Skip to main content

Singapura

Rakyat S'pura Daren Tang bakal teraju agensi hak milik intelektual PBB

Encik Daren Tang bakal menjadi Ketua Pengarah baru Pertubuhan Hak Milik Intelektual Dunia (WIPO) setelah memenangi pengundian di Geneva pada Rabu (4 Mac). 

Anggaran Waktu Membaca:
Rakyat S'pura Daren Tang bakal teraju agensi hak milik intelektual PBB

Daren Tang, 48 tahun, dicalonkan sebagai ketua Pertubuhan Hak Milik Intelektual Dunia. (Gambar: IPOS)

Diterbitkan : 05 Mar 2020 08:50AM Dikemas Kini : 05 Mar 2020 08:51AM

SINGAPURA: Encik Daren Tang bakal menjadi Ketua Pengarah baru Pertubuhan Hak Milik Intelektual Dunia (WIPO) setelah memenangi pengundian di Geneva pada Rabu (4 Mac).

"Ini adalah kali pertama seorang rakyat Singapura dicalonkan bagi kedudukan kepimpinan badan PBB," kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika beliau mengucapkan tahniah kepada Encik Tang dalam catatan Facebooknya.

Encik Tang, Ketua Eksekutif Pejabat Hak Milik Intelektual Singapura (IPOS) adalah dalam kalangan enam calon bagi jawatan tertinggi itu.

Calon-calon lain adalah dari China, Colombia, Ghana, Kazakhstan dan Peru.

Jawatankuasa penyelarasan WIPO, yang terdiri daripada 83 anggota negara, mengadakan dua pusingan mengundi.

Calon dari Kazakhstan menarik dirinya sebelum undian pusingan pertama. Setelah pusingan pertama, calon dari Peru mendapat undian terendah dan disingkirkan.

Dua lagi calon lain - dari Colombia dan Ghana - menarik diri sebelum undian pusingan kedua.

Encik Tang kekal di pusingan-pusingan kedua dan terakhir dengan meraih 55 undian lebih banyak daripada calon dari China, Wang Binying, yang mendapat 28 undian.

Perhimpunan agung WIPO akan membuat pengesahkan muktamad selewat-lewatnya pada awal Mei.

Ditubuhkan pada 1967, WIPO mempunyai 193 negara anggota dan menyelia 26 perjanjian antarabangsa yang berkaitan dengan perlindungan hak milik intelektual.

Ketua Pengarah WIPO sekarang ini, Encik Francis Gurry warga Australia, menyandang jawatan itu sejak 2008 dan beliau menyelia pertubuhan itu selama dua penggal dengan setiap penggal selama enam tahun.

Di bawah kepimpinan Encik Gurry, WIPO menyaksikan peningkatan pada jumlah pemfailan paten dan mula mengadakan perbincangan awal tentang sama ada kecerdasan buatan (AI) atau mesin boleh menjadi pencipta.

Beliau menamatkan penggalnya pada 30 September ini. Setelah itu, Encik Tang akan mengambil alih jawatannya.

Encik Tang, 48 tahun, menyertai IPOS - sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Undang-Undang - sebagai Timbalan Ketua Eksekutif pada 2012 dan menjadi Ketua Eksekutif tiga tahun kemudian.

Sebelum itu, Encik Tang adalah Peguam Kanan bersama bahagian ehwal antarabangsa Pejabat Peguam Negara dari tahun 2003 hingga 2012, di mana beliau adalah sebahagian daripada pasukan undang-undang Singapura dalam pertikaian dengan Malaysia atas kedaulatan Pedra Branca.

Buat masa ini, warga Singapura itu juga mempengerusikan jawatankuasa tetap mengenai hak cipta dan hak-hak berkaitan di WIPO. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita