Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rahayu: 88% penduduk Melayu sudah dapat vaksinasi atau daftar untuk vaksinasi

88 peratus penduduk Melayu/Islam tempatan yang layak menerima vaksinasi COVID-19, sudahpun mendapatkan suntikan itu ataupun mendaftar untuk mendapatkannya, dedah Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Rahayu Mahzam, secara eksklusif kepada BERITAmediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 88 peratus penduduk Melayu/Islam tempatan yang layak menerima vaksinasi COVID-19, sudahpun mendapatkan suntikan itu ataupun mendaftar untuk mendapatkannya.

Ini adalah perangkaan "amat baik", dedah Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Rahayu Mahzam, secara eksklusif kepada BERITAmediacorp.

Namun demikian menurut beliau, 1 daripada setiap 5 warga emas Melayu berusia 70 tahun ke atas masih belum divaksinasi.

Sehingga semalam (31 Julai), masih ada lagi 177,000 warga tua berusia 60 tahun ke atas - di peringkat nasional - yang belum lagi mendapatkan suntikan vaksin.

LEBIH 90% WARGA EMAS MELAYU 60-69 TAHUN SUDAH DIVAKSIN

Semasa BERITAmediacorp meminta perincian mengenai kadar vaksinasi dalam kalangan warga emas masyarakat Melayu, Cik Rahayu mendedahkan bahawa sehingga 30 Julai, lebih 90 peratus warga emas Melayu berusia 60 hingga 69 tahun yang sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin sejauh ini.

Ini lebih tinggi berbanding kadar nasional iaitu 86 peratus.

Bagi warga emas Melayu dalam linkungan usia 70 tahun ke atas pula, kadarnya ialah 80 peratus - sama dengan kadar nasional.

"Walaupun angka atau kadar mereka yang telah medapatkan vaksinasi dalam masyarakat kita amat menggalakkan, kita masih melihat dalam 100,000 warga emas yang dalam linkungan usia lebih daripada 70 tahun (di peringkat nasional), belum lagi menerima vaksinasi mereka.

"Dan ini adalah satu jumlah yang merisaukan. Dan dalam masyarakat Melayu kita khususnya, 1 dalam 5 warga emas yang berusia lebih 70 tahun belum lagi mendapatkan vaksinasi mereka. Jadi saya rasa ini sesuatu yang kami tetap perlu baiki," kongsi beliau.

SOKONGAN MELAYU "AMAT BAIK" TERHADAP GERAKAN VAKSINASI

Cik Rahayu juga berkongsi berita gembira bahawa secara keseluruhannya, 88 peratus anggota masyarakat Melayu tempatan yang layak disuntik vaksin COVID-19, sudahpun menerima ataupun mendaftar untuk vaksinasi.

Beliau menyifatkan ini sebagai mencerminkan "sokongan yang amat baik" daripada masyarakat Melayu/Islam terhadap gerakan vaksinasi negara.

"Sememangnya kami masih terus meneruskan usaha dengan pihak-pihak berkepentingan seperti PA, AIC dan juga SGO untuk terus meluaskan jangkauan mereka kepada warga-warga emas. Dengan membuat lawatan ke rumah mereka.

"Dalam kalangan pemimpin Melayu, apa yang kita cuba lakukan adalah juga melakukan lawatan rumah ke rumah. Selain daripada itu, kami juga mengunakan peluang melalui rangkaian yang kita ada melalui M³," kata Cik Rahayu.

VAKSINASI PENTING AGAR SEMUA DIPELIHARA

Cik Rahayu seterusnya menekankan bahawa vaksinasi melawan COVID-19 itu adalah satu tunggak utama dalam usaha Singapura keluar daripada pandemik ini, serta beralih ke tahap endemik.

Ini akan bermakna bahawa banyak sekatan-sekatan terhadap perhimpunan sosial akan dikurangan dan lebih banyak kegiatan dalam kumpulan besar akan dibenarkan.

Kata Cik Rahayu: "Saya rasa ini amat dinanti-nantikan oleh masyarakat kita. Kita mahu terus berjemaah di masjid, kita mahu berkunjung dengan sanak-saudara kita. Untuk kita mahu melakukan ini dengan selamat kami perlu adakan vaksinasi ini agar semua dapat dipelihara, terutama sekali untuk warga tua kerana kita amat risau tentang kesan penyakit ini sekiranya mereka terkena COVID-19."

JUMPA DOKTOR AGAR DAPAT MAKLUMAT LEBIH TEPAT

Dalam pada itu, Cik Rahayu akur bahawa masih terdapat segelintir dalam masyarakat yang risau tentang kesan sampingan dari vaksin itu.

Lantaran itu, beliau menyarankan agar mereka berjumpa dengan doktor masing-masing supaya dapat menghilangkan segala kemusykilan dan mendapatkan nasihat serta maklumat yang lebiih tepat.

Tambahnya lagi, berbanding dengan kesan sampingan akibat vaksin COVID-19, kesan jangkitan COVID-19 mungkin lebih serius dan boleh membawa kepada kematian.

Pemerintah Singapura menetapkan sasaran 70 peratus penduduk akan lengkap divaksinasi menjelang Hari Kebangsaan nanti, dan angkanya bertambah kepada 80 peratus pada awal September. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan