Skip to main content

Singapura

Rakyat S'pura sokong langkah Belanjawan 2020; ramai gesa sokongan lebih buat keluarga berpendapatan pertengahan

Sebilangan besar rakyat Singapura menyokong langkah-langkah diumumkan dalam Belanjawan 2020 meskipun ramai yang menggesa agar "sokongan lebih besar dihulurkan bagi keluarga berpendapatan pertengahan", menurut dapatan yang dikeluarkan oleh unit maklum balas Pemerintah pada Isnin (23 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura sokong langkah Belanjawan 2020; ramai gesa sokongan lebih buat keluarga berpendapatan pertengahan

Gambar fail. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 23 Mar 2020 10:31PM Dikemas Kini : 24 Mar 2020 09:15AM

SINGAPURA: Sebilangan besar rakyat Singapura menyokong langkah-langkah diumumkan dalam Belanjawan 2020 meskipun ramai yang menggesa agar "sokongan lebih besar dihulurkan bagi keluarga berpendapatan pertengahan", menurut dapatan yang dikeluarkan oleh unit maklum balas Pemerintah pada Isnin (23 Mac).

Para responden tinjauan itu berpendapat bahawa golongan berpendapatan pertengahanseharusnya "berhak mendapat lebih banyak manfaat dan sokongan kewangan lebih besar", menurut REACH. Ini kerana mereka lazimnya kumpulan yang menanggung kos bagi menyara kedua-dua anak serta orang tua mereka pada masa yang sama, tambahnya.

Dapatan tinjauan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dijadual membuat kenyataan menteri pada Khamis (26 Mac), di mana beliau dijangka mengumumkan langkah-langkah sokongan tambahan bagi para pekerja, perniagaan dan keluarga sebagai respons kepada pandemik COVID-19.

Lebih 3,500 warga Singapura ditinjau pada Februari menerusi kaedah-kaedah termasuk temu bual empat mata, kumpulan sembang WhatsApp dan saluran maklum balas online.

Temu bual telefon melalui komputer juga dijalankan dari 19 Februari hingga 3 Mac, menurut unit pemerintah itu.

SOKONGAN MENYELURUH BAGI BELANJAWAN 2020

Tujuh daripada 10 warga Singapura menyokong inisiatif-inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawa lalu, menurut REACH.

Dalam kalangan mereka yang ditemu bual menerusi telefon yang disokong komputer, 66 peratus bersetuju bahawa pengumuman Belanjawan meningkatkan keyakinan mereka akan masa depan Singapura. Sementara itu, 69 peratus berpendapat bahawa langkah-langkah itu akan membantu rakyat Singapura dan perniagaan mengharungi COVID-19.

REACH menyatakan 66 peratus yang ditinjau menerusi panggilan telefon menyokong tokokan SkillsFuture sebanyak S$500.

"Sokongan tambahan lagi S$500 buat para pekerja rakyat Singapura pertengahan kerjaya dalam lingkungan usia 40-an dan 50-an juga diterima baik oleh para responden di Pondok Mendengar REACH, yang berkongsi bahawa inisiatif tersebut akan membantu mereka belajar, membangun kemahiran baru dan kekal bekerja," tambahnya.

TIADA KENAIKAN GST - "LANGKAH TERPUJI"

Memandangkan keadaan COVID-19 yang kian berubah, ramai responden juga akur ikrar Pemerintah untuk tidak menaikkan GST pada 2021 adalah "langkah terpuji", menurut REACH.

Sungguhpun demikian, masih ada keprihatinan tentang bagaimana kenaikan GST pada akhirnya mungkin memberi kesan kepada mereka dari segi kemampuan kewangan.

Menurut REACH, berhubung langkah-langkah kos hidup, 67 peratus yang ditemu bual menerusi telefon bersetuju bahawa Pakej Jagaan dan Bantuan - yang termasuk pembayaran wang tunai dan menggandakan rebat U-Save - akan "memberi bantuan penting kepada keluarga Singapura". 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita