Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat Britain didakwa di mahkamah, tidak pakai pelitup di stesen MRT

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki didakwa di mahkamah pada Rabu (12 Jan), sehari selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya. 

Rakyat Britain Mockridge Philip Richard sepatutnya didakwa di mahkamah pada Disember lalu kerana gagal memakai pelitup di pelbagai tempat, namun, dia tidak hadir untuk mendengar dakwaan terhadapnya. 

Selepas waran tangkap dikeluarkan pada Selasa (11 Jan), dia ditahan reman dan dihadapkan di mahkamah melalui persidangan video pada Rabu.

Mockridge, 54 tahun, dikenakan tiga tuduhan melanggar langkah kawalan COVID-19 kerana tidak memakai pelitup sebanyak tiga kali. 

Dia dituduh tidak memakai pelitup di stesen MRT Sengkang sekitar 10.15 malam pada 26 November 2020 dan di stesen MRT Serangoon pada 10.50 malam pada 19 Disember 2020. 

Pada kira-kira 8.50 malam pada 16 Mei 2021, dia didakwa tidak memakai pelitup di 180 Kitchener Road. 

Mockridge yang juga Penduduk Tetap Singapura memakai pelitup berwarna biru dari tempat dia direman pada Rabu. 

Pihak pendakwa meminta kes itu ditunda seminggu untuk menyelesaikan siasatan dan bagi Pejabat Peguam Negara mengemukakan tuduhan COVID-19 tambahan yang dipercayai dilakukan Mockridge pada 11 Januari. 

Mockridge bertanya: "Saya sendiri tidak boleh bayar wang jaminan untuk dibebaskan?" 

Hakim Daerah Lorraine Ho membalas dia tidak boleh membayar jaminan peribadi. Mockridge kemudian berkata dia boleh mendapatkan penjamin warga Singapura. 

Hakim asalnya menjadualkan sebutan selanjutnya kes berlangsung pada 21 Januari, namun Mockridge berkata dia perlu menghadiri  pemeriksaan selepas pembedahan pada hari itu bagi pembedahan ganti pinggul.

Hakim Ho  menangguhkan kes itu kepada 19 Januari. Beliau menawarkan wang ikat jamin sebanyak S$15,000 dan membenarkan Mockridge membuat dua panggilan tempatan. 

Pasport Mockridge dirampas dan Hakim Ho mengingatkannya supaya mematuhi peraturan COVID-19, termasuk memakai pelitup. 

Jika didapati bersalah melanggar perintah kawalan COVID-19, Mockridge boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,00, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kali pertama. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan