Skip to main content

Singapura

Rakam wanita mandi, pelajar politeknik dipenjara

Seorang lelaki berusia 24 tahun yang merakam seorang wanita sedang mandi, memberitahu mahkamah dia melakukan demikian kerana berasa tertekan oleh masalah kewangan dan hubungan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rakam wanita mandi, pelajar politeknik dipenjara

(Gambar: Pixabay/tookapic)

Diterbitkan : 21 Oct 2019 10:14PM Dikemas Kini : 21 Oct 2019 10:16PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang merakam seorang wanita sedang mandi, memberitahu mahkamah dia melakukan demikian kerana berasa tertekan oleh masalah kewangan dan hubungan.

Edmund Chong dijatuhi hukuman pada Isnin (21 Okt) setelah ditangkap merakam seorang wanita 40 tahun yang menyewa bilik di rumah neneknya.

Atas kesalahannya, Chong dipenjara tujuh minggu.

Mahkamah difahamkan Chong tinggal di rumah neneknya pada Isnin dan Selasa kerana ia lebih dekat dengan sekolahnya, Politeknik Temasek.

Pada 8.30 malam pada 14 Mei tahun ini, Chong berseorangan dengan mangsa, yang ketika itu sedang mandi, kerana neneknya pergi berjumpa doktor.

Ketika itu dia "berasa tertekan tentang situasi kewangannya dan masalah hubungan dengan temanitanya," kata Timbalan Pendakwa Raya Samuel Lim.

"Ia membuat tertuduh terdesak merakam mangsa yang sedang mandi," tambah beliau.

Mahkamah difahamkan Chong merakam wanita itu dari atas pintu tandas dengan menggunakan telefon bijak.

Apabila sedar dirinya dirakam, mangsa memancur air ke arah telefon itu. Beliau kemudian bergegas ke biliknya untuk cuba menenangkan diri, sebelum menelefon majikannya dan kemudian menelefon polis.

Apabila polis tiba, Chong mengaku atas perbuatannya. Para pegawai merampas telefon, komputer riba dan pengecas komputernya.

Chong, yang tidak diwakili peguam, mengaku bersalah pada Isnin atas satu tuduhan mencerobohi privasi mangsa dengan tujuan menghina kehormatannya.

TERTUDUH RAYU TIDAK TERLEPAS LANJUT PENGAJIAN

Hakim Daerah Adam Nakhoda bertanya kepada Chong jika dia ingin mendapatkan khidmat peguam untuk membantu dalam permohonan meringankan hukuman, namun Chong enggan melakukan demikian.

Chong bercakap dengan perlahan di mahkamah sehingga diminta penterjemah untuk bercakap dengan lebih kuat.

"Saya tahu saya lakukan kesalahan," kata Chong. "Saya hanya berharap agar diberi satu peluang kerana saya akhirnya dapat peluang ke politeknik untuk lanjutkan pelajaran dan saya tidak mahu terlepas peluang itu."

Telefon Chong dirampas manakala mahkamah mengarahkan agar pengecas dan komputer riba dikembalikan kepada Chong.

Atas kesalahan menceroboh privasi seorang wanita untuk menghina kehormatannya, dia boleh dipenjara sehingga setahun, didenda atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita