Skip to main content

Singapura

Rakyat SG salur bantuan kepada mangsa gempa Turki

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 17 Feb 2023 09:33PM Dikemas Kini : 17 Feb 2023 09:37PM
TURKI: Pasukan elit bantuan bencana dan penyelamat Singapura akan pulang ke tanah air pada Sabtu (18 Feb), selepas dikerahkan selama 10 hari di Turki yang dilanda gempa.

Pasukan Operation Lionheart terdiri daripada 68 anggota, mereka menyumbangkan bekalan seperti peralatan dan ubatan-ubatan serta barangan asas seperti makanan dan khemah.

Angka korban gempa bumi di Syria dan Turki sudah mencecah hampir 44,000 orang.

Namun, jumlah sebenar dipercayai melebihi angka rasmi tersebut.

Rakyat Singapura pula giat membantu dalam usaha kemanusiaan di kedua-dua negara menerusi pelbagai cara.

Seorang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Nuzulul Qadar, yang menetap di Istanbul mengetepikan pelajarannya untuk menyumbang tenaga ke kawasan yang terjejas.

"Salah satu rakan saya daripada sebuah NGO menghubungi saya dan berkata "anda boleh turun ke tapak bencana?"
Saya tanya kenapa? Dia kata para sukarelawan sangat letih," kata Encik Nuzulul.

"Mereka sudah berada di sana untuk hampir tiga hari, mereka tidak dapat tidur secukupnya, tiada tempat tinggal sesuai, mereka tidak mandi untuk tiga hari penuh. Jadi mereka kata jika anda boleh hulurkan bantuan, ianya amat bermanfaat," tambahnya.

Encik Nuzulul dan rakannya memandu selama 17 jam ke Antakya, memandangkan tiada penerbangan ke sana.

Di situ mereka sedar bahawa banyak daripada bantuan yang dihulurkan tersekat di pusat bandar.

Ramai penduduk sudah meninggalkan tempat itu dan pengangkutan juga berkurangan.

Lantaran itu, Encik Nuzulul memanfaatkan kenderaannya dan menghantar kiriman bantuan dari kawasan bandar ke kawasan perkampungan.

Seorang usahatekwan Jacintha Phua pula, menubuhkan inisiatif 'Turkiye Relief' bersama beberapa rakannya.

Ia bagi mengumpulkan sumbangan untuk membeli khemah-khemah yang merupakan barangan penting bagi jutaan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Usaha Cik Phua berjaya mengumpulkan hampir S$60,000 dalam tempoh tiga hari sahaja.

Singapore Airlines akan menghantar bekalan tersebut tanpa sebarang kos, dari China ke Turki melalui Singapura.
Sumber : CNA/IA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita