Skip to main content

Singapura

Rakyat S'pura yang selamatkan mangsa gempa-tsunami Palu maut akibat nahas luncur angin

Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 53 tahun meninggal dunia semasa melakukan kegiatan luncur angin di bahagian utara India, kurang sebulan selepas beliau terselamat daripada gempa-tsunami Indonesia di mana beliau turut berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Oct 2018 11:15AM Dikemas Kini : 24 Oct 2018 09:01PM

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura berusia 53 tahun meninggal dunia semasa melakukan kegiatan luncur angin di bahagian utara India, kurang sebulan selepas beliau terselamat daripada gempa-tsunami Indonesia di mana beliau turut berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan.

Ng Kok Choong ditemui mati pada Selasa (23 Okt) iaitu sehari selepas beliau dilaporkan hilang, menurut obituari di laman Persekutuan Sukan Udara Singapura (AFS).

Encik Ng dan rakan peluncurnya berlepas pada sekitar 11.00 pagi pada Isnin (22 Okt) di Bir-Billing, Himachal Pradesh semasa "keadaan cuaca bertukar menjadi buruk," menurut AFS.

Beliau tidak pulang ke hotelnya dan ditemui mati oleh pihak berkuasa pada keesokan hari, menurut persekutuan itu.

Akhbar The Tribune melaporkan bahawa mayat Encik Ng ditemui di kawasan berbukit di bandar Baijnath.

"Beliau sudah meninggal dunia apabila pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian. Punca kematian hanya boleh didedahkan selepas bedah siasat dijalankan," menurut divisyen majistret Baijnath.

Menurut The Tribune, Encik Ng berada di India untuk menyertai Piala Dunia Sukan Luncur Angin yang akan berlangsung pada 27 Oktober.

"Kami amat sedih dengan berita mengenai pemergian rakan kami, Ng Kok Choong, seseorang yang giat dalam sukan ini sepanjang beberapa tahun lalu," menurut AFS.

"Beliau adalah seseorang yang tidak mementingkan diri, berani dan sentiasa bersedia untuk cabaran seterusnya. Sebagai seorang komando semasa zaman perkhidmatan negaranya, sikap yang sentiasa bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja amat dihargai dan dikagumi oleh rakan-rakannya."

Encik Ng, seorang pesara, berada di Palu pada bulan lalu bagi menyertai pertandingan luncur angin apabila gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan ombak tsunami membadai bandar tersebut.

Encik Ng dan seorang rakannya berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan yang terperangkap di bawah timbunan hotel yang roboh akibat bencana alam itu.   

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita