Rakyat Singapura bergaji rendah dan berisiko hidap barah bakal dapat lebih banyak bantuan pemeriksaan
Rakyat Singapura berpendapatan rendah dan berisiko menghidap barah kerana keluarga mereka mempunyai sejarah penyakit itu akan mendapat bantuan kewangan untuk menjalani pemeriksaan genetik bagi mengenal pasti risiko mereka menghidap barah.
SINGAPURA: Rakyat Singapura berpendapatan rendah dan berisiko menghidap barah kerana keluarga mereka mempunyai sejarah penyakit itu akan mendapat bantuan kewangan untuk menjalani pemeriksaan genetik bagi mengenal pasti risiko mereka menghidap barah.
Pemeriksaan boleh dilakukan di Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCSS). NCSS memeterai Memorandum Persefahaman dengan Persatuan Barah Singapura (SCS) hari ini (27 Feb) untuk memperluaskan sokongan sedemikian bagi rakyat Singapura.
Tujuannya untuk mempertingkatkan lagi usaha pencegahan dan pengesanan barah di peringkat awal.
Pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) akan mendapat sehingga S$1,000 setahun untuk terus menjalani pemeriksaan barah yang diperlukan. Program pemeriksaan itu akan menerima dana sekitar S$2.6 juta dari NCCS dan SCS sepanjang tiga tahun.
Buat masa ini, pasukan Khidmat Genetik Barah memeriksa sekitar 100 pesakit seminggu, menurut pengarah perubatan NCCS Profesor William Huang.
Barah merupakan punca kematian utama di Singapura, dengan satu daripada tiga kematian yang dicatatkan akibat penyakit itu.
Secara purata, sekitar 10 hingga 15 peratus barah disebabkan faktor keturunan, sekali gus menjadikan pemeriksaan genetik lebih genting bagi pengesanan awal penyakit tersebut.
Menjelang 2022, SCS akan ditempatkan di bangunan yang sama dengan NCCS, dekat dengan Hospital Besar Singapura.
Ini bermakna pesakit barah yang memerlukan bantuan kewangan, pemulihan atau sokongan hospis tidak perlu lagi pergi ke pelbagai tempat untuk mendapat bantuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.