Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura harus ambil iktibar dari kematian pertama COVID-19 di sini; mesti perhebat usaha peranginya, kata Masagos

Seluruh rakyat Singapura harus mengambil iktibar daripada dua kematian pertama di Singapura akibat jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura harus ambil iktibar dari kematian pertama COVID-19 di sini; mesti perhebat usaha peranginya, kata Masagos

(Gambar: Gaya Chandramohan)

BERITAmediacorp: Seluruh rakyat Singapura harus mengambil iktibar daripada dua kematian pertama di Singapura akibat jangkitan COVID-19.

Ini kerana ia menunjukkan betapa penting untuk Singapura terus mempertingkatkan usaha bagi membendung penularan virus yang boleh membawa maut itu.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli menegaskan demikian semasa menyampaikan takziah yang mendalam atas pemergian dua pesakit yang meninggal dunia akibat jangkitan virus korona COVID-19 pada pagi tadi (21 Mac).

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan dua kematian pertama akibat jangkitan COVID-19 hari ini, yang melibatkan seorang wanita rakyat tempatan berusia 75 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 64 tahun.

Menulis di laman Facebooknya hari ini (21 Mac), Encik Masagos menekankan bahawa perkembangan terbaru itu menunjukkan bahawa Singapura mesti meneruskan usaha memerangi COVID-19.

"Kita mesti menjaga kebersihan dan keselamatan di ruang-ruang awam yang dikongsi bersama bagi melindungi masyarakat dan semua rakyat Singapura, terutamanya mereka yang lemah," kata Masagos.

Encik Masagos turut menarik perhatian betapa pentingnya untuk meningkatkan usaha SG Clean sambil menggesa orang ramai supaya mengamalkan kebersihan diri yang baik, selain bersikap bertanggungjawab dan memastikan ruang-ruang awam sentiasa bersih.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain semasa beratur atau ketika menjamu selera di luar, bagi mengurangkan risiko penularan lanjut COVID-19.

Encik Masagos, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, turut menekankan bahawa usaha akan terus dipertingkat bagi memastikan masjid-masjid di sini akan kekal selamat dan bersih untuk para jemaah.

Ini, katanya, termasuk menyesuaikan amalan beribadah dengan mematuhi peraturan-peraturan menjaga jarak sambil memastikan pada yang sama ia menuruti tuntutan agama.

Encik Masagos juga menggesa umat Islam di sini supaya mengamalkan cara bersalaman yang dipanggil 'SalamMufti' dengan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Para jemaah juga digesa supaya membawa sejadah sendiri apabila menunaikan solat setelah masjid-masjid dibuka semula kelak.

"Ayuh bekerjasama dan saling menyokong satu sama lain. Sama-sama, kita boleh mengatasi cabaran ini," katanya lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan