Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat SG yang dilapor hilang di Sepanyol ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman: Laporan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Apr 2024 10:33AM Dikemas Kini : 19 Apr 2024 12:36AM
SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Singapura yang dilaporkan hilang ketika bercuti di Sepanyol, ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman.

Demikian menurut media Sepanyol pada Rabu (17 Apr).

Seorang lelaki warga Singapura diberkas berkait kematiannya.

Cik Audrey Fang, 39 tahun, tiba di negara tersebut untuk bercuti seorang diri pada 4 Apr dan dijangka pulang ke tanah air pada 12 Apr.

Dia dijadual menginap di sebuah hotel mewah di bandar Xabia di pantai timur Sepanyol sehingga 10 Apr, tetapi dikatakan keberadaannya yang terakhir setakat diketahui pada 9 Apr.

Dia dilaporkan hilang selepas meninggalkan biliknya pada kira-kira 8.45 malam pada hari tersebut. Barangan peribadinya ditinggalkan di biliknya dan dia tidak menaiki penerbangannya pulang ke Singapura dari Barcelona.

Mayat Cik Fang dilaporkan ditemui dengan beberapa kesan tikaman berdekatan dengan sebuah tempat letak kereta di perbandaran Abanilla pada 10 Apr. Pihak berkuasa tempatan bagaimanapun hanya mengenal pastinya pada Rabu.

Menurut akhbar online El Espanol, mayatnya ditemui oleh ketua inspektor divisyen polis tempatan ketika dia dalam perjalanan untuk sarapan pagi di sebuah restoran berhampiran lebuh raya RM-422 di Abanilla.

Abanilla terletak kira-kira 150 kilometer daripada Xabia, sebuah daerah kejiranan.

Seorang lelaki rakyat Singapura diberkas Pengawal Awam Sepanyol pada Selasa berkaitan dengan kematian Cik Fang. Dia dijangka dihadapkan ke mahkamah pada hujung minggu ini, menurut El Espanol.

Akhbar tersebut menambah pihak berkuasa tidak mendedahkan hubungan antaranya dengan Cik Fang.

Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan