Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rahinah Ibrahim, Faridah Hassan menang Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2018

Ketua Jururawat Bertauliah di Institut Kesihatan Mental (IMH), Cik Rahinah Ibrahim dinobatkan pemenang tempat pertama Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan tahun ini, bagi mengiktiraf dedikasi dan kecemerlangannya dalam bidang kejururawatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketua Jururawat Bertauliah di Institut Kesihatan Mental (IMH), Cik Rahinah Ibrahim dinobatkan pemenang tempat pertama Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan tahun ini, bagi mengiktiraf dedikasi dan kecemerlangannya dalam bidang kejururawatan.

Anugerah tersebut yang disampaikan oleh Menteri Negara Kanan Kesihatan Encik Edwin Tong dalam satu acara penyampaian anugerah tersebut Jumaat lalu (23 Nov). Cik Rahinah menerima hadiah wang tunai S$3,500 yang boleh digunakan untuk pembangunan profesionalnya dan sebutir medalion emas yang dicipta khas.

Secara keseluruhannya, 10 jururawat berjaya menjadi finalis sebelum tiga akhirnya dipilih sebagai pemenang utama.

PEMENANG PERTAMA: SITI RAHINAH IBRAHIM

Cik Rahinah Ibrahim, seorang Ketua Jururawat Bertauliah berpengalaman sudah menceburi bidang kejururawatan selama hampir 26 tahun.

(Gambar-gambar: Persatuan Jururawat Singapura)

Beliau merupakan tulang belakang bagi wad pemulihan di IMH, membantu para pesakit dengan menyediakan mereka kemahiran kehidupan agar dapat kembali menyesuaikan diri dalam masyarakat dengan sebaiknya.

Berkat usaha dan tekad memulihkan pesakit mental selama 16 tahun, beliau mendapat pengiktirafan tertinggi anugerah tersebut.

"Sebenarnya memang banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang bekerja di Institut Mental Health, tetapi bila kita mengenali pesakit itu dan kita mengetahui kenapa sebab mereka di dalam hospital, di dalam rumah sakit ini dan kita menganggapnya sebagai satu pesakit yang mereka hadapi dan dari situ kita boleh mengenal pasti dan menjalinkan hubungan yang baik dengan mereka.

"Dari situ juga kita dapat kerjasama yang baik dari mereka dan dapat memulihkan mereka kembali kepada masyarakat," kongsi Cik Rahinah, yang berusia 52 tahun.

PEMENANG KEDUA: FARIDAH HASSAN

Seorang lagi jururawat, Cik Faridah Hassan dipilih menjadi pemenang tempat kedua Anugerah Tan Chin Tuan itu. Beliau ialah seorang Ketua Jururawat Bertauliah di Hospital Ng Teng Fong.

Menceburi bidang itu selama 40 tahun, Cik Faridah diiktiraf atas kesabaran dan dedikasi beliau memberi khidmat jagaan yang terbaik.

Lebih daripada itu, beliau juga kerap meluangkan masa berjam-jam lamanya untuk membimbing para jururawat baru dalam menjalankan tugasan masing-masing.

Ini disaksikan semasa pembukaan awal Kampus JurongHealth, yang mana beliau sendiri menerajui dan proaktif dalam pelbagai cara kerja melalui teknologi dan peralatan pesakit.

Dengan kemahiran yang diperolehi, Cik Faridah kemudian melatih para jururawat yang lain dalam operasi dan pemahaman sistem proses elektronik.

Kebolehan beliau berbicara dalam beberapa dialek juga membuatnya mampu mendekati hubungan yang erat bersama para pesakitnya dan rakan kerja yang lain.

Selaku pemenang tempat kedua, Cik Faridah membawa pulang hadiah S$3,000 yang boleh digunakan untuk pembangunan profesional dan juga sebutir medalion emas.

2 LAGI FINALIS MELAYU ANUGERAH TAN CHIN TUAN

Di kalangan 10 jururawat yang menjadi finalis, empat merupakan jururawat Melayu. Dua lagi ialah Cik Noorshinah Noor dari Pusat Jantung Nasional Singapura (SNHC) dan Cik Farhanna Mohammed Tayib dari Hospital Tan Tock Seng (TTSH).

Cik Farhanna Mohammed Tayib.

Kesemua tujuh finalis yang tidak memenangi anugerah utama sebaliknya diberikan Anugerah Merit dan hadiah wang S$800.

Kesemua finalis dinilai berdasarkan kecekapan mereka dalam bidang profesional dan kelakuan serta sumbangan individu.

Bagi Cik Farhanna, seorang Penolong Jururawat Kanan daripada Pasukan Respons Keperluan Pemindahan Khusus di TTSH, menjalankan operasi pemindahan pesakit antara unit-unit rawatan berbeza adalah antara tugasnya selain memastikan para pesakit dipindahkan dengan selamat.

Beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih pakar hospital bagi program keselamatan bekerja.

Ia melengkapi para jururawat dengan kemahiran untuk mengurangkan risiko keganasan dan tingkah laku agresif pesakit semasa mereka dipindahkan dari hospital ke IMH.

Beliau berkata: "Sebagai seorang jururawat kita akan berhadapan dengan bermacam-macam cabaran, bermacam-macam dugaan, kita tak tahu pesakit apa yang masuk, dia ok ke tidak, jadi dengan kursus di IMH yang saya perolehi kita dapat mempelajari tentang bagaimana untuk mempertahankan diri, jadi kita boleh tahu bagaimana untuk terus merawat pesakit, sebab kalau kita tak ada semua latihan ini, kita secara tidak langsung tidak dapat untuk jaga diri sendiri."

Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan merupakan pengiktirafan tertinggi diberikan kepada penolong jururawat dalam sektor swasta dan awam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan