Skip to main content

Singapura

Raikan pelbagai acara Hari Kebangsaan SG di platform Mediacorp

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hari Kebangsaan kian menjelang dan inilah masanya untuk meraikan ulang tahun Singapura!

Selain Amanat Hari Kebangsaan dan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), terdapat pelbagai acara berunsur sambutan yang akan ditawarkan oleh rangkaian Mediacorp.

Ini termasuk Konsert Hari Kebangsaan Mediacorp dan di Taman di Pesisiran, serta kandungan tempatan bertemakan 'Singapura Vibes' di platform digital mewatch dan melisten.

Malah, program Detik Khas juga bakal meraikan sejarah Singapura.

AMANAT HARI KEBANGSAAN 2024, 8 dan 9 Ogos

Bakal disampaikan dalam empat bahasa rasmi Singapura, Amanat Hari Kebangsaan akan disediakan di platform penstriman digital mewatch, saluran televisyen dan stesen radio Mediacorp.

Bagi saluran televisyen, anda boleh menonton amanat tersebut antara lain di Saluran 5 pada jam 9.30 malam, saluran Suria pada 8.30 malam dan CNA pada 6.45 petang.

Amanat Hari Kebangsaan akan disampaikan dalam bahasa Inggeris oleh Perdana Menteri Lawrence Wong; dalam bahasa Mandarin oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong; dalam bahasa Melayu oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli; dan dalam bahasa Tamil oleh Menteri Undang-Undang dan Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

PERBARISAN HARI KEBANGSAAN, 9 Ogos, 5.50 petang

Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Padang, dengan sambutan diperluaskan ke Promontory di Taman di Pesisiran buat kali pertama, dalam satu kolaborasi khas dengan NTUC.

Bertemakan "Bersama, Sebagai Rakyat Bersatu Padu", ia termasuk persembahan sebelum perbarisan oleh para pelajar, artis tempatan dan Red Lions serta segmen Perbarisan dan Upacara dengan kumpulan tentera oleh Pancaragam SAF dan pancaragam sekolah menengah.

Ia juga meliputi aksi Terbang Lalu Bendera Negara, Tabik Hormat Presiden dan Feu de Joie.

Buat pertama kalinya, satu segmen akan melibatkan kontingen maju ke tempat duduk penonton.

Segmen persembahan dengan tajuk "Rakyat Kita" akan meraikan kekuatan dan kepelbagaian Singapura menerusi persembahan dan filem pendek.

Anda boleh saksikan NDP di Saluran 5, Saluran 8, Channel U, Suria dan Vasantham.

Ia juga boleh diikuti menerusi CNA938, Capital 958, Warna 942 dan Oli 968, dan distrim secara online melalui Mediacorp Entertainment di YouTube dan platform digital lain.

KONSERT HARI KEBANGSAAN TAMAN DI PESISIRAN DAN MEDIACORP, 17 Ogos, 7.30 malam

Edisi terbaharu Konsert Hari Kebangsaan Taman di Pesisiran dan Mediacorp akan diadakan secara langsung pada 4 Ogos di The Meadow di Taman di Pesisiran.

Sekiranya anda tidak dapat turun padang untuk memeriahkan acara, anda boleh menontonnya di Saluran 5, mewatch dan Mediacorp Entertainment di YouTube pada 17 Ogos, bermula 7.30 malam.

Konsert berkenaan akan menampilkan persembahan untuk artis tempatan seperti Olivia Ong, Shabir, Yung Raja, Taufik Batisah, Sezairi dan Benjamin Kheng.

Liu Ling Ling, Rahimah Rahim dan John Klass akan membuat persembahan medley bagi lagu-lagu rakyat Singapura seperti Singapore Town dan Munneru Vaalibaa.

Tetamu terhormat Presiden Tharman Shanmugaratnam, serta Cik Jane Ittogi, akan memperkenalkan diri mereka dalam bahasa isyarat dan memimpin penonton dalam laungan ikrar, diiringi anggota Persatuan Golongan Cacat Pendengaran Singapura dalam segmen akhir.

PROGRAM BAHARU

Salah satu program baharu yang akan ditayangkan siri Detik Khas, yang akan menampilkan episod khas, yang mengajak penonton menyusuri kisah di sebalik jalan yang dinamakan mengikut tokoh terkemuka dalam masyarakat Melayu dan Islam.

Ini termasuk sumbangan mereka kepada warisan berbilang budaya di Singapura.

Episod menarik Detik Khas ini akan ditayangkan pada 8 Ogos, 8.45 malam di Suria, dan boleh ditonton menerusi mewatch.

SINGAPURA VIBES

Saksikan pelbagai kandungan Singapura di mewatch termasuk Tagalabas, filem pendek mengenai budak lelaki yang mengimbangi warisan Filipinanya dengan kehidupan di Singapura.

Anda juga boleh menonton Plesent, yang mengisahkan budak perempuan yang mendambakan ikatan lebih akrab dengan bapanya; serta The Last Bout, dengan berlatarkan taman tema pada 1930-an.

Anda juga boleh menyaksikan rancangan Melayu seperti Cerita Dia Macam Ni, Snip & Snappy dan Runcit, serta siri On The Red Dot CNA tentang 'Family Mysteries' dan 'Eat Up'.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita