Rakyat SG di Timur Tengah raikan Hari Raya Aidilfitri sederhana di tengah konflik
SINGAPURA: Rakyat Singapura yang menginap di Timur Tengah yang ditemui BERITA Mediacorp berkongsi akan meraikan Lebaran dengan sederhana.
Sambutannya juga diselubungi kerisauan dan suasana suram.
Manakan tidak, rantau itu masih lagi bergelut dengan peperangan antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang bermula pada awal Ramadan lalu.
Aidilfitri di kebanyakan negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar jatuh pada Jumaat (20 Mac).
KELUARGA ZURAIDAH RAHIM UBAH BANYAK RANCANGAN SAMBUTAN AIDILFITRI
Bagi keluarga Cik Zuraidah Rahim, yang telah menetap di Qatar sejak 2022, konflik di Timur Tengah telah menjejas keselamatan mereka.
Beliau masih terdengar bunyi serangan yang ketara di sekeliling tempat tinggalnya, menambah rasa cemas dalam menjalani hari-hari menjelang Aidilfitri.
Ini memandangkan kediamannya terletak berdekatan dengan pangkalan tentera Amerika, yang menjadi antara sasaran konflik di Timur Tengah itu.
Dek konflik yang masih berlarutan itu, keluarga Cik Zuraidah terpaksa mengubah banyak rancangan sambutan Aidilfitri dek situasi yang masih berlarutan di sana.
Cik Zuraidah berkata: "Ibu bapa saya dan kakak saya seharusnya datang sini 15 Mac lalu tetapi semuanya dibatalkan. Mereka tak dapat datang beraya di sini. Jadi saya bersama suami dan anak saya sekarang di sini sajalah yang akan sambut Syawal esok."
Bukan itu sahaja, Cik Zuraidah juga masih tidak pasti sama ada dua lagi anaknya yang berada di United Kingdom dapat bersama keluarga menyambut Syawal tahun ini.
"Setiap tahun kami dapat beraya sama-sama. Jadi, sedihlah tak dapat beraya dengan mereka kan," luah Cik Zuraidah kepada wartawan Syazwani Sanep.
Cik Zuraidah, yang bertugas sebagai kaunselor kesihatan mental, turut berkongsi rancangan keluarganya untuk meraikan Aidilfitri meskipun dalam suasana yang kurang meriah daripada kebiasaan.
"Biasanya kita ada ramai yang kita jemput dalam masa satu hari untuk rumah terbuka. Tetapi kita buat untuk setakat 3 hingga 4 jam dan tak ramai sangat yang kita jemput," jelasnya.
KEAKRABAN DENGAN KOMUNITI RAKYAT SG DI DUBAI SUMBER KEKUATAN RIDZUAN ZANIAL ABIDIN SEKELUARGA
Rancangan serupa turut dikongsi pasangan Encik Muhd Ridzuan Zainal Abidin, 44 tahun dan Cik Salena Abdul Ghani, 41 tahun, yang akan menyambut Aidilfitri di Dubai bersama empat orang anak mereka.
Menurut Encik Ridzuan, yang bertugas dalam industri minyak dan gas, suasana Aidilfitri tahun ini terasa kurang meriah apabila ramai kenalan telah pulang ke tanah air.
Mereka sebaliknya, memilih untuk tidak pulang ke Singapura, memandangkan anak sulung mereka bakal menduduki peperiksaan Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE) pada hujung April ini.
Terakhir kali keluarga itu pulang ke tanah air untuk menyambut Hari Raya ialah 5 tahun lalu.
"Di sini, kebiasaannya kami akan mengunjungi orang yang lebih berumur. Namun, kebanyakan sudah pulang kerana Hari Raya dan juga situasi peperangan ini. Jadi, tidak ramai yang dapat ditemui esok."
"Kami akan menjemput teman-teman akrab yang masih di sini ke rumah untuk bertakbir agar tetap dapat merasakan kemeriahan dan semangat bermasyarakat," kongsi mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.