Rakan sebaya main peranan pengaruhi, dorong warga SG jalani saringan barah secara kerap: Laporan
- A report by ROSA, Singapore Management University, found that friendships were associated with regular breast, cervical and colorectal cancer screening among people aged 50 to 79.
- Mr Sunil Kumar Guliani began screening after a friend was diagnosed with bowel cancer, and said friends had a stronger influence because of the trust involved.
- Family had a greater influence on knowledge and attitudes towards screening, while enrolment in Healthier SG was associated with regular check-ups; friends also encouraged participation in the programme.
- ROSA director Professor Paulin Straughan recommended creating community spaces to build friendships, while Indranee Rajah highlighted the challenge of making longer life expectancy healthier and the economic opportunities associated with active ageing.
- Laporan ROSA, Universiti Pengurusan Singapura, mendapati persahabatan berkait dengan saringan payudara, serviks dan kolorektum secara berkala dalam kalangan warga berusia 50 hingga 79 tahun.
- Encik Sunil Kumar Guliani mula menjalani saringan selepas rakannya didiagnosis barah usus, dan beliau menyatakan pengaruh rakan lebih kuat kerana kepercayaan.
- Keluarga lebih mempengaruhi pengetahuan serta sikap terhadap saringan, manakala pendaftaran SG Lebih Sihat berkait dengan pemeriksaan berkala; rakan juga mendorong penyertaan program itu.
- Pengarah ROSA, Prof Paulin Straughan, menyarankan ruang masyarakat untuk membina persahabatan, sementara Indranee Rajah menekankan cabaran menjadikan jangka hayat panjang lebih sihat serta peluang ekonomi berkaitan penuaan aktif.
SINGAPURA: Rakan-rakan mungkin memainkan peranan lebih langsung daripada ahli keluarga dalam menggalak seseorang menjalani saringan barah secara kerap.
Demikian menurut laporan baharu yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Penuaan Berjaya Universiti Pengurusan Singapura (SMU) atau ROSA.
Ia mendapati, jaringan persahabatan dikaitkan dengan pemeriksaan barah payudara, serviks dan kolorektum yang kerap.
Laporan itu dikeluarkan sedang Singapura berusaha memastikan jangka hayat yang lebih panjang, turut disertai kehidupan lebih sihat dalam masyarakat lampau usia.
Tinjauan itu menunjukkan bahawa rangkaian persahabatan dalam kalangan mereka yang berusia antara 50 hingga 79 tahun ada kaitan langsung dengan saringan penyakit barah secara kerap bagi kebanyakan kumpulan yang ditinjau.
Misalnya, Encik Sunil Kumar Guliani yang berusia 79 tahun, terdorong menjalani saringan kesihatan hanya selepas seorang kawan rapat disahkan menghidap barah usus.
"Sejujurnya, memandangkan saya tidak terkena apa-apa penyakit, saya tidak menjalani (pemeriksaan).
"Melainkan anda benar-benar dilanda sesuatu sebegitu, anda tidak akan menghargainya.
"Daripada rakan-rakan, (pengaruhnya) kuat kerana tahap kepercayaan terhadap rakan-rakan. Pendapat mereka mempengaruhi anda lebih banyak berbanding keluarga." kata Encik Sunil.
PENGARUH KELUARGA
Sementara itu, pengaruh daripada ahli keluarga pula didapati lebih berkesan dari segi pengetahuan dan sikap terhadap saringan kesihatan.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa pendaftaran untuk inisiatif SG Lebih Sihat terkait dengan lebih banyak pemeriksaan barah berkala.
Rakan-rakan didapati memainkan peranan lebih besar berbanding ahli keluarga dari segi menggalak seseorang mendaftarkan diri untuk program pencegahan kebangsaan itu.
Pengarah ROSA, Prof Paulin Straughan berkata jaringan persahabatan boleh membantu menggalak lebih ramai warga Singapura yang lebih berusia untuk menyertai program kesihatan.
Beliau menyarankan supaya lebih banyak ruang masyarakat yang boleh membantu membina hubungan sebegini secara organik akan disediakan.
"Apabila persahabatan terjalin, ia boleh menjadi kumpulan sosial tidak formal yang sangat berpengaruh.
"Jelas, dalam kajian yang kami jalankan ini, hubungan-hubungan sedemikian boleh dimanfaatkan untuk menggalak warga Singapura menyertai pelbagai program yang dilancarkan pemerintah, terutama sekali program yang membawa manfaat besar," kata Prof Straughan.
Di acara simposium tahunan ROSA, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berkata warga Singapura yang panjang usia merupakan antara pencapaian terbesar negara.
Namun cabarannya kini adalah memastikan panjang usia turut menjadi kehidupan lebih sihat.
"Masyarakat lampau usia adalah di mana lebih ramai orang yang memiliki berdekad-dekad pengalaman terkumpul, ilmu dan modal sosial.
"Inilah golongan yang selama bertahun-tahun membina kerjaya, membesarkan keluarga, menjadi mentor kepada orang lain dan menyumbang kepada masyarakat, serta yang boleh terus melakukannya selama mana mereka kekal sihat dan aktif," kata Cik Indranee.
Cik Indranee menambah usia yang panjang juga boleh mencipta peluang ekonomi baharu bagi produk, perkhidmatan dan model perniagaan baharu, yang menyokong proses penuaan yang lebih sihat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.