Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura Shirin Hamid dilantik Ketua Pegawai Maklumat IMF

Wanita rakyat Singapura, Shirin Hamid, dilantik sebagai Ketua Pegawai Maklumat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat (ITD) pertubuhan dunia itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wanita rakyat Singapura, Shirin Hamid, dilantik sebagai Ketua Pegawai Maklumat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat (ITD) pertubuhan dunia itu.

Demikian menurut IMF dalam kenyataan medianya pada Rabu (20 Okt).

Pelantikan Cik Shirin diumumkan oleh Pengarah Urusan IMF Cik Kristalina Georgieva.

Pelantikan Cik Shirin adalah hasil proses pemilihan antarabangsa yang sengit.

Cik Shirin akan menggalas peranan baru itu pada 4 Januari 2022 dan akan menggantikan Ed Anderson, yang mengundurkan diri pada Jun 2021.

"Shirin membawa bersamanya pelbagai pengalaman kepimpinan IT kepada IMF setelah menyandang bermacam-macam jawatan utama dalam institusi-institusi peringkat nasional dan global," kata Cik Georgieva.

"Beliau adalah seseorang yang akan menyuntik pembaharuan, dengan rekod cemerlangnya dalam menerajui kempen-kempen pemodenan IT di pertubuhan-pertubuhan antarabangsa. Misi strategiknya yang kukuh tertumpu kepada penggunaan teknologi untuk membolehkan pertubuhan-pertubuhan meraih kejayaan dalam tugas mereka - iaitu satu kekuatan tidak ternilai yang akan membantu IMF memanfaatkan kemajuan teknologi terkini bagi menyokong khidmat kepada para anggota IMF."

Baru-baru ini, Cik Shirin adalah Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Maklumat Jabatan Teknologi Maklumat Bank Pembangunan Asia (ADB) sejak 2016, di mana beliau memimpin lebih 600 kakitangan IT.

Sebelum berkhidmat di ADB, Cik Shirin bertugas selama 11 tahun sebagai Ketua Pegawai Teknologi dan Pengarah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), di mana beliau menyelia fungsi dan operasi IT di persada global, meliputi 170 negara dan wilayah.

"Shirin akan menyertai IMF pada waktu kritikal ini sedang ia berusaha untuk memodenkan ruang kerja digital, bersama dengan peningkatan modal yang lain," kata Cik Georgieva.

Sebelum ini, Cik Shirin menjawat banyak peranan kepimpinan dalam sektor privet termasuk sebagai Pemangku Pengurus Besar bagi IT di Keppel Group dan Keppel Offshore & Marine di Singapura; Konsultan Kanan di Deloitte (di pejabat syarikat itu di Boston dan Singapura) dan sebagai seorang konsultan di Andersen Consulting/Accenture.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa