Skip to main content

Singapura

Rakyat SG, PR tetap akan dikenakan tindakan serupa sekalipun salah guna etomidate di luar negara

Rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura (PR) yang menyalahgunakan etomidate di luar negara tetap akan dikenakan tindakan serupa jika kesalahan dilakukan di Singapura, kata Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim pada Isnin (22 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Sep 2025 01:34PM Dikemas Kini : 22 Sep 2025 09:15PM
SINGAPURA: Rakyat dan penduduk tetap (PR) Singapura yang menyalahgunakan etomidate di luar negara tetap akan dikenakan tindakan serupa, seperti kesalahan dilakukan di Singapura, kata Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim pada Isnin (22 Sep).

Hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan vape berkuat kuasa pada 1 September, dengan etomidate, iaitu ejen anestetik yang ditemui dalam vape - disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).

Semasa berucap di Parlimen, Dr Faishal merujuk kepada bidang kuasa luar wilayah MDA, yang menjadikannya ia satu kesalahan bagi mana-mana rakyat atau PR Singapura untuk mengambil dadah terkawal di luar negara.

"Dengan penyenaraian sementara etomidate dan analognya sebagai dadah terkawal Kelas C, hukuman yang sama akan dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan etomidate di luar negara," katanya.

Dr Faishal menjawab soalan parlimen yang difailkan mengenai vape, termasuk langkah kawalan sempadan Singapura bagi menangani penyeludupan produk vape secara haram.

Antara 15 September 2024 dengan 14 September 2025, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menggagalkan 76 percubaan penyeludupan berskala besar vape dan produk berkaitan di pusat pemeriksaan Singapura dan 57 percubaan menerusi pos.

Biro Narkotik Pusat (CNB) juga melumpuhkan sindiket yang menjalankan urus niaga vape yang dibubuh etomidate, dan memberkas lapan orang, katanya.

KEMAS KINI MENGENAI VAPE YANG DIKESAN DAN DIHAPUSKAN

Dalam menjawab soalan mengenai vape, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengesan hampir 10,000 kes pemilikan atau penggunaan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Dalam kalangan pengguna vape, lebih separuh berusia bawah 25 tahun, katanya.

Sepanjang tempoh yang sama, HSA juga menemui 38 kes pembekalan vape.

Berhubung vape yang mengandungi etomidate, terdapat 70 kes pemilikan atau penggunaan alat sedemikian pada tahun ini.

Encik Ong juga memberi kemas kini mengenai langkah-langkah yang diperkenalkan sejak pelaksanaan respons seluruh pemerintah yang diumumkan pada 28 Ogos.

Lebih 2,800 iklan online, termasuk yang ditemui pada platform kiriman mesej, diturunkan antara Januari dengan Ogos tahun ini.

Sejak menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C, kini terdapat lebih 10,000 pegawai yang diberi kuasa untuk menguatkuasakan tindakan terhadap kesalahan berkaitan vape.

Agensi-agensi relevan juga menjalankan serbuan bersama di tempat-tempat hiburan dan operasi di institusi pengajian tinggi, kata Encik Ong.

Sambil menarik perhatian kepada peri penting kewaspadaan awam bagi mengesan kesalahan, Encik Ong berkata HSA menerima lebih 4,600 aduan menerusi talian hotline antara Januari dengan Ogos, dan lebih 1,400 aduan menerusi borang online baharu yang dilancarkan pada lewat Julai.

Inisiatif 'Bin the Vape' juga diperkenalkan untuk menggalak pengguna vape supaya membuang alat vape mereka.

Sekitar 6,000 vape dan komponennya terkumpul dalam tong tersebut antara 25 Julai dengan 31 Ogos.

"Alat-alat itu dihapuskan dengan betul; tiada ujian dijalankan terhadap kandungannya kerana ia memerlukan banyak sumber ujian," kata Encik Ong.

Sambil menambah bahawa ia dilaksanakan dengan tujuan sebagai 'inisiatif buat masa terhad', beliau berkata: "Kami sudah pun mengurangkan jumlah tong yang ada dan meletakkannya di lokasi-lokasi khusus, seperti pusat pemeriksaan sempadan dan di mana program pemulihan dijalankan."

Program-program pemulihan juga dipertingkatkan seperti 'QuitVape' dan 'I Quit' bagi menyokong para pengguna menghentikan tabiat buruk itu.

Antara 1 September dengan 14 September, seramai 74 orang mendaftar untuk program itu, kata Encik Ong.

Anggota Parlimen (AP) Dennis Tan (WP-Hougang) juga bertanya tentang penilaian pemerintah mengenai risiko dan kemudahan pembuatan etomidate dan analognya di Singapura dan sama ada terdapat rancangan untuk menghentikan penggunaan etomidate dalam sekitaran perubatan.

Encik Ong berkata "tidak mungkin" pengeluaran vape etomidate akan berakar di Singapura disebabkan pendirian teguh negara ini terhadap penyalahgunaan dadah.

Beliau menambah etomidate tetap sejenis ejen anestetik yang berguna, khususnya pada waktu kecemasan bagi tujuan intubasi.

"Kami tidak mempunyai rancangan untuk menghentikan penggunaannya. Pengendaliannya dikawal dengan baik, sebelum ini di bawah Akta Racun dan kini di bawah MDA," menurut Encik Ong.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita