Skip to main content

Singapura

Rakyat S'pura mesti yakin terhadap kewibawaan mahkamah negara ini, tegas Shanmugam

Rakyat Singapura mesti menaruh keyakinan terhadap kewibawaan sistem mahkamah negara ini dan tidak menambahkan lagi tekanan ke atas para hakim untuk memutuskan hukuman yang lebih berat ataupun ringan, tegas Menteri Undang-Undang K Shanmugam hari ini (20 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Dec 2017 01:55PM Dikemas Kini : 20 Dec 2017 10:21PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura mesti menaruh keyakinan terhadap kewibawaan sistem mahkamah negara ini dan tidak menambahkan lagi tekanan ke atas para hakim untuk memutuskan hukuman yang lebih berat ataupun ringan, tegas Menteri Undang-Undang K Shanmugam hari ini (20 Dis).

Dalam catatan Facebooknya, Encik Shanmugam turut memberikan respons terhadap reaksi orang ramai berhubung hukuman yang dijatuhkan ke atas suri rumah Tan Hui Zhen dan suaminya Pua Hak Chuan atas kesalahan 'menganiaya' pelayan wanita yang kurang daya intelek, Annie Ee, sehingga beliau meninggal dunia.

Tan dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun dan enam bulan manakala Pua pula dijel 14 tahun dan dikenakan hukuman rotan sebanyak 14 kali.

Ramai yang mempersoalkan mengapa pasangan itu tidak didakwa dengan tuduhan membunuh. Netizen turut mencemuh bukan sahaja pasangan tersebut tetapi peguam-peguam yang membela mereka.

Pada Isnin lalu (18 Dis), Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa pasangan berkenaan tidak berniat untuk menyebabkan kematian Annie dan kecederaan yang dialami mangsa biasanya tidak menyebabkan kematian, "kesalahan membunuh dan homisid ke atas mereka berdua tidak dapat dibuktikan".

"KITA PERLU BERHEMAH DAN BIJAKSANA"

Encik Shanmugam berkata bahawa beliau merupakan antara rakyat Singapura yang turut rasa marah terhadap nasib Annie Ee yang dianiaya dengan kejam selama lapan bulan.

"Apa yang berlaku padanya tidak sepatutnya menimpa orang lain," kata Encik Shanmugam yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri. "Saya memahami kemarahan yang mereka rasakan."

Namun, menteri itu turut berkata beliau kecewa dengan cara sesetengah orang meluahkan pandangan mereka. "Satu rayuan online untuk hukuman yang lebih berat difailkan dan pelbagai fitnah dilemparkan mengenai watak peguam-peguam bela itu," katanya.

Rakyat Singapura harus "cuba dan mengelakkan diri daripada menambahkan lagi tekanan terhadap para hakim untuk menjatuhkan hukuman yang lebih berat ataupun ringan" dan sepatutnya "menaruh keyakinan yang para hakim akan bertindak dengan sewajarnya", kata menteri itu.

"Kami memiliki sistem mahkamah yang berfungsi dengan baik."

Beliau juga menarik perhatian bahawa hukuman yang diijatuhkan ke atas seseorang defendan "dalam apa jua kes, tidak boleh bergantung semata-mata berdasarkan tindak balas orang awam".

Encik Shanmugam turut mengingatkan sesetengah pihak yang mengutuk peguam bela Josephus Tan bahawa tanggungjawab seorang peguam adalah untuk "membentangkan hujah yang paling kukuh bagi pihak anak guam mereka di mahkamah".

"Ia satu detik yang menyedihkan bagi Singapura sekiranya para peguam dicemuh dan diganggu oleh orang awam semata-mata kerana mempertahankan anak guam mereka," katanya.

"Kita sepatutnya menjadi masyarakat yang lebih berhemah dan bijaksana apabila meluahkan kemarahan dan rasa tidak puas hati..." tambahnya. 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita