Skip to main content

Singapura

Rakyat SG hilang dekat puncak Gunung Everest selepas terpisah dari kumpulan

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat SG hilang dekat puncak Gunung Everest selepas terpisah dari kumpulan

(Gambar: AFP/Sebastien Berger)

SINGAPURA: Seorang rakyat Singapura hilang selepas sampai ke puncak Gunung Everest pada Jumaat (19 Mei).

Ini menyebabkan keluarganya merayu bagi bantuan.

Menurut petisyen di laman hange.org, Encik Shrinivas Sainis Dattatraya berlepas dari Singapura ke Nepal untuk mendaki gunung tertinggi dunia itu pada bulan lalu.

Dalam petisyen itu, sepupu beliau Divya Bharath menyatakan bahawa semasa dalam perjalanan turun dari gunung tersebut, Encik Shrinivas kelihatan seperti mengalami luka beku dan mabuk altitud.

Ini menyebabkan beliau seperti terpisah daripada kumpulannya dan "terjatuh sekitar 8,000 meter, berkemungkinan ke bahagian Tibet gunung tersebut".

Cik Bharath berkata sekumpulan sherpa yang memulakan operasi mencari pada Sabtu pagi.

Laman berita BNN melaporkan Encik Shrinivas merupakan sebahagian daripada ekspedisi yang dianjurkan oleh Seven Summit Treks, iaitu sebuah syarikat Nepal yang menawarkan pendakian berpandu ke Gunung Everest dan gunung-gunung lain.

Beliau kali terakhir dilaporkan berhubungan dengan para pegawai kem pangkalan semasa berada sekitar 8,500 meter.

BNN menyifatkan Encik Shrinivas sebagai "menghilang daripada pandangan" semasa dalam perjalanan turun. Sherpa pemandu beliau berjaya sampai ke Camp IV, sebuah kem yang terletak antara Gunung Everest dengan gunung Lhotse pada pukul 8.00 malam pada Jumaat.

Dalam petisyen itu, Cik Bharath berkata keluarga mangsa sudah cuba mendapatkan bantuan pemerintah yang relevan.

"Perkara ini perlu dibawa kepada perhatian mereka secara mendesak. Kami memerlukan pasukan penyelamat khas yang dilatih bagi operasi di kawasan berisiko seperti ini dan untuk memastikan keseluruhan operasi menyelamat ini tidak dihambat oleh kertas-kertas kerja diplomatik," tambah Cik Bharath.

Beliau menambah keluarga Encik Shrinivas berdukacita tetapi tidak putus harapan.

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) bagi mendapatkan lebih banyak maklumat.

Pada Jumaat, AFP melaporkan, dua lagi pendaki maut di Gunung Everest, menambah jumlah kematian di gunung itu kepada sembilan.

Seorang pendaki rakyat Malaysia dan China juga disahkan sebagai mangsa terbaru.

Secara purata, sekitar lima pendaki meninggal dunia di Gunung Everest setiap musim bunga. Namun tahun ini, jumlahnya meningkat.

Kawasan di atas 8,000 meter itu dikenali sebagai "zon kematian" di mana udara yang tipis dan paras oksigen rendah meningkatkan risiko mabuk altitud. Permukaan kawasan itu juga ketahui sukar.

Nepal sudah mengeluarkan 478 permit bagi Gunung Everest kepada pendaki warga asing musim ini, yang berterusan sehingga awal Jun.

Memandangkan kebanyakan mereka memerlukan pemandu, lebih 900 orang akan cuba mendaki ke puncak.

Menurut jabatan pelancongan Nepal, lebih 400 pendaki sudah sampai ke puncak sejak laluannya ditetapkan pada Sabtu.
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita