Skip to main content

Singapura

Rahayu Mahzam, Dr Syed Harun Alhabsyi peneraju pasukan bertindak dampingi belia Melayu/Islam: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan, Cik Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen Dr Syed Harun Alhabsyi dilantik bagi menerajui sebuah pasukan bertindak untuk mendampingi golongan belia Melayu/Islam.

Perkembangan itu dikongsikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim kepada para wartawan di luar satu sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan pagi tadi.

Dr Syed Harun yang baru menyertai politik dalam GE2025 bakal memulakan tugasnya selaku Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Negara merangkap Pendidikan bermula Oktober ini.

Dr Faishal berkata: "Mereka (Cik Rahayu dan Dr Syed Harun) sedang memikirkan aliran yang mereka mahu lanjutkan dan juga ahli pasukan bertindak ini. Ini akan membuka ruang pembangunan untuk belia kita. Kita tahu belia kita mempunyai pelbagai aspirasi dan selaras dengan warga Singapura."

"Kita mahu belia kita mendapat peluang, membangun, menjadi versi terbaik dalam kehidupan mereka. Justeru, pasukan bertindak ini penting kerana saya mahu belia kita membangun dengan sebaiknya."

Penubuhan pasukan bertindak untuk mendampingi golongan belia itu sebelum ini diumumkan Dr Faishal semasa di Pesta Belia M³ pada bulan Julai lalu.

Pasukan bertindak itu akan menggabungkan belia-belia Melayu/Islam dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar, karyawan, artis serta asatizah.

Antara matlamat pasukan itu adalah untuk mendapatkan pandangan dan aspirasi belia dan menyediakan strategi secara kolektif dalam menangani isu-isu yang dekat di hati masyarakat.

BACA: Pasukan bertindak baharu untuk perkukuh pembangunan, usaha dampingi belia Melayu/Islam

SESI DIALOG PASCA NDR KUPAS ISU BERKAITAN BELIA, PEKERJAAN DAN AI

Dr Faishal memberikan perkembangan itu di luar sesi dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR), anjuran M³@Geylang Serai dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan, pagi tadi (24 Ogos).

Antara isu yang diketengahkan dalam sesi Teh Tarik bersama Profesor Madya Faishal itu termasuk cabaran yang timbul dalam ekonomi yang tidak menentu, penggunaan vape serta sokongan untuk penuaan aktif di Singapura.

Dialog selama dua jam yang diadakan di Restoran Saffrons di Wisma Geylang Serai itu
menyediakan platform untuk masyarakat berbincang dan berkongsi pandangan tentang NDR tahun ini.

Dr Faishal berkata: "Saya rasa gembira dengan pendekatan yang kita adakan, secara tidak formal, memberikan mereka peluang untuk mengutarakan isu-isu secara spontan. Dan saya dapat melihat bagaimana penduduk dan masyarakat kita ada rasa kaitan dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong."

Sebilangan besar daripada lebih 50 belia dan pemimpin masyarakat yang menghadiri sesi itu mengajukan soalan tentang penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) - sama ada ia akan menjejas pekerjaan dan kehidupan masyarakat.

Dr Faishal berkata: "Kita pun mahu masyarakat Melayu memikirkan impaknya kepada kehidupan kita kerana kita sebagai satu masyarakat Singapura akan terjejas dengan penggunaannya. Saya rasa ini adalah satu gambaran baik di mana masyarakat kita tahu dan memikirkan, serta mahu mengambil peluang daripada manfaat oleh AI."

Beliau juga akur tentang perlunya mewujudkan sekitaran yang lebih mesra warga senja, memandangkan masyarakat Singapura yang semakin menua.

"Penuaan adalah perjalanan kita sebagai masyarakat. Lambat laun, ramai yang akan berusia senja dan bagaimana kita boleh memikirkan rancangan fizikal dan pendekatan sosial serta emosi, menitikberatkan kehidupan penuaan, menyediakan mereka untuk proses penuaan. Ada di kalangan mereka yang terjejas dengan penuaan," ujar Dr Faishal.

ISU PEMBANGUNAN BELIA LANTANG DISUARAKAN

Namun, satu isu yang paling lantang dibincangkan adalah berkenaan pembangunan dan masa depan belia.

Pemimpin akar umbi di Kelab Masyarakat Geylang Serai, Mohamed Zailani Mohamed Said berkata: "Isu yang kami bincangkan tentang kemajuan Singapura, bagaimana anak-anak muda boleh membantu memajukan lagi Singapura untuk masa hadapan. Itu saya rasa isu paling penting. Mereka sudah menjadi pelapis generasi warga senja dan mereka perlu meneraju bahtera itu."

Naib Pengerusi pertubuhan khidmat masyarakat, MudaSG, Nur Farah Dhabitah Abu Samah pula berkata: "Apa yang dekat dengan hati saya sebagai seorang belia, adalah apabila mereka mengetengahkan isu tentang AI, dan juga tentang pembangunan belia.^ mendengar daripada mereka yang berpengalaman, ^saya rasa terharu kerana mereka menitikberatkan perkara itu."

Beliau juga menyentuh tentang topik perbualan mengenai pembangunan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan maknanya kepada golongan belia.

"Saya juga terharu ada pensyarah SUSS menekankan tentang bidang akademik, mendengar pandangannya yang menitikberatkan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS). Apabila dilaksanakan saya berharap kami, yang suatu hari nanti mungkin akan menjadi penuntutnya akan dapat meraih manfaat," kata Cik Farah.

Sesi dialog itu merupakan yang pertama daripada 11 sesi merentasi M³@Bandar yang akan berlangsung sehingga 16 September nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita