Skip to main content

Singapura

Rakyat SG Malone Lam didakwa di Amerika, ketuai kumpulan jenayah curi ratusan juta dolar mata wang kripto

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat SG Malone Lam didakwa di Amerika, ketuai kumpulan jenayah curi ratusan juta dolar mata wang kripto

Rakyat Singapura berusia 20 tahun, Malone Lam, didakwa di Amerika kerana mengetuai kumpulan jenayah mata wang kripto. (Gambar: Pejabat Syerif Broward)

WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mendakwa rakyat Singapura, Malone Lam atas tuduhan mengetuai kumpulan jenayah seramai 13 orang, yang dipercayai mencuri ratusan juta dolar dalam bentuk mata wang kripto.

Lelaki berusia 20 tahun itu sudahpun didakwa atas tuduhan mencuri mata wang kripto bernilai AS$230 juta (S$298.2 juta) daripada seorang mangsa di Washington DC.

Dalam tuduhan baharu, pendakwa persekutuan mendakwa bahawa beliau merancang satu skim yang lebih besar bersama 12 individu lain.

Ini termasuk menyembunyikan wang di dalam anak patung “squishmallow” dan menghantarnya ke seluruh Amerika untuk membayar ahli kumpulan jenayah tersebut.

Lam hadir di mahkamah di Washington DC pada Isnin (19 Mei), di mana beliau mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan baharu tersebut.

Kesemua 13 suspek dipercayai mengenali satu sama lain melalui platform permainan online, dan mereka membangunkan satu skim yang meraih keuntungan keseluruhan sebanyak AS$263 juta (S$341 juta).

Mereka mencuri wang daripada dompet mata wang kripto, menukarkannya menjadi dolar Amerika, dan kemudian melakukan kegiatan pengubahan wang haram.

Malone Lam dilaporkan memainkan peranan penting dalam skim itu dan dinamakan sebagai salah seorang daripada dua penganjur utama kumpulan tersebut.

Pejabat Peguam Negara Amerika bagi District of Columbia (DC) mendakwa bahawa Lam dan Conor Flansburg, 21 tahun, merancang skim untuk mengenal pasti dan menyasarkan pengguna mata wang kripto.

BERBELANJA DENGAN MEWAH

Lam didakwa mencuri 4,100 Bitcoin daripada seorang mangsa, yang pada masa kecurian pada Ogos 2024 bernilai lebih AS$230 juta.

Beliau dilaporkan membelanjakan wang itu di kelab-kelab malam – membayar sehingga AS$500,000 (S$648,310) setiap malam – serta membeli sekurang-kurangnya 28 kereta mewah, sebahagiannya bernilai sehingga AS$3.8 juta (S$4.9 juta) setiap satu.

Selain itu, Lam turut membeli pakaian mewah bernilai puluhan ribu dolar dan menyewa rumah di kawasan elit seperti Los Angeles, Hamptons, dan Miami.

Pendakwa persekutuan kini mendakwa Lam dan Flansburg bekerjasama dengan kumpulan itu untuk mengenal pasti mangsa lain, dan dilaporkan mencuri AS$14 juta (S$18.2 juta) daripada mangsa lain.

Mereka juga memecah masuk rumah.

Dalam satu insiden, seorang ahli kumpulan jenayah itu didakwa memecah masuk rumah seorang mangsa di New Mexico untuk mencuri perkakasan dompet mata wang maya.

Pendakwa mendakwa kumpulan itu menukar mata wang kripto yang dicuri kepada tunai, yang kemudiannya dihantar kepada ahli skim tersebut dengan menyorokkannya dalam anak patung "squishmallow".

MENJALANKAN OPERASI DARI DALAM PENJARA

Lam telah ditangkap pada bulan September lalu, tetapi dipercayai masih meneruskan operasi pertubuhan itu dari dalam penjara.

Dia dilaporkan terus berhubung dengan ahli kumpulan untuk “menghantar dan menerima arahan” semasa dalam tahanan, sementara menunggu perbicaraan yang dijadualkan pada musim luruh ini.

Beliau juga didakwa menyuruh ahli kumpulan membeli beg tangan mewah dan menghantarnya kepada teman wanitanya di Miami.

Kesemua 13 suspek, termasuk Lam, telah didakwa di bawah Akta Pertubuhan Rasuah dan Pengaruh Pencatut (RICO).

Peguamnya, Scott Armstrong, sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa “Malone Lam tidak sabar untuk menggunakan haknya untuk dibicarakan oleh juri dalam kes ini.” Perbicaraan dijadualkan bermula pada Oktober.

Jika didapati bersalah, Lam berdepan hukuman lebih 20 tahun penjara, denda sehingga AS$250,000 (S$324,030), atau sehingga seganda keuntungan yang diperolehnya daripada penipuan tersebut.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita