Raja Kulinari uji kebolehan; beri pengalaman baru untuk hos Farhana M Noor dan pengadil tetap Adam Shah
Sepanjang sedekad dalam industri penyiaran tempatan, Farhana M Noor sudah menjayakan pelbagai drama dan program sebagai pelakon dan pengacara.
SINGAPURA: Sepanjang sedekad dalam industri penyiaran tempatan, Farhana M Noor sudah menjayakan pelbagai drama dan program sebagai pelakon dan pengacara.
Namun belum pernah beliau terlibat dalam sesebuah rancangan masakan.
Tuah dirinya, tahun ini beliau diberi kepercayaan untuk menjadi hos bagi pertandingan memasak terbaru bagi saluran SURIA, Raja Kulinari.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Jika sebelum ini, lazimnya beliau akan menghafal skrip yang diberikan sebelum ke set penggambaran, kali ini beliau perlu mengemudi rancangan itu secara spontan tanpa skrip.
"Ini sebenarnya kali pertama saya menjadi pengacara untuk rancangan memasak. Saya selalu tonton sahaja sebab saya ini bukannya pandai masak sangat kan tapi sebab saya diberikan peluang mengacarakan rancangan ini, saya adalah belajar sedikit-sedikit apa nama bahan-bahan," kata Farhana, yang mula dikenali ramai selepas menjayakan drama 'Rima Hatiku'.
BELAJAR CARA PENYAMPAIAN HOS VERSI CINA; TONTON RANCANGAN MEMASAK LAIN
Untuk mempersiapkan dirinya, Farhana banyak menonton rancangan-rancangan memasak dari dalam dan luar negara untuk mendapat ilham.
Ini termasuklah menonton versi Cina rancangan Raja Kulinari di Saluran 8 untuk memahami format serta cara penyampaian hos, Cavin Soh.
"Saya selalu kagumi dengan hos yang pernah mengacara rancangan seperti inilah. Jadi saya buat kajian saya tonton rancangan-rancangan yang pernah disiarkan di televisyen. Saya tonton Huda Ali, saya ikut rancangan-rancangan memasak Malaysia seperti 'Ketuk-Ketuk Ramadan', semua itu. Jadi saya pelajari cara yang berlainan," jelas Farhana, yang baru-baru ini juga mengacarakan peringkat akhir pertandingan Bahas 4PM.
Dalam pertandingan sepanjang 10 episod itu, Farhana perlu menjadi 'orang tengah' di antara peserta dan para cef-cef yang bertanding.
Di samping menjaga masa yang diberikan untuk setiap peserta, dia juga perlu menyampaikan 'serangan-serangan kejutan' yang digunakan para peserta untuk menyukarkan lagi cef-cef yang diberi cabaran.
"Saya sebagai pengacara bila saya di dalam arena itu, saya melihat mereka masak, saya sendiri sudah macam panik sebab mereka ada masa yang terhad. Jadi kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Siapa yang akan mara ke peringkat seterusnya. Jadi kalau saya sebagai pengacara boleh rasa macam itu, saya rasa penonton pun akan 'freak out' macam saya," tambah Farhana.
Ditanya sekiranya beliau diberi peluang memilih cef untuk dicabar, ini jawapan Farhana...
"Pastinya saya ingin mencabar Cef Iskander Latiff (cef mentor) sebab saya pernah rasa hidangan-hidangan dia dan ia sangat hebat atau 'out of this world'. Jadi sekiranya saya dapat mencabar dia, saya dapat menewaskan dia lagi, bayangkan apa orang akan cakap." seloroh Farhana.
PENULIS BLOG MAKANAN, ADAM SHAH TERPILIH JADI JURI TETAP
Turut membuat kemunculannya yang pertama dalam rancangan masakan SURIA menerusi Raja Kulinari ialah pengadil tetap, Adam Shah.
Pemilihannya sebagai pengadil dianggap bersesuaian kerana beliau sudah mencuba pelbagai jenis hidangan sepanjang lebih 10 tahun sebagai penulis blog makanan halal pertama Singapura yang dimulakannya, 'The Halal Food Blog'.
Sejak dimulakan pada 2012, laman blog itu sudah meraih sekitar lebih 40,000 pembaca setiap bulan.
Sebagai pengadil tetap, beliau akur meletakkan jangkaan yang lebih tinggi untuk cef-cef mentor dan menti rancangan ini berbanding para peserta.
"Kadang-kadang sukar juga kerana walaupun peserta cuma memasak di rumah tapi masakan mereka memang 'best' juga. Ada yang macam melebihi jangkaan saya,"
"Mereka (cef-cef mentor dan menti) mesti tunjuk dalam Raja Kulinari kemahiran mereka. Untuk para peserta, memang penting jugalah untuk ada kemahiran-kemahiran di dapur," kata Adam,
Selain Adam sendiri, hidangan setiap peserta dan cef-cef yang dicabar turut diadili oleh sebuah panel pengadil yang terdiri daripada selebriti jemputan dan dua lagi cef mentor yang tidak dicabar dalam pusingan itu.
Walaupun secara jujurnya, beliau sendiri kurang mahir memasak, Adam berharap para peserta rancangan itu dapat menunjukkan kebolehan berikut.
"Pada saya yang paling penting ialah hidangannya mesti sedap. Itulah faktor utama untuk saya.
"Ciri-ciri yang harus ada adalah keyakinan. Walaupun mereka selalu masak di rumah sahaja, ini adalah satu peluang untuk menunjukkan kemahiran mereka," kata Adam.
Sepanjang mengadili hidangan-hidangan yang dipersembahkan kepadanya dalam Raja Kulinari, Adam rata-rata berpuas hati dengan mutu hidangan yang ditampilkan serta bakat-bakat para peserta.
Sekiranya mendapat peluang, beliau teringin bekerjasama dengan para peserta untuk projek-projek akan datang.
"Rancangan Raja Kulinari dapat menunjukkan lagi idea dan konsep untuk mereka cuba di rumah juga. Bukan sahaja peserta tetapi ini adalah peluang penonton lihat bagaimana cef-cef yang ada kemahiran, menunjukkan bagaimana mereka masakkan, macam di restoran mereka," jelas Adam.
Pemenang Raja Kulinari akan berentap dengan cef-cef dan pemenang versi rancangan itu bagi saluran 8 dan Vasantham dalam 'Battle of the Kings' yang akan menemui penonton pada November ini.
Raja Kulinari disiarkan setiap Selasa, 8.30 malam di Suria dan meWATCH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.