Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura dalam keadaan tenat di Jeddah selepas tunai umrah; usaha kumpul dana dilancarkan

Seorang wanita rakyat Singapura, Rosanah Sahar, yang dijadual pulang ke Singapura pada 1 Jun selepas menunaikan ibadah umrah, kini dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Jantung (CCU) di Kompleks Perubatan Raja Abdullah di Jeddah.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura dalam keadaan tenat di Jeddah selepas tunai umrah; usaha kumpul dana dilancarkan

(Gambar: Facebook/Yaya HQuinn Kiddo)

BERITAmediacorp: Seorang wanita rakyat Singapura, Rosanah Sahar, yang dijadual pulang ke Singapura pada 1 Jun selepas menunaikan ibadah umrah, kini dalam keadaan tenat di Unit Jagaan Jantung (CCU) di Kompleks Perubatan Raja Abdullah di Jeddah.

Ini disahkan sendiri kepada BERITAmediacorp oleh anaknya, Encik Fathir Fauzan, 29 tahun, yang terbang dari Singapura pada Khamis malam (2 Jun) dan kini berada di Jeddah.

Menurut Encik Fathir, Cik Rosanah menunaikan ibadah umrah bersama Tarbiah Projects.

"(Ibu saya) tidak dibiarkan sendirian. Pegawai dari Tarbiah Projects ada bersamanya sepanjang beliau berada di sini - sesuatu yang saya amat hargai," kata Encik Fathir.

Pegawai tersebut juga, kata Encik Fathir, turut mengutamakan ahli keluarga Cik Rosanah dan mengaturkan untuk Encik Fathir dan adiknya terbang ke Jeddah.

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Tarbiah Projects bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

BERITAmediacorp difahamkan, Cik Rosanah adalah seorang pesakit barah yang "sudah menjalani pelbagai rawatan".

TULAR DI MEDIA SOSIAL

Berita mengenai Cik Rosanah mula tular sejak Khamis selepas sepupu Encik Fathir memuat naik perincian tentang keadaan Cik Rosanah yang terpaksa dimasukkan ke hospital sebelum beliau berangkat pulang.

Dalam catatan di Facebook itu, sepupu Encik Fathir dengan gelaran 'Yaya HQuinn Kiddo' turut memulakan pengumpulan dana untuk didermakan secara langsung kepada Encik Fathir bagi menampung bil perubatan serta bagi membawa pulang Cik Rosanah ke Singapura.

Antara yang ditulis dalam catatan itu: "Semasa menunaikan umrah di Arab Saudi, dia mula batuk-batuk dan kemudian mengalami demam selama beberapa hari, diiringi lebam-lebam pada lengan-lengannya.

"Keadaannya menjadi semakin buruk dan hari demi hari, hidungnya mula berdarah. Kami pergi berjumpa doktor dan membuat ujian darah. Doktor mengatakan platelet darahnya rendah."

Di akhir ibadah umrahnya di lapangan terbang, menurut catatan tersebut, hidung Cik Rosanah mula berdarah tanpa henti dan dia dibantu pramugara dan pasukan perubatan.

"Daripada pulang ke Singapura, dia diberitahu supaya tidak menaiki pesawat dan dihantar ke hospital. Beliau diberi kebenaran pulang selepas semalaman di hospital.

"Dia pulang ke lapangan terbang pagi itu, dan semasa menunggu, dia mula muntah darah," menurut catatan itu.

pesakit
(Gambar: Facebook/Yaya HQuinn Kiddo)

KUMPUL DANA BAGI BIAYAI KOS PERUBATAN

Meskipun belum dapat mengesahkan kos bil perubatan yang perlu ditanggung, antara proses yang harus dilalui Cik Rosanah termasuk pemindahan darah (blood transfusion), pemindahan platelet, imbasan X-ray, ujian darah, kos hospital dan ubat-ubatan.

Encik Fathir berkata: "Ya, sepupu-sepupu saya bantu melancarkan pengumpulan dana.

"(Namun) saya belum ada sebarang anggaran kerana saya belum dapat berbual dengan pegawai hospital."

IRINGAN DOA AHLI KELUARGA, SAHABAT

Para anggota keluarga dan kenalan Cik Rosanah juga dilihat memuat naik catatan-catatan bagi menyebarkan usaha mengumpul dana sambil memanjatkan doa buat Cik Rosanah.

Besan kepada Cik Rosanah, dengan nama gelaran 'Ajes Boyan', menulis: "Semoga Allah memberikanmu kekuatan dan kesabaran sehingga kamu sembuh dan sihat sepenuhnya, anak-anakmu datang menemanimu di sana."

Sahabat Cik Rosanah, Cik Noorliza Mohd Ali, juga berkongsi dalam catatannya: "Liza memohon kepada semua, di pagi Jumaat (3 Jun) yang penuh Barakah ini untuk memanjatkan doa untuk sahabat, Rosanah Sahar, yang sekarang terlantar di hospital di Jeddah.

"Semoga dipermudahkan segala urusannya serta keluarganya untuk membawa dia pulang ke Singapura untuk dirawat."

Sumber : BERITA Mediacorp/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa