Rakyat Singapura didakwa selepas rosakkan ambulans London semasa Piala Dunia
Seorang rakyat Singapura berusia 26 tahun didakwa kerana merosakkan sebuah ambulans semasa musim Piala Dunia awal tahun ini, lapor media Britain.
Beberapa orang menari di atas ambulans NHS selepas meraikan kemenangan England dalam perlawanan Piala Dunia. (Gambar: Tolga Akmen/AFP)
SINGAPURA: Seorang rakyat Singapura berusia 26 tahun didakwa kerana merosakkan sebuah ambulans semasa musim Piala Dunia awal tahun ini, lapor media Britain.
Jian Kangyue, dengan dua lelaki tempatan, dituduh meretakkan cermin depan dan mengemikkan bonet kenderaan berkenaan selepas perlawanan suku akhir Piala Dunia antara England dengan Sweden pada 7 Julai.
Seorang wanita Scotland turut dirakam sedang menari di atas ambulans tersebut, yang diletak di Southwark Street, berdekatan stesen London Bridge, selepas itu.
Jian, bersama dua lelaki tempatan, Scott Dennett dan James Elton, serta seorang wanita bernama Larissa Bell, hadir di Mahkamah Magistret Camberwell London pada Khamis (29 nov), di mana mereka didakwa menyebabkan kerosakan £6,867.42 (sekitar S$12,000), lapor Daily Mail.
Kerosakan itu dipercayai mengakibatkan ambulans tersebut tidak dapat digunakan selama 34 hari.
Pendakwa raya, Dami Eniola, memberitahu mahkamah bahawa beribu-ribu orang berkumpul pada hari kejadian untuk menyaksikan perlawanan dan menyokong England. Selepas perlawanan, orang ramai menuju Southwark Street, kata Cik Dami Eniola seperti ditukil Daily Mail.
"Keseluruhannya, tujuh orang didapati berada di atas kenderaan itu, seperti yang dirakam dalam video yang dimuat naik ke media sosial," tambah Cik Eniola.
Elton dan Jia kedua-duanya dilaporkan mengaku tidak bersalah semasa perbicaraan, sementara Bell dan Dennett tidak mengemukakan rayuan.
Para suspek dibebaskan dengan ikat jamin dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 8 Januari depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.