Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura yang cedera dalam nahas Johor masih trauma, marah syarikat bas membisu

Seorang wanita patah tulang selangkanya manakala seorang lagi luka akibat serpihan kaca pada tapak tangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura yang cedera dalam nahas Johor masih trauma, marah syarikat bas membisu

Bas Billion Star Express yang terbalik. (Gambar: Hanissah Abd/Facebook)

Diterbitkan : 28 Nov 2019 11:59AM Dikemas Kini : 28 Nov 2019 12:02PM

SINGAPURA: Seorang wanita patah tulang selangkanya manakala seorang lagi luka akibat serpihan kaca pada tapak tangan.

Lima hari selepas bas persiaran yang mereka naiki terbalik apabila ia terbabas di lebuh raya Malaysia, dua rakyat Singapura itu masih berasa trauma dan marah syarikat bas itu belum menghubungi mereka atau meminta maaf atas apa yang berlaku.

Cik Hanissah Abdullah, penuntut 21 tahun, bersama dua rakannya sedang menuju ke Kuala Lumpur bagi cuti hujung minggu dan menaiki bas Billion Star Express pada Jumaat petang (22 Nov).

Selepas meninggalkan Singapura, bas itu terbabas di lebuh raya berhampiran Pagoh di Johor Bahru, dan terbalik sekitar 1.00 pagi.

Encik Mohamad Faizal Mohamed Jailani, pengawal bas dari syarikat Billion Star Express yang berpangkalan di Malaysia, mengesahkan kemalangan tersebut.

Encik Faizal memberitahu Mediacorp beliau tidak dapat memberi jumlah tepat penumpang dalam bas ketika itu, kerana sebilangan mereka mungkin menaiki bas yang berangkat lebih awal jika terdapat tempat duduk kosong. Bas yang terbalik itu berangkat dari Singapura pada sekitar 7.30 malam pada Jumaat lalu.

Bercakap secara berasingan kepada Mediacorp, Cik Hanissah berkata terdapat sekitar 20 penumpang dalam bas ketika itu.

Sebelum kemalangan itu berlaku, beliau sedang tidur tetapi terjaga apabila bas itu mula terhuyung-hayang dari satu lorong ke lorong yang lain.

"(Pemandu itu) tidak berwaspada dan kelihatan mengantuk. Tubuhnya juga kelihatan terhuyung-hayang," kata Hanissah. Beliau berada dua tempat duduk di belakang pemandu berkenaan.

Tidak lama kemudian, beliau ternampak tubuh pemandu ke kiri dan pada detik itulah bas terbabas di lebuh raya, jatuh ke dalam parit dan terbalik.

"Beg dari tempat simpan atas bas tercampak. Saya jatuh betul-betul atas kawan saya, yang duduk di sebelah kiri saya," katanya.

Kesannya begitu kuat sehingga rakan beliau Nur Liyana Ali tercampak satu barisan ke belakang. Gadis 20 tahun itu mengalami luka akibat serpihan kaca di tapak tangannya serta luka kecil di dahi dan bahagian kiri pipi.

Cik Liyana berkata: "Saya sangat terkejut sehingga saya menggeletar. Saya sedang tidur dengan nyenyak dan tiba-tiba saya tercampak ke belakang."

MENAIKI SATU LAGI BAS KE KUALA LUMPUR

Suasana menjadi kecoh apabila para penumpang terhidu bau asap daripada bahagian belakang bas dan menyedari tiada jalan keluar.

Cik Hanissah berkata: "Saya terus memekik ke arah pemandu untuk mematikan enjin. Saya rasa dia turut berasa terkejut."

Pihak berkuasa tiba tidak berapa lama kemudian dan membuka laluan di bumbung bas untuk membolehkan penumpang keluar.

Encik Faizal berkata Billion Star Express menghantar sebuah lagi bas untuk mengambil penumpang yang terjejas, tetapi Cik Hanissah dan Cik Liyana berkata bas tersebut kebetulan sedang lalu di tempat kemalangan itu.

"Semua orang berhimpit-himpit ke dalam bas baru itu. Sudah ada ramai penumpang di dalam, jadi ramai terpaksa duduk di lantai atau tangga," kata Cik Hanissah.

Beliau menambah mereka terbang pulang ke Singapura Ahad lalu.

'PEMANDU MAKLUMKAN TIDUR 10 JAM MALAM SEBELUMNYA'

Encik Zulkifli Mohd Yasin, penolong pegawai siasatan di ibu pejabat polis Bukit Aman, memberitahu Mediacorp pemandu bas itu didenda kerana memandu dengan cuai.

Dia menganggarkan denda itu bernilai sekitar RM300 (S$98) dan turut berkata tiada denda tambahan akan dikenakan terhadap syarikat itu.

Menolak dakwaan pemandu bas itu mengantuk dan tidak berwaspada, Encik Faizal berkata bahawa pemandu itu memaklumkan dia tidur 10 jam malam sebelumnya.

Encik Faizal juga mempertahankan pemandunya, sambil berkata dia seorang yang berpengalaman dan sudah bekerja dengan sebilangan konsortium sebelum menyertai Billion Star Express tiga bulan lalu.

Cik Liyana dan Cik Hanissah, yang mengalami tulang selangka yang patah, berkata mereka masih berasa terkejut menyusuli kejadian itu.

Marah akan sikap kurang bertanggungjawab yang ditunjukkan syarikat Billion Star Express, Cik Hanissah pergi ke kaunternya di Kompleks Golden Mile pada Selasa untuk menuntut permohonan maaf, namun tidak membuahkan hasil.

Beliau sekadar diberi nombor pengawal bas sejam kemudian, yang berkata beliau akan menghubunginya semula pada Jumaat ini. Tidak dapat dipastikan sama ada pengawal bas itu adalah Encik Faizal.

Cik Hanissah berkata: "Saya bukan mahu meminta mereka membayar ganti rugi bil perubatan saya, sekurang-kurangnya, pihaknya dapat mengaku kesilapan mereka dan bertanggungjawab atas pengalaman trauma ini."

Encik Faizal menjelaskan syarikat itu belum menghubungi para penumpang yang terjejas kerana beliau menunggu mereka tampil kerana syarikatnya tidak mempunyai butiran mereka.

Bagaimanapun, Cik Liyana berkata apabila menempah tiket online, beliau perlu menyediakan nama penuh, emel, nombor telefon dan kerakyatan.

Ditanya tentang bayaran ganti rugi bagi para penumpang yang terjejas, Encik Faizal tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya menambah syarikat berkenaan sedang mendapatkan bayaran insurans. 

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan