Skip to main content

Singapura

Rakyat SG dikhuatiri semakin 'terpengaruh' undi ikut kaum, agama sedang pilihan raya bertambah sengit

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Sep 2025 07:01PM Dikemas Kini : 25 Sep 2025 12:26AM
SINGAPURA: Walaupun rakyat Singapura menolak gesaan untuk mengundi berdasarkan kaum dan agama dalam Pilihan Raya Umum pada Mei lalu, pengaruh untuk berbuat demikian ini dijangka lebih besar apabila pilihan raya menjadi lebih sengit, kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (24 Sep).

Beliau berkata perpaduan negara bergantung kepada cara negara menjalankan politiknya, dan cara yang membina ke hadapan mesti merangkumi menerima pandangan pembangkang di parlimen.

Pemerintah juga akan berusaha lebih gigih untuk mendampingi dan berinteraksi dengan rakyat Singapura di luar Dewan, tambah Encik Wong.

Beliau bercakap di parlimen pada hari ketiga perbahasan mengenai Ucapan Presiden.

Ini kali pertama beliau berucap pada awal penggal baharu Parlimen sejak menyandang jawatan perdana menteri pada Mei 2024.

Encik Wong berkata "tidak diragui" bahawa identiti bersama rakyat Singapura semakin kukuh sejak kemerdekaan negara.

Meskipun beliau bersetuju dengan Ketua Pembangkang Pritam Singh bahawa rakyat Singapura mempunyai pelbagai identiti yang melangkaui kerakyatan - termasuk kaum dan agama - terdapat juga keperluan untuk “berpandangan jelas tentang realiti semasa kita”.

“Kaum dan agama, jika dieksploitasi, boleh dengan mudah membangkitkan perasaan dan memecahbelahkan masyarakat kita.

"Kita melihat perkara ini berlaku di banyak negara lain, dan Singapura tidak kebal daripada kuasa-kuasa ini,” katanya kepada Dewan, sambil menambah bahawa negara ini “hampir-hampir berdepan” perkara sebegitu semasa pilihan raya Mei lalu.

Ketika itu, dua ahli politik Malaysia dan seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini rakyat Australia, membuat catatan di Facebook, dengan menggesa pengundi supaya mengundi berdasarkan agama.

Pemerintah kemudian mengarahkan Meta untuk menyekat catatan tersebut di Singapura.

Pendakwah Noor Deros juga membuat catatan yang mencampuradukkan agama dan politik, termasuk satu yang menyenaraikan tuntutan kepada ahli politik dan mendakwa sudah mengadakan pertemuan dengan calon-calon Melayu Parti Pekerja (WP).

Beliau turut menggesa pengikutnya supaya mengundi calon-calon WP tertentu.

Rentetan insiden ini mendorong Encik Wong mengadakan sidang media di tengah-tengah kempen pilihan raya, di mana, sebagai perdana menteri, beliau menegaskan bahawa orang asing yang menggesa rakyat Singapura mengundi berdasarkan agama sudah “melampaui batas”.

Beliau juga menekankan bahawa pihak luar tidak boleh dibenarkan untuk mengambil kesempatan ke atas perpecahan dalam negara ini.

Kumpulan kaum dan agama lain akan turut bertindak untuk mempertahankan kepentingan masing-masing dalam pilihan raya akan datang, yang kemudian boleh membawa kesan buruk kepada masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama yang dibina Singapura sejak 60 tahun lalu, tambahnya.

Pada masa hadapan, pengaruh untuk mengambil pendekatan mengundi berdasarkan kaum dan agama akan menjadi lebih besar apabila pilihan raya menjadi lebih sengit, kata Encik Wong.

KEHADIRAN PEMBANGKANG

Apabila masyarakat menjadi semakin matang, politiknya juga akan berubah-ubah kata Encik Wong, sambil menambah bahawa beliau menyambut baik kehadiran pembangkang di parlimen.

“Dalam Pilihan Raya Umum ini, rakyat Singapura telah memilih untuk menghantar Anggota Parlimen PAP (Parti Tindakan Rakyat) dan WP ke sini, dan kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan setia.”

PAP tidak menganggap ia “secara automatik berhak untuk memerintah", kata Encik Wong.

“Hak kami untuk memimpin mesti diperoleh dengan bekerja keras dan memberi hasil yang meningkatkan kehidupan rakyat Singapura.

"Kejayaan dalam satu pilihan raya tidak menjamin kejayaan pada pilihan raya yang seterusnya.”

Encik Wong berkata beliau menjangkakan WP akan sentiasa memantau PAP dalam penggal pemerintah ini, dengan mengemukakan soalan, mengkaji dasar dan mempertanggungjawabkan pemerintah.

Sungguhpun begitu, pada akhirnya, parti politik "memberi khidmat kepada rakyat” dan “pasti akan ada akibatnya” jika mana-mana parti gagal memenuhi harapan dan piawaian tinggi rakyat.

DAMPINGI RAKYAT SINGAPURA

Di luar parlimen, pemerintah akan meneruskan pelbagai saluran rundingan awam, dan meluaskan lagi “peluang baharu bagi rakyat Singapura untuk berbincang dan berinteraksi dengan lebih mendalam,” kata Encik Wong.

Ini termasuk memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk memberi pandangan dalam membentuk jati diri kejiranan dan estet; terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar melalui, contohnya, panel rakyat; dan membantu menetapkan norma baharu bagi isu penting seperti pendidikan dan kerencaman budaya.

Secara khususnya, pemerintah berharap dapat melibatkan generasi muda.

Proses ini sedang dijalankan, misalnya melalui panel belia yang ditubuhkan pada 2023 untuk mengkaji isu-isu penting bagi golongan muda rakyat Singapura.

“Jadi kepada semua golongan muda rakyat Singapura, saya katakan: Kami tidak akan mengecewakan anda. Kami sedang membina Singapura untuk anda dan bersama anda,” kata beliau.

“Anda juga mempunyai peranan. Bekerjasamalah dengan kami untuk menjamin masa depan lebih cerah bagi diri anda dan rakan-rakan senegara anda.”
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita