Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat SG dinasihat tangguh perjalanan ke 6 wilayah Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat SG dinasihat tangguh perjalanan ke 6 wilayah Rusia

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 25 Oct 2022 09:23PM Dikemas Kini : 25 Oct 2022 09:23PM

SINGAPURA: Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Selasa (25 Okt) menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan perjalanan ke enam wilayah Rusia di tengah-tengah tahap keselamatan yang dipertingkat di kawasan berkenaan. 

MFA juga sekali lagi menekankan nasihatnya mengenai perjalanan ke Ukraine, yang dikeluarkan sebelum Rusia melancarkan serangan. 

"Memandangkan situasi keselamatan di Ukraine dan Rusia semakin memuncak dan berubah-ubah, MFA sekali lagi menekankan nasihat yang dikeluarkan pada 13 Februari 2022 kepada rakyat Singapura agar menangguhkan segala perjalanan ke Ukraine," menurut MFA dalam kenyataannya. 

"Selain itu, MFA menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan perjalanan ke Wilayah Krasnodar dan kawasan Belgorod, Bryansk, Voronezh, Kursk dan Rostov di Rusia, yang diletakkan di bawah tahap respons sederhana, hanya satu tahap sebelum keadaan darurat.

"Pihak berkuasa tempatan di wilayah tahap respons sederhana diberikan kuasa meluas untuk memindahkan sementara penduduk ke kawasan selamat; melaksanakan aturan khas untuk keluar dan masuk kawasan-kawasan tersebut serta menghadkan kebebasan pergerakan di kawasan berkenaan; dan menghadkan pergerakan kenderaan dan melakukan pemeriksaan ke atas mereka." 

Belgorod, Bryansk, Voronezh, Kursk dan Rostov dekat sempadan Ukraine, manakala Krasnodar dihubungkan dengan Crimea oleh jambatan melintasi Selat Kerch. 

MFA menggesa rakyat Singapura supaya berjaga-jaga, mengikuti perkembangan berita tempatan dengan teliti, mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya demi keselamatan sendiri dan mendaftar dengan khidmat eDaftar MFA. 

Rakyat Singapura di Rusia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan Singapura di Mosko di +7 499 241 37 02 pada waktu pejabat, atau +7 906 009 00 69 untuk kecemasan di luar waktu pejabat. 

Mereka juga boleh menghubungi Pejabat Petugas MFA yang beroperasi 24 jam di 6379 8800 atau 6379 8855.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa