Skip to main content

Singapura

Rakyat SG mahukan presiden dengan 'tiada afiliasi politik', kata Ng Kok Song

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat SG mahukan presiden dengan 'tiada afiliasi politik', kata Ng Kok Song

Bakal calon presiden, Ng Kok Song, bercakap kepada media di Pasar Geylang Serai pada 27 Jul 2023. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Sehari selepas Encik Tharman Shanmugaratnam sekali lagi menekankan bahawa beliau tidak lagi terikat dengan mana-mana parti politik, bakal calon presiden Ng Kok Song mengulangi tentang dirinya yang kurang afiliasi politik.

Beliau juga menegaskan bahawa masa kini seseorang itu tidak boleh terpisah dengan mudah daripada masa lalunya.

Encik Ng, yang mengumumkan niatnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada minggu lalu, bercakap kepada media selepas melawat ke Pasar Geylang Serai pada pagi Khamis (27 Jul).

Selain Encik Ng yang berusia 75 tahun, mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, 66 tahun, dan usahawan George Goh, 63 tahun, juga menyatakan hasrat untuk bertanding bagi jawatan presiden.

Encik Tharman secara rasmi melancarkan kempen beliau pada Rabu (26 Jul). Apabila ditanya para wartawan tentang dirinya yang kini tidak terikat dengan mana-mana parti politik, Encik Tharman menekankan bahawa ada perbezaan antara "bebas daripada sebarang afiliasi dengan parti politik" dengan "kebebasan minda".
Mengulas tentang perkara ini, Encik Ng berkata: "Saya rasa tidak ada pelanduk dua serupa. Masa kini kita pasti bersangkut paut dengan masa lalu kita. Kita tidak boleh dengan mudah memisahkan masa kini dengan masa lalu kita."

Encik Ng memulakan kerjayanya dalam jabatan pelaburan luar negara Kementerian Kewangan sebagai seorang penganalisis pelaburan, sebelum berkhidmat di Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pula, dan akhirnya menamatkan khidmatnya dalam perkhidmatan awam selama 45 tahun selaku ketua pegawai pelaburan GIC.

"(Pada sisi lain) Encik Tharman bertahun-tahun berkhidmat (dalam politik)," katanya sambil menguntumkan senyuman. "Anda boleh membuat penilaian sendiri."

Sejak mengumumkan niatnya untuk bertanding, Encik Ng sering bercakap tentang bagaimana dirinya tidak mempunyai banyak afiliasi politik, dan tentang bagaimana Singapura memerlukan seorang presiden yang "bebas daripada sebarang parti politik demi melindungi integriti institusi-institusi kami".

Ini ditegaskan lagi ketika beliau mengulas tentang pengisytiharan Encik Tharman yang mahu menjadi "seorang presiden era baharu".

"Saya rasa apabila kita bercakap tentang era baharu, mungkin apa yang kita cakapkan adalah tentang keseimbangan dalam tadbir urus Singapura," kata Encik Ng, sambil menambah bahawa "keseimbangan antara presiden... dengan pemerintah" akan menjadi salah satu ciri utama tadbir urus era baharu ini.

"Saya rasa rakyat Singapura ingin melihat keseimbangan dalam era baharu ini... di mana Presiden tidak mempunyai sebarang afiliasi politik."
 
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita