Skip to main content

Singapura

Rakyat SG dilapor hilang di kawasan Everest; operasi mencari giat dijalankan

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat SG dilapor hilang di kawasan Everest; operasi mencari giat dijalankan
Diterbitkan : 28 Sep 2024 07:46PM Dikemas Kini : 28 Sep 2024 07:48PM
SINGAPURA: Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan bagi seorang rakyat Singapura selepas beliau dilaporkan hilang di kawasan Gunung Everest di Nepal.

Beberapa catatan media sosial mengenal pasti lelaki terbabit sebagai Harry Tan. Encik Tan, 76 tahun, dipercayai hilang berdekatan dengan laluan pendakian Kongma La Pass.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (28 Sep) menyatakan bahawa pihaknya sedang berhubung rapat dengan keluarga rakyat Singapura yang dilaporkan hilang itu serta pihak berkuasa Nepal, menerusi Suruhanjaya Tinggi Singapura di New Delhi.

MFA menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan, dan pihaknya akan terus memantau perkembangan itu, di samping menghulurkan sokongan konsular kepada keluarganya.

Pada kira-kira 5,550 meter di atas paras laut, Kongma La Pass adalah salah satu laluan gunung tertinggi di kawasan Everest.

Laman pengembaraan Nature Lovers Treks & Tours menyatakan bahawa ia dikenali dengan "pendakian curam", dan para pendaki harus mempunyai "tahap kecergasan fizikal dan daya ketahanan yang tinggi" sebelum mendakinya.

Dalam catatan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat malam, Anggota Parlimen (AP) Wan Rizal mendoakan bagi keselamatan Encik Tan, yang mendaki ke Kem Pangkalan Everest Nepal.
"Semoga beliau selamat dan sihat, dan semoga usaha mencari dan menyelamat dilakukan dengan pantas dan jayanya," katanya.

"Doa dan ingatan kami bersamanya pada masa sukar ini."

Pada Mei 2023, seorang pendaki rakyat Singapura dilaporkan hilang selepas sampai ke puncak Gunung Everest dan malangnya, pasukan mencari dan menyelamat tidak dapat mencarinya.

Menurut isterinya, dia menghidap edema serebrum altitud tinggi (HACE), penyakit altitud tinggi yang boleh menyebabkan keletihan dan kehilangan koordinasi, dan "tidak berupaya untuk turun".
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita