Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura dipelawa kongsi pandangan tentang isu perkahwinan, keibubapaan

Pemerintah ingin mendampingi sekitar 400 rakyat Singapura untuk mendapatkan pandangan mereka tentang berumah tangga dan berkeluarga serta bagaimana pandemik COVID-19 mungkin mengubah sikap mereka terhadap kedua-dua perkara tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura dipelawa kongsi pandangan tentang isu perkahwinan, keibubapaan

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 17 Mar 2021 10:59PM Dikemas Kini : 17 Mar 2021 11:00PM

SINGAPURA: Pemerintah ingin mendampingi sekitar 400 rakyat Singapura untuk mendapatkan pandangan mereka tentang berumah tangga dan berkeluarga serta bagaimana pandemik COVID-19 mungkin mengubah sikap mereka terhadap kedua-dua perkara tersebut. Ini akan dilakukan menerusi satu siri perbincangan yang akan diadakan antara April hingga September.

Sesi itu akan dipimpin oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri Cik Indranee Rajah dan Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Cik Sun Xueling, menurut Pejabat Perdana Menter (PMO) dalam satu kenyataan pada Rabu (17 Mac).

Cik Indranee berkata dalam kenyataan itu: "Ramai rakyat Singapura yang ingin mendirikan rumah tangga dan berkeluarga. Namun saya tahu pandemik menyebabkansebilangan mereka mempertimbangkan semula rancangan mereka.

"Saya dan rakan kerja saya ingin memahami dengan lebih mendalam bagaimana kita dapat membantu anda meneruskan rancangan anda walaupun dengan pandemik yang berlaku."

Bersama penjawat politik yang lain, beliau dan Cik Sun merancang untuk mendampingi sekitar 400 orang.

Para peserta boleh berkongsi keprihatinan dan cabaran yang dihadapi dalam memulakan hidup berkeluarga dan membesarkan anak, serta bertukar-tukar pandangan bagi menangani cabaran itu, menurut kenyataan itu.

Siri perbincangan yang bertajuk "Membangunkan Singapura yang Dibina Untuk Keluarga", diadakan bersama oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) dalam Kumpulan Strategi, PMO, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Bagi memastikan kepelbagaian pandangan yang diterima, PMO menyatakan ia berharap dapat menarik penyertaan rakyat Singapura dari pelbagai peringkat alam perkahwinan dan perjalanan keibubapaan serta mereka yang tinggal di kawasan berlainan di merata Singapura.

Tambahnya semua rakyat Singapura, pasangan mereka dan ibu bapa yang anak mereka warga Singapura dialu-alukan menyertai perbincangan itu.

Enam sesi online dianjurkan bagi mereka yang berada di peringkat kehidupan sedemikian:

- Mereka yang sedang menjalin hubungan, bertunang atau sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai cahaya mata
- Ibu bapa yang anak mereka berusia sehingga enam tahun
- Ibu bapa yang anak mereka di sekolah rendah

PMO menambah bahawa ia juga akan mengadakan satu lagi sesi online bagi mereka yang ingin berkongsi pandangan berhubung isu-isu berkaitan kesuburan seperti kesedaran, pemeriksaan dan rawatan.

Mereka yang berminat untuk menyertai sesi perbincangan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut dan berdaftar di laman go.gov.sg/families-convo mulai Rabu (17 Mac).

Peserta yang dipilih akan dimaklumkan sekitar dua minggu sebelum permulaan setiap sesi perbincangan, menurut PMO.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan