Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura 29 tahun ditahan ISA; buat persiapan ke luar negara untuk sertai konflik bersenjata

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat Singapura, Radjev Lal s/o Madan Lal (Radjev), 29 tahun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April lalu.

Ini selepas Radjev menjadi radikal dan membuat persiapan untuk ke luar negara bagi menyertai konflik-konflik bersenjata, dedah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Selasa (15 Jun).

Radjev yang bekerja sebagai pemunggah di sebuah syarikat logistik mula menjadi radikal pada 2013 selepas dia diperkenalkan dengan ceramah-ceramah online yang disampaikan oleh pendakwah radikal, Imran Hosein (Imran).

Ajaran-ajaran songsang Imran yang menyentuh tentang Hari Kiamat dan kebangkitan kumpulan Black Flag Army (Tentera Bendera Hitam) membuat Radjev semakin taksub dengan ceramah-ceramah sedemikian termasuk ajaran yang disampaikan oleh pendakwah tegar yang lain seperti Anwar Al-Awlaki dan Musa Cerantonio.

Dia juga semakin terpengaruh dengan ajaran yang mendakwa seolah-olah sudah menjadi kewajipannya untuk mengangkat senjata dan membunuh semua 'musuh' Islam.

Dalam pandangannya yang sudah menyimpang itu, "musuh" tersebut termasuk golongan bukan Muslim yang masuk campur dalam hal-hal Islam serta negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh ISD, Radjev cuba mempengaruhi keluarga dan rakan-rakannya melalui fahaman radikalnya dan dia juga cuba merekrut mereka untuk menyertai perjuangannya.

Radjev malah sanggup menubuhkan sebuah kumpulan media sosial untuk menyebarkan ideologi tegar itu.

Tiada seorang pun ahli keluarga atau rakannya di Singapura yang terpengaruh dengan desakannya itu, jelas ISD.

Selain itu, Radjev juga membuat persiapan untuk melakukan perjalanan ke Syria pada 2014 dengan niat untuk menyertai kumpulan ISIS.

Radjev bagaimanapun memutuskan untuk membatalkan rancangan tersebut selepas menonton video Imran Hosein yang mempersoalkan sama ada ISIS adalah sebahagian daripada kumpulan Tentera Bendera Hitam.

Semasa diberkas, Radjev percaya bahawa kumpulan Taliban mungkin mewakili Tentera Bendera Hitam dan dia sudah merancang untuk ke Afghanistan bagi menyertai Taliban.

"Radjev tidak mempunyai sebarang rancangan khusus untuk melancarkan serangan terhadap Singapura tetapi dia mengaku bahawa dia sanggup melakukan serangan di Singapura atau terhadap kepentingan Singapura di luar negara jika diarahkan supaya berbuat demikian oleh Imran atau Tentera Bendera Hitam," dedah ISD.

"ISD akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu di Singapura yang menyokong, mempromosikan, mengambil bahagian atau membuat persiapan untuk melakukan keganasan bersenjata, tanpa mengira sama ada keganasan itu wajar ataupun tidak, ataupun di mana saja keganasan itu berlaku."

Menurut ISD, kes Radjev dengan jelas menunjukkan betapa Singapura dan rakyat negara ini tidak terlepas daripada ideologi songsang dan fahaman tegar yang disebarkan oleh para pendakwah radikal, termasuk melalui wadah online.

Maka itu, adalah penting untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada pihak berkuasa agama dan sumber-sumber yang diyakini.

DIBEBASKAN DARI TAHANAN ISA

Dua rakyat Singapura, Hazim Syahmi bin Mahfoot, 31 tahun dan Ruqayyah binti Ramli, 35 tahun masing-masing dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari dan Februari lalu.

Mereka ditahan selepas menjadi radikal.

Kedua-dua tahanan itu menunjukkan kemajuan yang baik dalam proses pemulihan masing-masing dan dinilai tidak lagi akan menimbulkan ancaman keselamatan yang memerlukan penahanan pencegahan.

Hazim yang ditahan di bawah ISA pada Januari 2019 adalah kenalan seorang lagi rakyat Singapura, Mohamed Kazali Salleh. Hazim terpengaruh dengan fahaman radikal Kazali sehinggakan dia sanggup mengangkat senjata bagi menghapuskan "musuh-musuh agamanya".

Menurut ISD, Hazim dibebaskan atas Arahan Penggantungan (SD) pada Januari lalu.

Ruqayyah pula ditahan di bawah ISA pada April tahun lalu.

Dia menjadi radikal selepas terpengaruh dengan suaminya, Mohd Firdaus bin Kamal Intdzam, seorang rakyat Malaysia.

Ruqayyah juga menyokong niat suaminya untuk ke Syria dan menyertai kumpulan ISIS.

Ruqayyah pada awalnya dikenakan Arahan Sekatan (RO) pada Ogos 2020 tetapi kemudiannya ditahan pada April tahun lalu selepas tingkah lakunya semakin radikal.

Ruqayyah dibebaskan atas Arahan Penggantungan (SD) pada Februari lalu.

BERWASPADA TERHADAP TANDA-TANDA RADIKALISASI

ISD menasihatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap tanda-tanda yang menunjukkan seseorang individu itu mungkin menjadi radikal.

Ini termasuk:
a) kerap melungsuri lelaman web radikal
b) memuat naik/berkongsi pandangan extremisme di wadah media sosial
c) berkongsi pandangan tegar mereka dengan rakan-rakan dan saudara-mara
d) mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kebencian terhadap kaum atau penganut agama lain
e) meluahkan niat untuk menyertai kegiatan ganas di dalam mahupun luar negara
f) menghasut orang lain untuk melakukan keganasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan