Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakan kerja Bulan Bahasa 2023 diharap dapat tawarkan program yang pelbagai bagi jangkau lebih ramai peserta baru

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Kempen Bulan Bahasa tahun ini akan berlangsung selama dua bulan dari 13 Ogos hingga 9 Oktober.

Kempen itu akan dilancarkan secara rasmi dalam sebuah majlis pada 2 September nanti.

Kempen Bulan Bahasa tahun ini berharap dapat mempertingkatkan lagi mutu serta program-program yang bakal ditawarkan.

Ini selain daripada menawarkan program-program yang melestarikan cinta terhadap bahasa, budaya dan warisan Melayu.

Harapan itu dikongsikan Pengerusi Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam kepada 100 rakan kerjasama yang hadir dalam satu sesi taklimat pada Rabu (1 Mac).

Cik Rahayu juga berkongsi kepada para hadirin bahawa Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa kali ini.

Dalam kesempatan itu juga, beliau menekankan pentingnya untuk rakan-rakan kerja memikirkan kumpulan sasaran serta mengutamakan aspek-aspek bahasa dalam program masing-masing.

Menjelaskan lebih lanjut hal itu, Cik Rahayu berkata, "Sebenarnya saya mengharapkan sesuatu yang mungkin ada nilai-nilai tambah yang dapat membantu dalam usaha kita melestarikan bulan Bahasa. Jadi dalam tahun-tahun yang kita adakan acara-acara yang berbeza, ada banyak pengajaran yang kita dapat tentang pakar minat sesuatu kumpulan itu.

"Contohnya, apakah mungkin ruang di mana perlu ada peningkatan. Jadi saya harap ada sedikit renungan dalam aspek-aspek ini dan acara yang diadakan harap dapat memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran dan dapat perincian sedikit yang dapat meningkatkan kemahiran, penggunaan dan rasa cinta kepada Bahasa Melayu," tambah beliau.

PERMOHONAN DIBUKA 1 MAC - 3 APRIL

Lantaran itu, Cik Rahayu amat mengalu-alukan pelibatan rakan-rakan kerjasama daripada sektor yang pelbagai.

Menerusi cara sedemikian, beliau berharap acara Bulan Bahasa tahun ini dapat menjangkau lebih ramai termasuk peserta-peserta baru.

Apabila ditanya mengenai antara pembaharuan kempen Bulan Bahasa tahun ini, Cik Rahayu memberitahu BERITAmediacorp bahawa ia bergantung kepada saranan-saranan oleh rakan-rakan kerjasama dan ia masih terlalu awal untuknya berkongsi lebih lanjut.

Bagaimanapun, beliau berharap lebih penggunaan digital akan dimanfaatkan bagi menarik dan membangkitkan minat orang ramai.

Dalam pada itu, beliau turut menitikberatkan mengenai peranan rakan-rakan kerjasama dalam memupuk rasa cinta kepada Bahasa Melayu.

"Kita tidak akan mampu menjangkau setiap golongan tanpa kerencaman yang kita ada dalam kalangan rakan kerjasama kita. Jadi saya harapkan mereka juga dapat memikirkan isu ini bersama, bagaimana kita dapat terus melestarikan penggunaan bahasa, bagaimana kita dapat terus membangkitkan minat, bagaimana kita harus memperkayakan lagi penggunaan Bahasa Melayu," ujar Cik Rahayu lagi.

Rakan-rakan kerjasama perlu menghantarkan cadangan Program Bulan Bahasa sebelum 3 April.

Keputusan permohonan dana itu bakal diumumkan pada Mei nanti.

Rakan-rakan kerjasama juga boleh mendapatkan sokongan dana bagi program Bulan Bahasa daripada salah satu daripada empat badan pertubuhan - Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional.

Antara tempat-tempat yang ditaja bagi program Bulan Bahasa termasuk Wisma Geylang Serai serta perpustakaan-perpustakaan di seluruh negara.

Sesi taklimat yang diadakan di Wisma Geylang Serai malam semalam (1 Mac) turut dihadiri anggota jawatankuasa dan rakan penaja lokasi.
Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan