Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura mesti terus 'berdisiplin dan waspada', bersiap sedia hadapi masa lebih mencabar di tengah COVID-19

Rakyat Singapura mesti kekal "berdisiplin dan waspada" dalam melawan COVID-19 kerana virus itu tidak mungkin akan hilang, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Selasa (9 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakyat Singapura mesti kekal "berdisiplin dan waspada" dalam melawan COVID-19 kerana virus itu tidak mungkin akan hilang, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Selasa (9 Jun).

"Kita perlu menjadi realistik dan mempersiap diri kita untuk lebih banyak masa mencabar," kata beliau dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Encik Wong berkata demikian semasa berucap di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NICD) hari ini (9 Jun) sebagai sebahagian daripada siaran nasional di mana para menteri Kabinet akan membentangkan rancangan negara pasca COVID-19.

PENTINGNYA TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Masyarakat, kata beliau, perlu faham bahawa kehidupan seharian selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan tidak boleh kembali seperti dahulu.

Ini kerana mereka perlu membiasakan diri dengan norma-norma baru bagi membantu negara melawan COVID-19.

Singapura kini berada dalam Fasa 1 selepas tamatnya tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 1 Jun lalu.

Jika keadaan kekal stabil, Encik Lawrence Wong berkata Singapura boleh memasuki Fasa 2 sebelum hujung bulan ini.

Namun sebelum lebih banyak kelonggaran dilaksanakan dalam Fasa 2, Encik Wong menekankan peri pentingnya untuk masyarakat terus kekal waspada serta bersedia secara mental jika jumlah kes terus naik.

Lantaran itu, Encik Wong menggalak masyarakat supaya terus memberikan kerjasama, sebagai contoh dengan menggunakan sistem SafeEntry dan aplikasi TraceTogether.

Menjangkaui usaha-usaha Pemerintah, rakyat dan penduduk, kata beliau, perlu menggalas tanggungjawab sosial dengan mengamalkan kebersihan diri yang baik dan terus mematuhi langkah-langkah menjaga jarak sosial.

Ini termasuk sentiasa memakai pelitup, mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat sesak dan segera berjumpa doktor jika berasa kurang sihat.

PENGESANAN KONTAK LEBIH BAIK, KEUPAYAAN UJIAN LEBIH BESAR

Selain itu, pemerintah, kata Encik Wong, akan terus meningkatkan keupayaan menjalankan ujian supaya jangkitan COVID-19 dapat dikawal semasa proses pembukaan semula ekonomi dan negara.

Para anggota Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kini sebahagian daripada pasukan pengesanan kontak yang diperluaskan, kata Encik Wong. Beliau menambah peralatan seperti sistem SafeEntry dan aplikasi TraceTogether membolehkan pihak berkuasa untuk mempercepatkan proses pengesanan kontak.

Dalam masa yang sama, Singapura memperolehi lebih banyak alat ujian COVID-19, membangunkan lebih banyak keupayaan makmal serta merekrut dan melatih lebih banyak juruteknik makmal selain pekerja untuk melakukan ujian swab dan mengambil sampel darah.

Pada April, sekitar 2,000 ujian dilakukan sehari.

Singapura kini boleh menjalankan sekitar 13,000 ujian setiap hari dan "berada dalam landasan" untuk mencapai 40,000 ujian sehari dalam bulan-bulan mendatang, kata Encik Wong.

Dalam pada itu, Encik Wong turut menekankan bahawa cara kehidupan dan bekerja masyarakat perlu berubah seperti aturan kerja yang fleksibel iaitu bekerja dari rumah serta membahagikan pekerja kepada pasukan yang berbeza-beza.

"Kita mesti sesuaikan diri belajar teruskan kehidupan dalam sekitaran ini buat jangka masa panjang. Tidak boleh bergantung kepada tindakan pemerintah sahaja. Setiap daripada kita, pemerintah, pemilik perniagaan dan individu, semua punya peranan," kata menteri itu.

Perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada perancangan bandar negara.Ciri-ciri teknologi dalam bangunan, penapisan udara serta usaha pendigitalan perlu diserapkan dalam perancangan.

Ini termasuk dormitori pekerja asing yang akan disemak semula serta diperbaiki keadaan tempat tinggal mereka. Dormitori-dormitori baru akan dibina supaya lebih berdaya tahan berhubung risiko jangkitan.

Kos bagi perubahan-perubahan besar itu, menurut Encik Wong, akan ditanggung pemerintah melalui Belanjawan Kecekalan buat masa ini sebelum industri binaan perlu menanggung kos-kos tambahan.

"Selepas itu, kami akan memperkenalkan langkah-langkah lain untuk mengurangkan kesan tersebut dan membantu industri ini mencapai tahap daya penghasilan baru. Tidak boleh dinafikan ini satu peralihan sukar tetapi saya beri jaminan kepada semua dalam industri ini, kami akan bekerja rapat dengan anda untuk mengharungi masa mencabar dan bangkit lebih teguh daripada pengalaman ini," ujarnya.

VISI JANGKA PANJANG

Maka itu, Encik Wong berharap perubahan-perubahan besar tersebut bukan menjadi satu alasan bagi masyarakat untuk tidak terus menunjukkan nilai-nilai kecekalan, keupayaan serta daya tahan seperti yang ditunjukkan semasa tempoh 'circuit breaker'.

"Membuka semula ekonomi dan masyarakat tidak bererti kita kembali kepada keadaan seperti sedia kala. Ramai tidak sabar menyambung aktiviti-aktiviti kegemaran atau lakukan rutin biasa anda. Namun ini bukan masanya kita adakan perayaan atau pesta. Kita semua perlu sesuaikan jangkaan kita, gaya hidup kita dan kebiasaan kita," nasihat beliau.

Visi jangka masa panjang Singapura, kata Encik Wong, adalah untuk menghasilkan vaksin yang akan memastikan setiap rakyat yang memerlukannya akan mendapatkannya pada harga dimampui. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan