Rakyat S'pura akan terima subsidi COVID-19 bagi imbangi kenaikan premium MediShield Hayat
Semua rakyat Singapura akan menerima subsidi COVID-19 sekali sahaja untuk mengimbangi kenaikan premium MediShield Hayat yang disarankan, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (29 Sep).

Wad hospital di Singapura. (Gambar: CNA)
SINGAPURA: Semua rakyat Singapura akan menerima subsidi COVID-19 sekali sahaja untuk mengimbangi kenaikan premium MediShield Hayat yang disarankan, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (29 Sep).
Pemerintah akan memberikan subsidi 70 peratus dari kenaikan bersih premium - selepas mengambil kira subsidi premium sedia ada - pada tahun pertama, dan 30 peratus pada tahun kedua.
Pihak berkuasa menjangkakan kenaikan premium akan dilaksanakan pada 2021, berserta saranan lain yang dikemukakan oleh Majlis MediShield Hayat dalam penelitian semula skim insurans kesihatan nasional itu.
Pemerintah akan membelanjakan S$360 juta bagi membiayai kos subsidi COVID-19 untuk sekitar dua tahun, dan ini merupakan langkah tambahan selain sokongan premium sedia ada.
Ini akan memastikan bahawa kenaikan premium bersih untuk semua warga Singapura akan dihadkan hingga sekitar 10 peratus pada tahun pertama, menurut kenyataan media MOH.
Pemerintah juga berikrar untuk melanjutkan subsidi premium, subsidi Generasi Merdeka dan Perintis serta Sokongan Premium Tambahan untuk mereka yang memerlukan. Kesemua subsidi ini dianggarkan menelan belanja S$1.8 bilion sepanjang tiga tahun akan datang.
Generasi Merdeka dan Perintis juga menerima tokokan tahunan MediSave. Generasi Merdeka menerima S$200 setiap tahun dari 2019 hingga 2023, dan Generasi Perintis menerima S$200 hingga S$800 setiap tahun untuk sepanjang hayat.
Mereka boleh menggunakan tokokan itu untuk membayar premium MediShield Hayat mereka.
Penduduk tetap menerima separuh daripada subsidi premium yang diberikan kepada warga Singapura.
Sejak 2015, Pemerintah memperkenalkan pelbagai langkah untuk memastikan premium kekal dimampui oleh warga Singapura, menurut MOH.
Secara keseluruhannya, Pemerintah membelanjakan S$3.1 bilion sepanjang empat tahun lalu untuk membantu penduduk Singapura menampung premium mereka, tambah MOH.
Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata subsidi-subsidi ini telah membantu untuk memastikan premium kekal dimampui bagi warga Singapura.
"Tidak ada orang yang akan terlepas daripada perlindungan MediShield Hayat disebabkan masalah kewangan," tambahnya.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.