Rakyat SG boleh mohon skim faedah pengangguran S$6,000 mulai 15 Apr
Rakyat Singapura boleh memohon skim yang menyediakan sokongan kewangan sementara kepada pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang menganggur mulai Selasa (15 Apr).
Orang ramai di Raffles Place pada waktu tengah hari, pada 13 Ogos 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Mereka yang berjaya memohon bantuan di bawah skim Bantuan Pemohon Kerja SkillsFuture akan menerima bayaran yang dihadkan pada maksimum S$6,000 dalam tempoh enam bulan. Mereka perlu melengkapkan aktiviti berkaitan pencarian kerja setiap bulan dan memenuhi jumlah mata minimum untuk layak menerima pembayaran.
Skim itu pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong, dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pertamanya pada 2024, sekitar setahun selepas idea menyokong penganggur di Singapura mula-mula diusulkan.
"Kami faham bahawa bangkit daripada kehilangan pekerjaan boleh menjadi sangat mencabar bagi ramai pemohon kerja," kata Cik Lynn Ng, Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Kerjaya Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).
“Kami berharap bantuan kewangan yang disediakan di bawah skim Bantuan Pemohon Kerja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada pencari kerja berpendapatan rendah hingga sederhana, terutamanya semasa mereka sedang mencari pekerjaan.”
Sebagai konsesi sekali sahaja, pemohon yang kehilangan pekerjaan mereka pada atau selepas 1 Apr 2024 yang tidak memenuhi kriteria ini masih boleh layak untuk skim tersebut jika mereka memenuhi semua syarat dan peraturan lain.
Mereka mesti mengemukakan permohonan mereka sebelum 15 Jun untuk melayakkan diri mendapat konsesi ini, kata Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dalam lembaran fakta media pada Selasa (15 Apr).
Terdapat 13 aktiviti pencarian kerja yang boleh disertai peserta, termasuk pergi ke temu duga kerja atau bimbingan kerjaya, mendaftar dengan agensi pekerjaan, atau membina rangkaian dengan karyawan industri.
“Keseluruhan idea sistem berasaskan mata adalah untuk menggalakkan mereka menjalani dan memilih aktiviti pencarian pekerjaan yang akan membantu mereka untuk mendalami dan mengukuhkan kemahiran mencari pekerjaan, sekali gus meningkatkan daya saing mereka sebagai pemohon kerja,” kata Cik Ng.
Sistem itu telah direka sedemikian rupa untuk menggalakkan individu bersikap bertanggungjawab dalam pencarian pekerjaan mereka dan bersikap fleksibel, katanya lagi.
Mengambil kira bahawa seseorang individu boleh memutuskan aktiviti mana yang paling sesuai untuk mereka, Cik Ng menegaskan bahawa sistem itu tidak bermatlamat untuk menyekat.
“Sistem berasaskan mata, dalam satu cara, mengiktiraf sikap proaktif pemohon kerja dalam pencarian kerja mereka,” tambahnya. "Kami lebih suka mempunyai sistem berasaskan mata yang memberi mereka kelonggaran daripada menegaskan bahawa pemohon kerja mesti melakukan lima perkara untuk melayakkan diri mendapat sokongan."
Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng sebelum ini berkata bahawa dianggarkan 60,000 penduduk Singapura akan layak untuk skim itu setiap tahun, yang akan membentuk lebih 60 peratus daripada mereka yang menganggur.
Pemerintah telah memperuntukkan lebih S$200 juta setahun untuk membiayai skim ini, katanya pada Ogos 2024.
BAGAIMANA UNTUK MELAYAKKAN DIRI BAGI SKIM INI
Hanya mereka yang berumur 21 tahun ke atas yang sebelum ini memperoleh purata sehingga S$5,000 sebulan akan layak. Skim itu akan diperluaskan kepada Penduduk Tetap (PR) berusia 21 tahun ke atas mulai suku pertama 2026, kata WSG.
Pemohon mestilah menganggur atas sebab-sebab yang tidak disengajakan seperti pemberhentian kerja, pemberhentian perniagaan, pemecatan atau penamatan kerja kerana sakit, kecederaan atau kemalangan.
Mereka mesti tinggal di hartanah dengan nilai tahunan S$31,000 atau kurang, dan telah bekerja di Singapura sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh 12 bulan sebelum permohonan mereka untuk mendapatkan sokongan, kata WSG.
Mereka juga mestilah tidak menerima bayaran daripada skim yang sama dalam tempoh tiga tahun yang lalu, dan telah menganggur sekurang-kurangnya satu bulan dari tarikh terakhir bekerja sebelum menerima pembayaran.
Untuk memohon skim itu, para individu perlu mengemukakan surat rasmi atau pemberitahuan penamatan kerja atau pemecatan daripada bekas majikan mereka, kata WSG dalam lembaran fakta media, sambil menambah bahawa ia mungkin mengambil masa sehingga 10 hari untuk memproses permohonan.
Jika mereka ditamatkan perkhidmatan atas sebab perubatan, pemohon kerja perlu menyediakan sijil perubatan atau surat rasmi daripada doktor mereka.
Para peserta boleh mula memperoleh mata dari saat mereka memohon skim tersebut, dan bulan pertama mereka – atau sepanjang tempoh aktiviti – bermula dari hari permohonan mereka diluluskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.