Cik Rosanah dimasukkan ke Kompleks Perubatan Raja Abdullah di Jeddah selepas menunaikan ibadah umrah.

Dalam kiriman mesej kepada BERITAmediacorp, Encik Fathir berkata: "Saya ingin mengemas kini bahawa kami sudah menerima lebih dari cukup dan kami membuat keputusan untuk menghentikan pengumpulan dana itu."

Beliau juga memberikan perkembangan tersebut dalam satu catatan di Facebook miliknya pada Isnin, sambil mengucapkan terima kasih kepada penderma.

Encik Fathir bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan jumlah yang diterima mahupun jumlah yang diperlukan.

"Sila nantikan kemas kini lanjut mengenai sumbangan anda," jelasnya dalam catatan itu.

CIK ROSANAH KINI DALAM KEADAAN SEDAR

Dalam catatan tersebut, Encik Fathir juga berkata ibunya sudah menjalani pemindahan darah pada Khamis (2 Jun).

Ibunya juga yang sebelum ini dalam keadaan tenat, kini dalam keadaan sedar namun "keadaannya masih tidak banyak berubah", jelas beliau.
Bagaimanapun, Cik Rosanah kini di bawah pemantauan pasukan pakar di hospital tersebut.

"Kami sedang cuba sedaya upaya untuk menyelaras dan berhubung dengan agensi relevan bagi membawa pulang beliau ke Singapura," kongsi Encik Fathir dalam catatan tersebut.

DIJADUAL PULANG 1 JUN LALU

Cik Rosanah dijadual pulang ke Singapura pada 1 Jun selepas menunaikan ibadah umrah bersama Tarbiah Projects apabila beliau mengalami masalah-masalah kesihatan.

Beliau mula batuk-batuk dan kemudian mengalami demam selama beberapa hari, diiringi lebam-lebam pada lengannya.

Hidung Cik Rosanah mula berdarah tanpa henti di lapangan terbang, dan beliau dihantar ke hospital.

Selepas semalaman di hospital, beliau kembali ke lapangan terbang, dan semasa menunggu, mula muntah darah.

Antara proses yang harus dilalui Cik Rosanah termasuk pemindahan darah, pemindahan platelet, imbasan X-ray, ujian darah, kos hospital dan ubat-ubatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa