Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat SG di Qatar pupuk silaturrahim di padang pasir

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat SG di Qatar pupuk silaturrahim di padang pasir

(Gambar: Khushrin Lani/CNA)

Diterbitkan : 29 Nov 2022 11:34PM Dikemas Kini : 29 Nov 2022 11:35PM
(Gambar: Khushrin Lani/CNA)

DOHA: Apabila lima rakyat Singapura yang menetap di ibu kota Qatar, Doha, tidak boleh pulang ke tanah air pada 2020 disebabkan pandemik COVID-19, mereka menubuhkan 'Dune Kakis', satu kumpulan yang mengongsi minat yang sama untuk memandu di padang pasir. 

Didorong oleh minat mereka itu, yang melibatkan memandu kenderaan empat roda turun naik bukit pasir yang curam, mereka mengambil setiap peluang yang ada untuk melakukannya pada hujung minggu. 

Bukit pasir itu terletak kira-kira sejam dari pusat bandar Doha dan menjadi lokasi bagi rakyat Singapura itu untuk mengeratkan lagi tali silaturahim. 

Kumpulan itu kini sudah bertambah besar sekurang-kurangnya enam kali ganda dengan penggiat memandu itu kini membawa keluarga mereka untuk turut serta dalam sukan tersebut.

NIKMATI PEMANDANGAN INDAH

Menurut anggota kumpulan itu bukit pasir menawarkan suasana amat berbeza daripada hiruk pikuk bandar dan kerja harian mereka. 

"Suasanany aamat berbeza berbanding Singapura. Saya suka bukit pasir. Ia adalah tempat kegemaran saya," kata Iylia Rasheena, 30 tahun. 

Padang pasir di Qatar adalah salah satu destinasi popular dalam kalangan ekspatriat dan pelancong. 

"Seperti apa yang anda boleh lihat, ini adalah penghujung Qatar," kata seorang lagi penggemar bukit pasir, Jackson Teo, sedang beliau menunjukkan kepada Mediacorp tempat bertemunya bukit pasir dan laut. 

"Di Singapura, anda tidak pernah akan mengalami rupa bumi sebegini. Dan sudah tentu memandu di padang pasir adalah satu pengalaman yang hebat," tambahnya. 

"Kami benar-benar suka ke padang pasir bersama keluarga dan rakan, dan rakyat Singapura yang mengongsi minat yang sama. Mereka adalah masyarakat kami di Qatar," kata Cedric, 31 tahun. 

Dalam kehangatan Piala Dunia FIFA, sesetengah penggemar tidak dapat pergi ke bukit pasir itu disebabkan komitmen kerja di industri penerbangan dan hospitaliti membuat mereka sibuk. 

MASYARAKAT SALING MENYOKONG

Selain berkumpul untuk berseronok, kumpulan itu juga saling menyokong dan membantu rakyat Singapura lain yang baru saja datang di wilayah Timur itu untuk menyesuaikan diri. 

"Kami membantu satu sama lain. Selalu ada yang akan menyokong dan mendengar kami," kata Muhammad Azhar, 32 tahun, salah seorang anggota kumpulan itu. 

"Ikatan istimewa antara anggota kumpulan ini boleh dirasakan terutama sekali ketika COVID-19 apabila kami tidak boleh pulang ke Singapura dan hanya mempunyai satu sama lain," tambahnya. 

Para anggota berkata, mempunyai kumpulan sokongan dengan budaya dan cita rasa yang serupa memudahkan proses mereka hidup dan bekerja di tempat asing. 

Selain ke bukit pasir, pastinya satu lagi perkara yang mengeratkan hubungan rakyat Singapura di Qatar adalah makanan. 

Setelah berjam-jam memandu di padang pasir, 'Dune Kakis' akan mengongsi makanan seperti nasi lemak dan mee goreng di tempat makan tempatan yang menghidangkan juadah Singapura dan Malaysia. 

(Gambar: Khushrin Lani/CNA)
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan